#2225: Nama Khayla Nur Raisha

Soalan:

Assalamualaikum Datuk. Maaf saya nak bertanya tentang maksud nama anak. Khayla Nur Raisha memberi makna yang baik atau tidak?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW telah bersabda:

وُلِدَ لي اللَّيْلَةَ غُلَامٌ، فَسَمَّيْتُهُ باسْمِ أَبِي إِبْرَاهِيمَ

Maksudnya: “Aku telah dikurniakan seorang anak lelaki pada satu malam, maka aku menamakannya dengan nama bapaku, Ibrahim”

Riwayat Muslim (2315)

 Abu Musa al-Asy’ari RA telah berkata:

وُلِدَ لي غُلَامٌ فأتَيْتُ به النبيَّ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ فَسَمَّاهُ إبْرَاهِيمَ وَحَنَّكَهُ بتَمْرَةٍ

Maksudnya: “Aku telah dikurniakan seorang anak lelaki, maka aku membawanya kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda SAW menamakannya Ibrahim dan mentahniknya dengan sebiji kurma.”

Riwayat al-Bukhari (5467) dan Muslim (2145)

Menjawab bagi persoalan di atas,  menurut kamu Mu’jam al-Wasit nama Khyla  berasal dari perkataan arab “خَيْلَاء” yang membawa maksud “ketinggian diri”. Ia membawa maksud wanita yang berjalan dengan penuh keanggunan dan ketinggian kerana kecantikannya, dan juga merujuk kepada wanita yang hidup dalam martabat yang tinggi .[1]

“Nur” membawa maksud cahaya atau sesuatu yang menerangi. Perkataan ini banyak disebut dalam al-Quran antaranya ialah firman Allah SWT : 

اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُم مِّنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ ۗ أُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya : Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur).

(Surah al-Baqarah:257)

Lafaz “Raisha” pula  mengikut kamus Lisan al-A’rab adalah pemimpin. 

Justeru kami katakan,  nama tersebut adalah nama yang baik  untuk diberikan kepada anak kerana ia bersesuaian dengan  apa yang telah diriwayatkan oleh Abu Darda bahawa rasulullah SAW bersabda :

إنكم تُدعَونَ يومَ القيامةِ بأسمائِكم وأسماءِ آبائِكم فأَحسِنُوا أسماءَكم

Maksudnya : Sesungguhnya pada hari kiamat kalian akan dipanggil dengan nama-nama kalian dan nama bapa-bapa kalian, maka perelokkanlah nama kalian.

Riwayat Abu Daud(4948)

Saya juga menyarankan dengan nama-nama yang ringkas dan pendek tetapi di kalangan wanita-wanita yang solehah sebagai mana yang tercatat dalam sejarah Islam seperti Khadijah, Aisyah, Fatimah, Zainab, Maryam, Ruqayah, Ummu Kulsum, Nasibah, Maimunah, Juwairiyah, dan lain-lain. Ini sebahagian daripada tafa’ul dan doa kita agar anak-anak kita menjadi insan-insan yang solehah dalam kehidupan mereka.

Semoga anak tuan menjadi anak yang soleh yang tinggi kehormatan dan akhlaknya  serta menjadi penyejuk mata hati  sekeluarga. Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

[1] https://www.aljamila.com/node/397966/الأم-والطفل/تربية-وعناية/أسماء-بنات-بحرف-الــــ-خ-ومعانيها  

Bertarikh: 12 Julai 2023 bersamaan 23 Zulhijjah 1444 H