Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah hantu boleh memudaratkan manusia?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, hantu itu hanyalah penyerupaan yang dilakukan oleh Iblis, jin dan syaitan. Kami nukilkan di sini daripada buku Diskusi Isu Akidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, hlm. 407-408:
Rasulullah SAW pernah ditanya tentang hantu, maka baginda bersabda:
هُمْ سَحَرَةُ الجِنِّ
Maksudnya: “Mereka adalah tukang sihir daripada kalangan jin.” (Lihat Akam al-Marjan fi Ahkam al-Jaan oleh al-Syibli, hlm. 41) Sanad riwayat ini adalah sangat lemah (da’if jiddan).
Namun begitu, hal ini tidaklah menafikan apa yang diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahih-nya daripada Jabir R.A: Bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda:
لاَ عَدْوَى وَلاَ طِيَرَةَ وَلاَ غُولَ
Maksudnya: “Tidak ada wabak penyakit, kesialan, dan hantu.”
Riwayat Muslim (2222)
Apabila Rasulullah SAW menafikan wabak penyakit, kesialan dan hantu, ia bukanlah bermakna Rasulullah SAW menafikan kewujudannya, tetapi Rasulullah SAW ingin menafikan anggapan atau kepercayaan yang meletakkan pemberi manfaat dan mudarat kepada selain Allah SWT. la seperti kepercayaan masyarakat Arab yang mengatakan bahawa hantu boleh menyesatkan manusia yang sedang bermusafir di padang pasir. la sama dengan kepercayaan sesetengah masyarakat Melayu bahawa hantu mampu memudaratkan mereka.
Imam al-Nawawi rahimahullah berkata: “Jumhur ulama berkata bahawa orang-orang Arab meyakini hantu berada di padang-padang pasir. la merupakan salah satu jenis syaitan yang menampakkan diri kepada manusia untuk menakut-nakutkan manusia dengan mewarnai diri mereka dengan aneka macam warna, sehingga mereka menyesatkan dan mencelakakan. Oleh kerana itu, Nabi SAW membatalkan anggapan atau kepercayaan mereka tersebut. Manakala yang lain pula berkata, maksud hadith tersebut bukan untuk menafikan kewujudan hantu, kerana makna membatalkan hanyalah pada anggapan atau keyakinan orang-orang Arab tentang berubahnya rupa hantu pada bentuk yang lain lalu membunuh mereka. Mereka berkata, sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada hantu (لاَ غُوْلَ), iaitu tidak dapat menyesatkan seseorang. Hal itu dikuatkan oleh hadith yang lain: “Tidak ada hantu, namun ia adalah al-sa’aali (tukang- tukang sihir di kalangan jin)”. Para ulama berkata: al-Sa’aali adalah tukang sihir daripada kalangan jin, iaitu kalangan jin mempunyai tukang sihir yang dapat mengelabui mata dan membuat khayalan atau halusinasi”. Sahih Muslim (14/214) dengan Syarh al-Nawawi.
Ini menunjukkan Iblis, jin dan syaitan yang menjadi hantu itu tidak sekali-kali mempunyai kuasa untuk memudaratkan manusia. Sesungguhnya manfaat dan mudarat adalah hak mutlak yang datang daripada Allah SWT. Kerana itulah Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita al-mu’awwizat yang berupa ayat-ayat al-Qur’an seperti surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas yang mampu untuk memelihara diri kita daripada gangguan jin dan syaitan.
قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ ﴿١﴾ اللَّهُ الصَّمَدُ ﴿٢﴾ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ ﴿٣﴾ وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ ﴿٤﴾
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya”
Surah al-Ikhlas (1-4)
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ ﴿١﴾ مِن شَرِّ مَا خَلَقَ ﴿٢﴾ وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ ﴿٣﴾ وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ ﴿٤﴾ وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ ﴿٥﴾
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk,”Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan; “Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; “Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya. ”
Surah al-Falaq (1-5)
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ ﴿١﴾ مَلِكِ النَّاسِ ﴿٢﴾ إِلَٰهِ النَّاسِ ﴿٣﴾ مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ ﴿٤﴾ الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ ﴿٥﴾ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ ﴿٦﴾
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. “Yang Menguasai sekalian manusia, “Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, “Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, – “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, – “(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”
Surah al-Nas (1-6)
Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar terpelihara dari godaan iblis:
رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ ﴿97﴾ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحْضُرُونِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan, dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku”.
(Surah al-Mukminun: 97-98)
Bertarikh: 12 Julai 2023 bersamaan 23 Zulhijjah 1444 H