#2233: Waktu Kemunculan al-Mahdi

Soalan:

Assalamualaikum wrt. wbt. Dato’ Seri. Rentetan daripada persoalan Imam Mahdi, boleh Dato’ Seri terangkan bila waktu kemunculan al-Mahdi sebenarnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

هَلْ يَنظُرُونَ إِلَّا أَن تَأْتِيَهُمُ الْمَلَائِكَةُ أَوْ يَأْتِيَ رَبُّكَ أَوْ يَأْتِيَ بَعْضُ آيَاتِ رَبِّكَ ۗ يَوْمَ يَأْتِي بَعْضُ آيَاتِ رَبِّكَ لَا يَنفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِن قَبْلُ أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا ۗ قُلِ انتَظِرُوا إِنَّا مُنتَظِرُونَ 

Maksudnya: Apakah (yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak beriman itu?) mereka tidak menunggu melainkan kedatangan malaikat (yang mencabut nyawa mereka), atau kedatangan (azab) Tuhanmu, atau kedatangan sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi alamat hari kiamat). Pada hari datangnya sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu, atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya. Katakanlah: “Tunggulah kamu (akan apa yang kamu berhak mendapatnya), dan kami pun sebenarnya menunggu (akan apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada kami).”

(Surah al-An’am: 158)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Yang mereka nanti-nanti, iaitu para pendusta itu tidak lain hanyalah kedatangan malaikat kepada mereka untuk mencabut nyawa mereka atau kedatangan mereka dengan membawa seksa Tuhanmu untuk mereka. Atau kedatangan beberapa tanda-tanda berlakunya hari Kiamat. Pada hari datangnya tanda dari Tuhanmu itu, seperti matahari terbit dari barat dan kedatangan dajjal, maka iman seseorang tidak lagi bermanfaat bahkan kepada dirinya sendiri yang belum beriman sebelum itu. Kerana keimanan pada hari itu adalah keimanan yang terpaksa, dan hanya untuk meringankan beban mereka jika kamu belum beriman sebelumnya. Tempat pemberian tanggungjawab adalah di dunia. Atau bahkan dia sudah beriman namun belum berbuat kebaikan dan amal soleh dalam masa imannya, atau juga berbuat baik namun tidak mempunyai iman. Maka keimanannya, taubatnya, dan amal baiknya tidak dapat memberi manfaat apa pun kepadanya pada hari daripada azab. (Lihat Tafsir al-Wajiz, 1/233)

Dalam kitab al-Fitan wa al-Malahim, Ibn Kathir berkata: Aku mengira bahawa keluarnya al-Mahdi berlaku sebelum turunnya Nabi Isa AS. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah R.A beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

فَيَنْزِلُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ صلى الله عليه وسلم فَيَقُولُ أَمِيرُهُمْ تَعَالَ صَلِّ لَنَا ‏.‏ فَيَقُولُ لاَ ‏.‏ إِنَّ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ أُمَرَاءُ ‏.‏ تَكْرِمَةَ اللَّهِ هَذِهِ الأُمَّةَ

Maksudnya: “Isa bin Maryam SAW turun, lalu pemimpin mereka (al-Mahdi) berkata: ‘Marilah, solatlah mengimami kami.’ Lalu Isa berkata: ‘Tidak, sesungguhnya sebahagian kamu menjadi pemimpin atas sebahagian yang lain, sebagai kemuliaan yang Allah berikan kepada umat ini.”

Riwayat Muslim (247)

Syeikh al-‘Azim Abadi berkata: Pada hadis-hadis ini, telah datang riwayat dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim yang menunjukkan dua perkara:

Pertama: Bahawa ketika turunnya Isa AS dari langit, maka orang yang memerintah urusan umat Islam ketika itu adalah seorang lelaki dari kalangan mereka.

Kedua:  Beliau hadir memimpin mereka untuk solat dan mengimami solat kepada seluruh umat Islam. Ini adalah permintaan daripada Nabi Isa AS ketika turunnya untuk menjadi imam solat, lalu ditunjuk kepada lelaki ini kerana kesesuaiannya. Sekalipun tidak dinyatakan dengan jelas lafaz al-Mahdi, tetapi ia menunjukkan sifat lelaki soleh yang menjadi imam bagi umat Islam ketika itu. 

Telah datang dalam banyak hadis sama ada dalam al-Sunan atau Musnad dan selainnya, yang mentafsirkan hadith dalam dua kitab sahih. Ini menunjukkan bahawa lelaki yang soleh itu bernama Muhammad bin Abdillah, dan dikatakan itulah al-Mahdi. Sunnah mentafsirkan sebahagiannya dengan yang lain. Daripada hadis-hadis yang menunjukkan demikian itu ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Harith bin Abi Usamah dalam musnadnya, dengan sanadnya daripada Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ينزلُ عيسى ابنُ مريمَ فيقولُ أميرُهمُ المهديُّ: تعالَ صلِّ بِنا، فيقولُ: لا إن بعضَهم أميرُ بعضٍ، تَكرِمةُ اللهِ لهذه الأمةِ

Maksudnya: “Isa bin Maryam akan turun dan pemerintah mereka al-Mahdi berkata: “Marilah, solatlah mengimami kami.” Lantas kata Nabi Isa: “Tidak, sesungguhnya sebahagian mereka menjadi pemimpin kepada sebahagian yang lain, sebagai kemuliaan Allah untuk umat ini.”

Riwayat al-Harith dalam al-Musnad sepertimana dalam al-Manar al-Munif (hlm. 147), Abu ‘Awanah dalam al-Musnad (317) dan Abu Ya’la sepertimana dalam Majma’ al-Zawa’id oleh al-Haithami (7/291). Hadis ini seperti kata Ibn Qayyim dalam al-Manar al-Munif, sanadnya baik.

Berdasarkan kepada nas di atas, jelas menunjukkan kepada kita betapa mulianya umat Rasulullah SAW sehingga diperakukan oleh Nabi Allah Isa AS. Marilah sama-sama kita mensyukuri nikmat Allah SWT atas pelbagai kurniaan dan kita berdoa supaya Allah SWT selamatkan kita daripada kehilangan nyawa.

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَميعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H