#2223: Kutu Beras dalam Beras

Soalan: 

Assalamualaikum w.b.t. Baru-baru ini beras saya lama tidak digunakan. Bila saya hendak guna, saya terkejut terlalu banyak kutu beras di dalamnya. Sebelum guna, saya terpaksa mengambil tempoh masa yang sangat lama untuk membasuhnya daripada kebiasaan. Soalan saya, apakah hukumnya jika ada kutu beras yang saya tak sengaja termasak sekali atau termakan kerana tidak perasan? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor — atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ

Maksudnya:Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Bagi menjawabnya, katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’

(Surah Ma’idah: 4)

Ayat di atas menunjukkan secara umumnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menghalalkan buat kita makanan yang baik-baik. Justeru, semua yang baik-baik itu adalah diharuskan untuk memakannya, manakala semua yang buruk dan jijik pula adalah diharamkan daripada memakannya. Penentuan sama ada makanan itu baik atau jijik — jika tiada nas mengenainya — adalah berdasarkan perasaan dan naluri orang Arab kerana al-Quran turun kepada mereka — yakni dalam bahasa mereka.[1]

Secara umumnya, kutu beras termasuk dalam kategori haiwan yang tidak memiliki darah merah seperti serangga, ulat dan seumpamanya. Haiwan seperti ini ketika hidupnya dianggap suci dan bukannya najis. Adapun ketika matinya, jumhur ulama berpendapat, ia dianggap suci dan bukan najis manakala ulama Syafi‘iyyah berpendapat, ia adalah najis.

Mengenai hal ini, Imam al-Nawawi menyebutkan, terdapat dua tariq (pendapat/aliran). Salah satunya, berkenaan kenajisannya ada dua pendapat. Jika kita katakan ia najis, maka ia telah menajiskan air. Sekiranya tidak (yakni bukan najis), maka ia tidak menajiskan air. Ini merupakan pendapat al-Qaffal. Manakala aliran (tariq) kedua pula, haiwan itu dikira sebagai najis secara pasti. Inilah pendapat yang diputuskan oleh ulama dari Iraq dan selain mereka. Inilah pendapat yang sahih kerana ia termasuk dalam bangkai. Seterusnya mazhab Imam Malik dan Abu Hanifah berpendapat, ia tidak menjadi najis disebabkan oleh kematiannya. Dalil kami (ulama mazhab Syafi‘i), haiwan itu adalah bangkai. Namun, air tidak menjadi najis kerana susah untuk menjaga dan memelihara daripadanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/130).

Begitu juga Ibn Qudamah turut menyebutkan, setiap haiwan yang tidak memiliki darah merah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Khiraqi yang terdiri daripada haiwan darat dan haiwan laut (air) seperti lintah, cacing, ketam dan seumpamanya, maka ia tidak menjadi najis dengan sebab kematiannya, begitu juga ia tidak menajiskan air apabila mati di dalamnya menurut pendapat kebanyakan fuqaha’. Ibn al-Munzir menyatakan, tidak diketahui dalam hal tersebut adanya khilaf melainkan terdapatnya salah satu pendapat dalam mazhab Syafi‘i yang menyatakan, ia menajiskan air yang sedikit (kurang dua qullah). Sebahagian ashabnya menyebutkan, ia berdasarkan kaedah qias. Manakala pendapat keduanya menyatakan, ia tidak menajiskan air. Inilah pendapat yang paling terbaik (dari segi maslahahnya) untuk orang ramai. (Lihat al-Mughni, 1/60).

Kemudian Ibn Qudamah menyatakan pula, dalil kami (ulama mazhab Hanbali) ialah sabda Nabi SAW:

إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ، فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَفِي الأُخْرَى شِفَاءً

Maksudnya:Apabila lalat jatuh ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka hendaklah dia mencelupnya kemudian membuangnya, kerana sesungguhnya pada salah satu daripada kedua sayapnya terdapat penyakit dan pada yang lainnya terdapat penawar.”

Riwayat al-Bukhari (3320)

Seterusnya berkenaan hukum memakannya pula, menurut ulama mazhab Maliki, jika ulat dan seumpamanya dilahirkan dalam makanan iaitu hidup dan membesar di dalamnya, tidak kira makanan itu berbentuk buah-buahan, biji-bijian mahupun kurma, maka diharuskan untuk memakan makanan itu bersamanya secara mutlak, tidak kira ia sedikit atau banyak, sudah mati atau masih hidup, sudah diasingkan (diperiksa) ataupun belum. (Lihat Hasyiah al-Sawi ‘ala al-Syarh al-Saghir, 2/181).

