Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah dibayangkan dalam keadaan akhir zaman yang penuh penipuan tetapi menjelaskan kelahiran Imam Mahdi nanti?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Antara tanda-tanda besar kedatangan Hari Kiamat adalah munculnya Imam Mahdi. Disebut bahawa pada akhir zaman, akan keluar seorang lelaki dari kalangan Ahlul Bait, di mana Allah akan mengukuhkan agama Islam dengannya. Dia akan menjadi pemimpin selama tujuh tahun. Bumi akan dipenuhi dengan keadilan. Seluruh umat akan merasa kenikmatan pada zamannya dengan kenikmatan yang belum dirasakan sebelumnya. Bumi mengeluarkan pelbagai tumbuhan, langit menurunkan hujan dan harta dilimpah-ruahkan tanpa batas. (Lihat Asyrat al-Sa’ah, Yusuf al-Wabil, hlm. 257)
Dalam menjawab persoalan di atas, berikut kami mulakan dengan menyatakan beberapa hadis-hadis sahih yang menceritakan tentang kemunculan al-Mahdi dan kekhalifahannya:
1- Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:
لاَ تَذْهَبُ الدُّنْيَا حَتَّى يَمْلِكَ الْعَرَبَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي يُوَاطِئُ اسْمُهُ اسْمِي
Maksudnya: “Dunia tidak akan berlalu pergi sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki dari kalangan ahli baitku yang namanya bersamaan dengan namaku.”
Riwayat al-Tirmizi (2230) Beliau berkata: Hasan Sahih.
Al-Mubarakfuri menukilkan bahawa al-Tibi berkata: “Tidak disebut al-‘ajam (selain Arab) sedangkan mereka juga dimaksudkan (dalam hadith ini) adalah kerana apabila bangsa Arab memerintah dan bersatu padu, maka mereka akan menguasai seluruh umat.” Menurut al-Qari pula: “Boleh jadi, disebut bangsa Arab sahaja disebabkan penguasaan dan dominasi mereka pada zaman tersebut, atau kerana kemuliaan mereka, atau kerana dalam bentuk lafaz berpada di mana sebenarnya ia juga bermaksud bangsa Arab dan selain Arab.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/485)
2- Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
لَوْ لَمْ يَبْقَ مِنَ الدُّنْيَا إِلاَّ يَوْمٌ لَطَوَّلَ اللَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ حَتَّى يَبْعَثَ فِيهِ رَجُلاً مِنِّي أَوْ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي يُوَاطِئُ اسْمُهُ اسْمِي وَاسْمُ أَبِيهِ اسْمَ أَبِي يَمْلأُ الأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلاً كَمَا مُلِئَتْ ظُلْمًا وَجَوْرًا
Maksudnya: “Sekiranya tidak berbaki daripada dunia itu melainkan hanya satu hari nescaya Allah akan memanjangkan hari tersebut sehinggalah Dia mengutuskan seorang lelaki pada hari tersebut yang mana lelaki itu dari kalangan aku – atau dari ahli baitku – Namanya berbetulan dengan namaku dan nama bapanya berbetulan dengan nama bapaku. Dia akan memenuhi bumi dengan penuh adil dan saksama sebagaimana ia (bumi) dahulunya dipenuhi oleh kegelapan dan kezaliman.”
Riwayat Abu Daud (4282)
Syeikh ‘Abd al-Muhsin al-‘Abbad berkata: Dalam hadith ini, terdapat keterangan bahawa sebelum kemunculan al-Mahdi, maka dunia dipenuhi dengan kezaliman dan penindasan. Kemudian setelah kedatangannya, zaman akan berubah dengan dipenuhi oleh keadilan dan tersebarnya kebaikan. (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 1/2)
3- Daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:
الْمَهْدِيُّ مِنِّي أَجْلَى الْجَبْهَةِ أَقْنَى الأَنْفِ يَمْلأُ الأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلاً كَمَا مُلِئَتْ جَوْرًا وَظُلْمًا يَمْلِكُ سَبْعَ سِنِينَ
Maksudnya: “Al-Mahdi dariku. Dahinya luas dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana ia dahulunya dipenuhi dengan kezaliman dan dia akan menguasai selama tujuh tahun.”
Riwayat Abu Daud (4285)
Al-Qari berkata: Hidung beliau tidaklah penyek kerana bentuk hidung seperti ini kurang disukai. (Lihat Aun al-Ma’bud, 11/252)
4- Dari Ummu Salamah R.Anha berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:
الْمَهْدِيُّ مِنْ عِتْرَتِي مِنْ وَلَدِ فَاطِمَةَ
Maksudnya: Al-Mahdi dari itrah (keturunan) ku dari anak Fathimah.
