#2230: Benarkah Itu kata-Kata Ibn al-Mubarak?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar satu kiriman surat yang dihantar oleh Abdullah Ibn al-Mubarak kepada Fudhail bin Iyadh berkenaan gesaan jihad. 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami nukilkan di sini terlebih dahulu siapakah itu Ibn al-Mubarak?

Latar Belakang Syeikh Abdullah ibn al-Mubarak

Nama penuh beliau ialah ‘Abdullah bin al-Mubarak bin Wadhih al-Hanzali al-Tamimi. Beliau dilahirkan pada tahun 118 H di Marw yang merupakan salah satu bandar di Khurasan (sekarang dikenali sebagai Afghanistan dan Asia Tengah). Kota Marw adalah sebuah kota yang terkenal sebagai bandar keilmuan dan ramai ulama’ yang menuntut ilmu di sini seperti Imam Ahmad bin Hanbal. Abdullah ibn al-Mubarak membesar di kota ini sehingga beliau berusia 20 tahun dan mula bermusafir keluar dari bandar tersebut untuk mencari ilmu. (Lihat Tahzib al-Tahzib, 5/386)

Ayah beliau ialah Mubarak yang berasal dari Turki dan merupakan seorang hamba kepada seorang peniaga kaya dari Bani Hanzalah. Salah satu cerita menarik berkenaan Mubarak adalah ketika beliau bekerja di kebun milik tuannya. Kisah ini disebut di dalam kitab Syazarat al-Zahab, 3/362 dan Wafayat al-A’yan, 3/33)

Ibn al-Mubarak telah ditugaskan untuk menjaga kebun buah-buahan milik tuannya selama beberapa tahun. Satu hari, ketika Mubarak sedang sibuk bekerja di kebun tersebut, tuannya datang untuk melawat kebunnya. Tuannya berkata kepada Mubarak: “Ambillah satu buah delima yang manis untukku,” Mubarak segera memetik satu buah dari pohon di situ dan memberi kepada tuannya. Sebaik sahaja tuannya merasa buah delima tersebut, tuannya berkata: “Aku minta kepadamu yang manis tetapi kamu berikan kepadaku yang masam. Berikan kepadaku yang manis!” Mubarak pun pergi memetik buah dari pohon yang lain dan beri kepada tuannya. Tetapi buah itu juga masam dan tuannya memarahinya dan mintanya berikan yang manis. Ini berlaku sebanyak 3 kali dan kemudian tuannya berkata: “Adakah kamu tidak tahu mana yang manis dan mana yang masam?” Jawab Mubarak: “Tidak.” Tuannya bertanya: “Macam mana kamu tidak tahu sedangkan kamu yang menjaga kebun ini bertahun-tahun.” Mubarak menjawab: “Ya, tetapi saya tidak pernah rasa atau makan walau sedikit dari buah-buahan di kebun ini.” Tuannya bertanya: “Kenapa kamu tidak pernah rasa buah di kebun ini?” Mubarak menjawab: “Kerana tuan tidak pernah memberi keizinan kepada saya untuk memakannya.” Terpegun dengan kejujuran dan sifat amanah Mubarak tuannya kemudian mengahwinkan Mubarak dengan anak perempuannya yang juga daripada keturunan yang baik berasal dari Khawarizm. Hasil dari perkahwinan inilah akhirnya Abdullah ibn Mubarak dilahirkan dan dibesarkan di dalam keluarga yang soleh dan mementingkan sifat amanah dan jujur.

Ketekunan dan Kesungguhan Abdullah Ibn Mubarak dalam Menuntut Ilmu

Ibn Mubarak menerima pendidikan awal di sekolah di tempat tinggal beliau di mana beliau diajar membaca dan menulis. Sejak dari kecil, kepintaran Ibn Mubarak terserlah di mana beliau cepat dan mudah menghafal apa yang dipelajarinya. Satu hari selepas mendengar satu ceramah yang panjang, rakan-rakannya bertanya, “Adakah kamu faham apa yang diajarkan?” Ibn Mubarak menjawab, “Aku telah menghafalnya.” Percakapan Ibn Mubarak ini didengar oleh seorang lelaki dan lelaki tersebut berkata, “Jika benar cuba kamu nyatakannya.” Ibn Mubarak kemudian menyampaikan semula ceramah tersebut satu persatu. (Lihat Tarikh Baghdad, 11/388)

