#2227: Perbezaan Pluraliti Agama Dan Pluralisme Agama

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh Dato’ Seri terangkan perbezaan pluraliti agama dan pluralisme agama?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ 

Maksudnya: “Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.

Surah ‘Ali Imran (19)

Imam Ibn Kathir Rahimahullah menafsirkan ayat ini dengan berkata: “Allah SWT mengkhabarkan bahawa tiada agama yang diterima disisi-Nya daripada seseorang kecuali agama Islam.” (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 2/25)

Imam Abu Hayyan menjelaskan perkataan al-Din ini bermaksud agama dan syarak. Dimana agama yang diterima di sisi Allah SWT atau memberi manfaat di sisi Allah SWT serta diperakui Allah Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bahr al-Muhit, 3/171) 

Kami terangkan terlebih dahulu maksud pluraliti agama dan pluralisme agama. Dr Aizam Mas’od menyebut dalam bukunya:

Sebahagian umat Islam masih terkeliru dengan perbezaan antara pluraliti agama dan pluralisme agama. Pluraliti agama adalah fakta kewujudan kepelbagaian dan perbezaan agama-agama di dunia ini. Sebagai fakta, pluraliti merupakan ketentuan Tuhan atau Sunnatullah, oleh kerana itu ia adalah sesuatu yang tidak mungkin dinafikan. Manakala pluralisme agama adalah pandangan, fikiran, sikap dan pendirian seseorang terhadap realiti kepelbagaian dan fakta perbezaan tersebut. 

Secara khususnya pluralisme agama adalah pandangan, fikiran. keyakinan bahawa agama-agama yang pelbagai dan berbeza-beza itu mempunyai kesamaan dari segi ontologi, soteriologi dan epistemologi. Seperti dikemukakan Peter Byme, professor di King’s College London UK. Pluralisme agama merupakan persenyawaan tiga tesis. Pertama, semua tradisi agama-agama besar dunia adalah sama, semuanya merujuk dan mengisyarat kepada suatu realiti tunggal yang transcendent dan suci. Kedua, semuanya sama-sama menawarkan jalan keselamatan. Dan ketiga, semuanya tidak ada yang final. Ertinya, setiap agama mesti sentiasa terbuka untuk dikritik dan diteliti kembali. (Lihat Diskusi Isu Akidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, hlm. 233-234)

Inilah bahayanya fahaman pluralisme kerana ia menafikan agama yang sebenar ialah Islam. Betapa tidak benarnya agama lain sebagaimana yang dinaskan oleh al-Quran al-Karim:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

Surah ‘Ali Imran (85)

Imam Abu Hayyan menyatakan, “Semua syariat-syariat yang ada telah ditolak kecuali syariat (Islam) yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sahaja.” (Lihat Tafsir al-Bahr al-Muhit, 1/310). Menurut Imam al-Sobuni pula, “Sesiapa yang mencari syariat selain syariat Islam, selepas diutuskan Nabi SAW untuk dijadikan syariatnya, maka tidak akan sesekali diterima oleh Allah SWT.” (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/137)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke 74 pada 25-27 Julai 2006 ketika memutuskan berkenaan gerakan pemikiran liberal yang mengandungi fahaman-faham menyeleweng telah menyenaraikan konsep pluralisme sebagai salah satu doktrin yang sesat lagi menyesatkan. Muzakarah menyimpulkan bahawa pluralisme agama adalah satu konsep yang berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality), bererti semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.

Marilah kita menginsafi yang bahawa agama Islamlah agama yang diredhai oleh Allah SWT. 

Firman Allah SWT:

الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن دِينِكُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ ۚ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ 

Maksudnya: “Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepada-Ku. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

Surah al-Maidah (3)

Al-Tabari berkata: ‘وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا’ (dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu), maksudnya adalah “Aku redha.” Firman-Nya, ‘الْإِسْلَامَ دِينًا’ ( Islam itu menjadi agama untuk kamu), maksudnya adalah: “Pasrah kepada perintah-Ku dan tunduk kepada ketaatan-Ku atas apa yang disyariatkan kepada kamu semua, berupa batas-batas-Nya, kewajiban-kewajiban-Nya dan tanda-tanda-Nya.” ‘دِينًا’ (Agama bagimu), maksudnya adalah, “Ketaatan kamu semua kepada-Ku.”

Jika seseorang berkata, “Atau Allah tidak redha Islam bagi hamba-hamba-Nya, kecuali Dia ingin menurunkan ayat ini?” Katakanlah, “Allah SWT masih redha bagi makhluk-Nya Islam sebagai agama, tetapi Dia masih memurnikan Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabatnya dalam darjat serta martabat Islam, darjat demi darjat, martabat demi martabat, dan keadaan demi keadaan, hingga menyempurnakan syariat-syariat dan tanda-tanda-Nya, sehingga mencapai darjat dan martabat yang paling tinggi.”  (Lihat Jami’ al-Bayan, 8/331)

Kami akhiri dengan doa:

رَضِيْنَا بِاللهِ رَبًّا، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا

Maksudnya: “Kami redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Muhammad SAW sebagai Nabi.”

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H