Begitu juga Ibn Qudamah turut menyebutkan, diharuskan untuk memakan makanan yang di dalamnya mengandungi ulat dan kutu seperti buah-buahan, timun, tembikai, bijian, dan cuka, jika seseorang tidak menganggapnya sebagai jijik (untuk dimakan), dan menganggapnya baik kerana ia sukar dan payah untuk dielakkan. Begitu juga diharuskan untuk memakan madu dengan sarangnya dan di dalamnya terdapat anak lebah disebabkan ia sukar untuk dielakkan. Akan tetapi jika dia dapat memeriksanya terlebih dahulu, maka ia adalah sesuatu yang baik. Sesungguhnya terdapat riwayat daripada Nabi SAW bahawasanya Baginda diberi kurma yang sudah lama, lalu Baginda mengorek-ngorek kurma tersebut bagi mengeluarkan kutu atau ulat daripada kurma itu dan memeriksanya. Menurut Ibn Qudamah, tindakan ini adalah baik. (Lihat al-Mughni, 1/60).

Menurut mazhab Syafi‘i, hukum memakan ulat adalah diharamkan melainkan ulat yang berada dalam keju, cuka, kacang hijau, buah-buahan dan seumpamanya yang terdiri daripada makanan, yang mana ulat-ulat berkenaan lahir daripada bahan-bahan suci tersebut. Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa terdapat tiga pendapat ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berkenaan kehalalan ulat ini iaitu pendapat pertama, ia adalah halal untuk dimakan. Pendapat kedua pula, ia adalah haram untuk dimakan. Manakala pendapat ketiga, ia halal dimakan bersama makanan yang ia lahir daripadanya, bukan secara terasing kerana haram memakannya secara terasing. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/15).

Begitulah juga sekiranya ulat-ulat itu mati dalam makanan atau benda yang ia dilahirkan daripadanya. Mengikut mazhab Syafi‘i ia dikira sebagai najis disebabkan oleh kematiannya. Akan tetapi mengenai hukum memakannya terdapat tiga pendapat ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i iaitu pendapat pertama, halal memakannya bersama benda yang ia dilahirkan daripadanya, bukan secara terasing. Pendapat kedua, halal memakannya secara mutlak, dan pendapat ketiga, haram memakannya secara mutlak. Justeru, pendapat yang sahih ia dikira sebagai najis tetapi tidak memudaratkan pada memakannya. Oleh itu, terdapat pengecualian dalam hal ini, di mana ia dihalalkan untuk dimakan bersama makanan yang ia dilahirkan daripadanya. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/36-37).

Selain itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada menyebutkan bahawa mengikut pendapat yang kuat dalam mazhab Syafi‘i, dihalalkan untuk memakan ulat yang dilahirkan daripada makanan seperti cuka, keju dan buah-buahan, hanya jika ia dimakan secara bersama. Begitu juga hukumnya apabila ia mati — dalam makanan itu — yakni halal untuk dimakan mengikut pendapat yang kuat. Hal ini kerana kesukaran untuk mengasingkannya. Sebahagian ulama terkemudian menyandarkan hukum daging yang berulat dengan hukum buah-buahan — yang mengandungi ulat. Berdasarkan kepada ‘illah ini, maka jika ia mampu atau mudah untuk diasingkan seperti ulat yang berada dalam epal, maka haram untuk memakannya secara bersama. Ibn Syahbah berkata bahawa itulah pendapat yang zahir, yakni apabila tidak kesukaran untuk membezakannya.

Di samping itu, terkeluar daripada lafaz “مَعَهُ” (yakni memakan ulat secara bersama dengan makanan itu), bagi kes memakan ulat secara berasingan. Hal ini kerana hukumnya adalah haram disebabkan oleh kenajisan bangkainya dan juga kejijikannya. Begitulah juga — yakni haram hukumnya — jika ulat itu diangkat ke tempat yang lain sebagaimana disebutkan oleh al-Bulqini, atau ulat itu pergi dengan sendiri ke tempat lain, kemudian ia kembali semula ke sarangnya (dalam buah itu) selepas ia dapat dipelihara daripadanya seperti mana yang dibahaskan oleh sebahagian ulama terkemudian. Pendapat kedua pula mengatakan halal secara mutlak, kerana ulat itu dianggap sebahagian daripada buah. Manakala pendapat ketiga mengatakan haram secara mutlak kerana ulat itu dikira sebagai bangkai. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/99).

Keharusan untuk memakan ulat yang berada dalam buah-buahan, kutu dalam beras dan seumpamanya ini juga adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh:

التَّابِعُ تَابِعٌ

Maksudnya:(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117).

Dalam kes ini, ulat yang terdapat dalam buah-buahan dikira sebagai (تابع) yakni yang mengikut manakala buah-buahan atau makanan itu pula ialah (أصل) yakni yang asal. Justeru, ulat makanan itu halal dimakan bersama makanan yang ia dilahirkan daripadanya kerana ia mengikut hukum asalnya iaitu makanan tersebut yang halal.

Selain itu, keharusan memakan ulat makanan ini juga adalah tab‘an (mengikut hukum asal) bukannya secara asalnya. Oleh itu, tidak boleh jika ulat itu dimakan secara berasingan yakni terpisah daripada makanan.