Dicatatkan bahawa Ibn Mubarak memulakan musafir ilmu beliau pada tahun 141 H ketika beliau berusia 23 tahun. Ibn Abi Hatim berkata: “Aku mendengar bahawa ayahku pernah berkata, “Ibn Mubarak begitu semangat dan tekun menuntut ilmu dan bermusafir ke hampir ¼ dunia dalam usaha beliau mengumpulkan hadith. Beliau pergi ke seluruh pelusuk tempat yang diketahui mempunyai ulama’ dan ilmu seperti, Yaman, Mesir, Basrah, Kufah dan Syria.” (Lihat Taqaddumat al-Jarh wa al-Ta’dil, 1/269)

Imam Ahmad juga memuji Ibn al-Mubarak dengan berkata: “Tiada siapa pun pada zaman Ibn Mubarak yang mencari ilmu lebih daripada beliau. Beliau mengembara ke Syria, Yaman, Kufah, Basrah dan Mesir. Beliaulah salah seorang periwayat ilmu; beliau menulis daripada ilmuan muda dan tua, dia meriwayatkan daripada ‘Abdul Rahman ibn Mahdi dan beliau juga menulis daripada al-Fazari… Beliau telah benar-benar mengumpul ilmu yang bermakna.” (Lihat Tazkirat al-Huffaz, 2/211)

Pernah satu ketika Ibn al-Mubarak bermusafir sejauh hampir 1000 km dari Marw ke bandar Rai untuk mendengar dan mencatat kenyataan daripada al-Hasan al-Basri. Diriwayatkan daripada Harun al-Mughirah: “Jangan mencari dan membeli kecintaan 1000 orang dengan kemarahan seorang,” Harun menceritakan, “Ibn Mubarak datang kepadaku dan menanyakan tentang riwayat ini. Kemudian aku riwayatkan kepadanya.” Kenyataan ini adalah riwayat daripada Imam al-Hasan al-Basri dan Ibn Mubarak sanggup bermusafir sejauh 1000 km hanya untuk mengumpul dan mensahihkannya. (Lihat al-Rihlah fi Talab al-Hadith, 1/72)

Pernah orang ramai melihat kesungguhannya bermusafir menuntut ilmu sehingga mereka bertanya kepadanya, “Sampai bilakah kamu akan berterusan bermusafir untuk menuntut ilmu?” Beliau menjawab, “Sehingga aku mati.” (Lihat Miftah Dar al-Sa’adah, 2/31)

Kewafatan Abdullah ibn Mubarak

Pada bulan Ramadhan yang diberkati pada tahun 181 Hijrah, Ibn al-Mubarak meninggal dunia pada usia 63 tahun dan kematiannya adalah sejurus selepas beliau pulang dari pertempuran. Beliau dikebumikan di satu tempat bernama Heet, berdekatan Sungai Furat di Baghdad, ‘Iraq.

Dikatakan bahawa apabila kematian menghampirinya, Ibn al-Mubarak berkata kepada Nasr, seorang hamba: ‘Letakkan kepalaku di atas debu.’ Nasr mula menangis lalu dia berkata, ‘Mengapa kamu menangis?’ Nasr berkata, ‘Saya masih ingat bagaimana kamu dahulu hidup dalam keselesaan tetapi hari ini kamu mati dalam kemiskinan dan sebagai orang asing.’ Ibn al-Mubarak berkata kepadanya, ‘Jangan berkata demikian, kerana sesungguhnya aku telah memohon kepada Allah Yang Maha Tinggi untuk mengizinkan aku hidup dengan kehidupan orang kaya dan membiarkan aku mati sebagai orang miskin.’ (Lihat Ihya ‘Ulum al-Din, 2/66)

Kata-Kata Abdullah Ibn Mubarak

Menurut Ibn Khilikan: Abdullah bin Al-Mubarak, adalah seorang Hafiz (menghafaz al-Qur’an), syeikh Islam, mujahid (pejuang) Islam, ahli perniagaan, pengembara dan pengarang kitab-kitab Islam. Beliau juga adalah seorang pakar hadith, fiqh (perundangan Islam), bahasa Arab dan ahli sejarah bangsa Arab yang terkenal gagah perkasa dan pemurah. Beliau merupakan orang yang pertama menyusun sebuah kitab mengenai jihad dan menyeru manusia kepada jihad dengan semangat yang menyala-nyala.

