#2232: Nama Sebenar Imam al-Mahdi dan Kelahirannya

Soalan:

Assalamualaikum wrt. Wbt. Dato’ Seri. Boleh kami tahu apakah nama sebenar bagi Imam Mahdi dan di mana tempat kelahirannya? Atau dari mana asal-usul keturunannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nama dan Kelahiran al-Mahdi

Menurut Ibn Kathir, nama beliau ialah Muhammad bin Abdillah al-‘Alawi al-Fathimi al-Hasani. (Lihat al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim, 1/29) Hal ini sepertimana disebut dalam sebuah hadith daripada Abdullah bin Mas’ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَذْهَبُ الدُّنْيَا حَتَّى يَمْلِكَ الْعَرَبَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي يُوَاطِئُ اسْمُهُ اسْمِي

Maksudnya: “Dunia tidak akan berlalu pergi sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki dari kalangan ahli baitku yang namanya bersamaan dengan namaku.”

Riwayat al-Tirmizi (2230) Beliau berkata: Hasan Sahih.

Al-Munawi berkata: Di dalam hadith ini, terdapat penolakan terhadap golongan Rafidhah. Padanya bangkangan yang keras terhadap pendapat golongan Rafidhah bahawa Mahdi ialah Imam Abu al-Qasim Muhammad al-Hujjah Ibn al-Imam Abi Muhammad al-Hasan al-Khalis, bahawa ia adalah Mahdi yang dinanti. Ini kerana, jika sekiranya namanya bersamaan, tetapi nama ayahnya tidak serupa dengan nama ayah Nabi. Lihat Faidh al-Qadir, 5/332

Berkenaan tempat kelahiran al-Mahdi, para ulama’ khilaf kepada beberapa pendapat. Dalam kitab al-Tazkirah, al-Imam al-Qurthubi menyebut bahawa kelahiran Imam al-Mahdi adalah di negara Maghrib. Sebahagian pula berkata bahawa al-Mahdi dilahirkan di Andalus. 

Adapun pendapat yang paling tepat dan sahih ialah pendapat yang diriwayatkan dari Abu Nu’aim dari Hammad dari Ali bin Abi Thalib R.A bahawa al-Mahdi dilahirkan di Madinah. (Lihat Asyrath al-Sa’ah, Maher, hlm. 36) 

Kami akhiri dengan berdoa kepada Allah SWT semoga Allah selamatkan kita daripada sebarang bala dan sentiasa memberi petunjuk kepada kita di samping mendapat kesudahan yang baik.

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Riwayat Ahmad (17628), al-Tabarani dalam al-Du’a (1436), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (269) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (6508)

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H