Tambahan lagi, ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan Hanbali yang berpendapat bahawa halal memakan ulat yang dilahirkan dalam makanan seperti cuka dan buah-buahan dengan tiga syarat:

  • Ulat itu mesti dimakan dengan makanan sama ada ia masih hidup atau sudah mati. Jika ia dimakan secara berasingan daripada makanan yang ia dilahirkan daripadanya, maka hukumnya adalah haram.
  • Ulat itu tidak dipindahkan ke tempat lain — yakni diasingkan. Jika ia dipindahkan ke tempat lain, maka tidak boleh memakannya.
  • Ulat itu tidak mempengaruhi dan mengubah secara ketara rasa, bau dan warna makanan itu, jika makanan itu berbentuk cecair. Jika ia mengubah salah satu daripada perkara tersebut, maka tidak boleh memakannya mahupun meminumnya disebabkan oleh kenajisannya ketika itu. (Lihat Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/143).

Berkenaan dalil yang dibawakan oleh Ibn Qudamah yang menunjukkan bahawa Nabi SAW pernah memeriksa buah kurma lama yang diberikan kepadanya sebelum dimakan, lalu beliau berpendapat, tindakan itu adalah baik. Ia adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata:

أُتِىَ النَّبِىُّ ﷺ بِتَمْرٍ عَتِيقٍ فَجَعَلَ يُفَتِّشُهُ يُخْرِجُ السُّوسَ مِنْهُ

Maksudnya:Nabi SAW diberi kurma yang sudah lama, lalu Baginda mengorek-ngorek kurma tersebut bagi mengeluarkan kutu atau ulat dari kurma itu.”

Riwayat Abu Daud (3832)

Al-Munawi menyebutkan bahawa Baginda memakan kurma selepas membersihkannya daripada seumpama ulat yang tidak dilarang memakannya. Para ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i mengharuskan untuk memakan ulat buah bersekali dengan buah kerana sukar mengasingkannya. (Lihat al-Taisir, 2/267).

Selain itu, Ibn Ruslan dalam syarahnya menyatakan bahawa ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat, ulat yang lahir daripada buah-buahan, keju, cuka, kacang hijau, bijirin dan seumpamanya, jika ia mati dalam apa yang ia dilahirkan di dalamnya maka ia menjadi najis mengikut pendapat yang kuat dalam mazhab. Adapun mengenai hukum memakannya pula, mengikut pendapat yang sahih, ia dianggap najis tetapi tidak ada mudarat pada memakannya. Dihalalkan untuk dimakan bersama dengan makanan yang ia dilahirkan daripadanya kerana untuk mengawal dan menjaganya adalah sukar. Namun begitu, adalah lebih baik jika seseorang itu mengeluarkan ulat itu, sama ada hidup ataupun sudah mati, seperti mana yang zahir pada hadith di atas. (Lihat Syarah Sunan Abi Daud, 15/487).

Selain daripada itu, al-‘Azim Abadi juga ada menyebutkan, hadith ini menunjukkan bahawa makruh memakan apa-apa yang disangka di dalamnya ada ulat, tanpa pemeriksaan. Selain itu, disebut oleh pengarang Fath al-Wadud bahawa dalam hadith ini terdapat faedah bahawa makanan tidak bernajis apabila wujud di dalamnya ulat dan tidak haram memakannya. Begitu juga, al-Qari’ mengatakan, al-Tabarani meriwayatkan dengan sanad yang hasan daripada Ibn Umar secara marfu‘ bahawa Baginda SAW melarang memeriksa kurma daripada apa yang berada di dalamnya. Justeru larangan ini dapat difahami, berkemungkinan ia ditujukan kepada kurma yang masih baru supaya dapat mengelakkan daripada waswas, ataupun dengan kemungkinan bahawa perbuatan Baginda itu bagi menjelaskan keharusan memakannya dan larangan itu pula dapat difahami sebagai makruh tanzih. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 10/220).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa jika ada kutu beras yang secara tidak sengaja termasuk sekali ketika memasak nasi dan ia tidak menajiskan air atau termakannya disebabkan tidak perasan kewujudannya kerana terdapat kesukaran bagi mengasingkannya, sedangkan ia tidak memudaratkan pemakannya, sama ada dengan menggigit atau menyengat, mahupun membawa penyakit.[2] Apatah lagi kutu beras ini pada asalnya akan menebuk isi di dalam beras sehingga kosong lalu menyimpan telurnya di dalam beras tersebut. Apabila mencapai tempoh matang, barulah ia akan keluar dari beras itu. 

Akan tetapi jika kutu beras itu kelihatan, sama ada ketika membasuh beras mahupun setelah selesai memasak nasi, hendaklah diasingkan jika dapat melakukannya dan tidak dimakan sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua 

dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Lihat https://aliftaa.jo/Research.aspx?ResearchId=16#_edn18. Diakses pada 10 Julai 2023.

[2] Lihat https://hellodoktor.com/pemakanan/tips-lain/cara-hilangkan-kutu-beras/. Diakses pada 10 Julai 2023.

 

Bertarikh: 12 Julai 2023 bersamaan 23 Zulhijjah 1444 H