Riwayat Abu Daud (4284), Ibn Majah (4085) dan Ahmad (646)
Syeikh al-‘Azim Abadi menukilkan bahawa al-Hafiz ‘Imad al-Din berkata: Hadis-hadis menunjukkan bahawa al-Mahdi merupakan dari kalangan Ahl al-Bait, daripada zuriat Fatimah, dan daripada keturunan al-Hasan, bukan al-Husain. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 11/374)
5- Dari Saidina Ali bin Abi Thalib R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:
الْمَهْدِيُّ مِنَّا أَهْلَ الْبَيْتِ يُصْلِحُهُ اللَّهُ فِي لَيْلَةٍ
Maksudnya: Al-Mahdi dari kalangan kami – ahli bait – yang Allah perbaiki dirinya pada satu malam.
Riwayat Ibn Majah (4085)
Ibn Kathir berkata: Iaitu Allah mengampunkannya dan memberi taufiq kepadanya serta Allah memberi ilham dan petunjuk kepadanya sedangkan dia tidak diberikan perkara tersebut sebelumnya. (Lihat al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim, 1/29)
6- Diriwayatkan daripada Thauban R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:
إِذَا رَأَيتُمْ الرَّايَاتَ السُّودِ قَدْ جَاءَتْ مِنْ قِبَلِ خُرَاسَانَ فَأتوهَا، فَإِنَّ فِيهَا خَلِيفَة الله المَهْدِي
Maksudnya: “Apabila kalian melihat panji-panji hitam telah datang dari arah Khurasan maka datangilah ia. Kerana sesungguhnya padanya terdapat Khalifah Allah al-Mahdi.”
Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/502)
Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan: Lafaz ‘السُّودِ’ di sini, boleh jadi juga adalah bentuk kinayah (kiasan) terhadap ramainya tentera-tentera umat Islam dari arah Khurasan. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 8/3447)
Demikianlah hadis-hadis di atas merupakan antara hadis-hadis sahih yang diriwayatkan berkaitan dengan al-Mahdi dan kemunculannya. Hadis-hadis tersebut telah disepakati dan dikuatkan kesahihannya oleh majoriti para ulama Islam. Pada keseluruhan hadis di atas, ia merupakan tanda penguat dari Rasulullah SAW bahawa al-Mahdi akan keluar di akhir zaman dan tidak ada syak lagi padanya. Beliau akan keluar dan menguasai keseluruhan bangsa Arab serta akan memenuhkan bumi dengan keadilan dan saksama. Kekuasaannya juga selama tempoh tujuh tahun sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis.
Disebut di dalam kitab Asyrat al-Sa’ah oleh Maher Ahmad al-Sufi: Isu al-Mahdi adalah perkara yang diketahui. Hadis-hadis yang berkaitan dengannya sangat banyak bahkan ia mutawatir yang saling menguatkan. Kebanyakan ulama telah menyatakan bahawa ia sampai ke tahap mutawatir dan mutawatirnya ia adalah mutawatir maknawi disebabkan banyaknya jalan periwayatannya.
Hadis-hadis ini jelas menunjukkan bahawa individu yang dijanjikan ini akan benar-benar muncul pada akhir zaman kelak. Beliau adalah Muhammad bin Abdillah al-Alawi al-Hasani dari zuriat al-Hasan bin Ali bin Abi Thalib R.Anhum. Imam ini (al-Mahdi) adalah di antara rahmat Allah kepada umat yang keluar pada akhir zaman lalu dia akan menegakkan keadilan dan kebenaran serta menghalang kezaliman dan kejahatan. Allah akan menaburkan dengannya panji kebaikan ke atas umat serta menjadi hidayah dan taufiq serta memberi petunjuk kepada sekalian manusia. (Lihat Asyrat al-Sa’ah, hlm. 30)
Tidak menjadi pelik, ketika suasana kembali kepada zaman Jahiliyyah, maka Allah munculkan yang menegak agama-Nya seperti Imam Mahdi. Hal ini bagi membenarkan apa yang Rasulullah SAW nyatakan:
Daripada Abu Umamah al-Bahili RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ ، لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟ قَالَ: بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ
Maksudnya: “Akan selalu ada sekumpulan dari umatku yang akan terus mempertahankan kebenaran, dan mampu mengalahkan musuh-musuh mereka. Tidak akan membahayakan mereka orang-orang yang menyelisihi mereka kecuali hanya sekadar kesulitan hidup yang menimpa mereka, sehingga tiba ketetapan Allah SWT, dan mereka tetap berada dalam keadaan itu. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah! Di manakah kumpulan itu?” Rasulullah SAW bersabda: “Di Bait al-Maqdis dan sekitar Bait al-Maqdis.”
Riwayat Ahmad (22320)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”
Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H