Antara kata-kata beliau semasa menyeru manusia kepada jihad:

يَا عَابِدَ الحَرَمَــيْنِ لَوْ أَبْصَرْتَنَا لَعَلِمْتَ أَنَّكَ فِي العِبَادَةِ تَلْعَبُ

أَوْ كَانَ يُتْعِبُ خَيْلَهُ فِي بَاطِلٍ فَخُيُوْلُنَا يَوْمَ الصَّبِيْحَةِ تَتْعَبُ            

رِيْحُ العَبِيْرِ لَكُمْ وَنَحْنُ عَبِيْرُنَا رَهَجُ السَّنَابِكِ وَالغُبَارُ الأَطْيَبُ

وَلَقَدْ أَتَانَا مِنْ مَقَالِ نَبِيِّنَا قَوْلٌ صَحِيْحٌ صَادِقٌ لاَ يُكْذَبُ:           

لاَ يَسْتَوِي وَغُبَارُ خَيْلِ اللهِ فِي أَنْفِ امْرِئٍ وَدُخَانُ نَارٍ تَلهبُ

هَذَا كِتَابُ اللهِ يَنْطِقُ بَيْنَنَا لَيْسَ الشَّهِيْدُ بِمَيِّتٍ لاَ يُكْذَبُ            

“Wahai abid di dua tanah Haram, kiranya kamu melihat kami,

        Akan terasakan ibadatmu hanya mainan tanpa erti, 

Kiranya kudamu berpenat lelah di dalam usaha yang batil, 

        Namun kuda kami bersusah-payah di medan menambah amal.

Kiranya ciumanmu hanyalah haruman yang semerbak 

       Namun kami berbangga dengan debu perang suci mewangi, dan bauan kuda berlari.

Kami telah terima sabda-sabda Nabi kesayangan kami, 

      Kata-kata yang benar, tepat dan tidak pernah mendustai, 

Pastilah, tidakkan sama bauan kuda Allah yang perkasa,

      Di hidung insan yang bakal menghidu asap neraka yang menyeksa.

Nah, dengarlah, Kitabullah bermadah seloka,

      Memang tentunya tidak pernah berdusta, bahawa syahid itu tidak mati atau binasa”.

Dikatakan bahawa Ibn Mubarak telah menulis bait syair ini pada tahun 177 H dan diserahkan kepada Muhammad bin Ibrahim bin Abi Sukainah untuk dikirim kepada Fudhail bin Iyadh daripada Tarasus, Turki. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 8/411; Tarikh al-Islam, 12/240; Wafayat al-A’yan oleh Ibn Khallikan, 7/386; Tabaqat al-Syafi’iyyah oleh al-Subki, 1/287; Tafsir Ibn Kathir, 1/488; Tarikh Dimasyq oleh Ibn ‘Asakir, 32/449)

Berdasarkan pengamatan kami, hal ini menjadi khilaf di kalangan ulama tetapi yang masyhur inilah kenyataan beliau. Hal ini dinukilkan oleh al-Hafiz Ibnu Asakir dan selepas surat ini sampai kepada ‘Abid al-Haramain iaitu Fudhail bin Iyadh, lantas berair mata keduanya.

Itulah nasihat daripada ulama yang memberi makna mereka saling pesan-memesan dan ingat-mengingat untuk membuat yang baik dan yang lebih baik dan seterusnya terbaik. Hal ini jelas menunjukkan kelebihan berjihad pada jalan Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Riwayat Ahmad (17628), al-Tabarani dalam al-Du’a (1436), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (269) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (6508)

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H