#2224: Menerima Cashback daripada Duit Orang Lain

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya tentang hukum menggunakan cashback Shopee Coins ketika kita membeli barang orang lain.

Wang tersebut kepunyaan ahli keluarga, tetapi saya diminta untuk membeli barang-barang dari Shopee. Semasa daftar keluar (check-out), ada cashback sebanyak 10% daripada jumlah pembayaran yang dibuat, bermakna  saya akan mendapat sejumlah coin yang agak banyak. Kegunaan coin tersebut sama seperti baucar, kita boleh membeli barang lain dengan potongan harga tertentu. Coin itu pula mempunyai tarikh luput, rugi sekiranya ianya tidak digunakan.

Kebiasaannya saya akan gunakan coin tersebut untuk membeli barang saya, apakah hukumnya? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Shopee Coins merupakan mata wang maya rasmi di platform Shopee. Pengguna boleh memperoleh coin ini daripada pembelian, mengambil bahagian dalam aktiviti dan banyak lagi di aplikasi Shopee. Setiap 100 coins yang diperoleh adalah bersamaan dengan RM 1, dan pengguna boleh menggunakannya untuk menebus jumlah transaksi apabila membuat pembelian dalam aplikasi Shopee.[1]

Melihat kepada situasi yang diceritakan oleh saudara yang bertanya, kami katakan bahawa 10% cashback Shopee Coins yang diperoleh tersebut adalah milik ahli keluarga pemilik wang yang tersebut.

Hukum menggunakan Shopee Coins tersebut adalah bergantung kepada persetujuan dan redha ahli keluarga tersebut. Jika mereka membenarkan saudara untuk menggunakan Shopee Coins tersebut bagi membeli barangan peribadi, maka harus hukumnya. Akan tetapi jika ahli keluarga saudara tidak mengizinkan saudara untuk menggunakan Shopee Coins tersebut, maka haram hukumnya.

Persetujuan ini adalah mu‘amalat yang dihalalkan oleh Allah SWT seperti di dalam firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Dr Hussam al-Din ‘Affanah berkata: “Kaedah mengenai keharusan sesuatu perkara berkaitan mu‘amalat adalah berdasarkan perkataan (إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَٰرَةً عَن تَرَاضٖ مِّنكُمۡ) yang bermaksud ‘kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu’, manakala dalil yang mengeluarkannya dari keharusan tersebut adalah daripada perkataan (لَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ) yang bermaksud ‘janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah’.” (Rujuk Yasalunaka ‘An al-Mu’amalat al-Mu’asarah, hlm. 89)

Secara zahirnya, jika ahli keluarga tersebut sedia maklum berkenaan cashback Shopee Coins apabila saudara membuat pembelian, akan tetapi mereka tidak pernah meminta atau menghiraukan berkenaan Shopee Coins tersebut, seakan-akan mereka merelakan saudara mengambil cashback Shopee Coins. Jika adat kebiasaan keluarga saudara adalah merelakan sahaja penggunaan tersebut tanpa bertanya dahulu, maka tidak menjadi masalah.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengatakan bahawa izin secara uruf (kebiasaan) dianggap sama dengan izin secara lisan. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 11/427)

Sekalipun begitu, alangkah baiknya jika saudara bertanya mereka atau meminta izin mereka terlebih dahulu agar dapat memastikan bahawa mereka sememangnya redha dan bersetuju untuk saudara menggunakan cashback Shopee Coins membeli barangan peribadi.

Diriwayatkan dalam sebuah hadith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلَّا بِطَيبَةٍ مِنْ نَفْسِهِ

Maksudnya: “Tidak halal bagi kamu harta orang Muslim yang lain melainkan atas kerelaannya.”

Riwayat al-Albani di dalam al-Ta‘liqat al-Radiyyah (2/490) dan beliau menghukumkannya sahih

Kesimpulan

Kami katakan, setiap perkara yang terkait dengan harta dan milik orang lain, tidak halal bagi saudara menggunakannya melainkan dengan keizinan dan redha daripadanya.

Jalan yang terbaik adalah dengan saudara meminta izin secara terus daripada ahli keluarga saudara untuk menggunakan cashback Shopee Coins tersebut. Cuba terangkan kepada mereka tentang tarikh luput yang telah ditetapkan oleh pihak Shopee supaya sebarang pembaziran dapat dielakkan.

Jika mereka tidak redha atau memberikan keizinan, berlapang dada sahaja dengan keputusan mereka dan tidak perlu untuk bertelagah pada perkara remeh tersebut.

Wallahu a‘lam

[1] Lihat https://help.shopee.com.my/portal/article/78476-[Shopee-Coins]-What-is-Shopee-Coins#:~:text=Shopee%20Coins%20is%20the%20official,purchase%20within%20the%20Shopee%20App. Diakses pada 10 Julai 2023.

Bertarikh: 12 Julai 2023 bersamaan 23 Zulhijjah 1444 H