Soalan:
Assalamualaikum wrt. wbt. Dato’ Seri. Setelah kita mengetahui sebahagian berkenaan dengan sifat-sifat Imam Mahdi, boleh Dato’ Seri terangkan pandangan ulama yang menyokong atau mengingkari kewujudan Imam Mahdi?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam membicarakan berkenaan kemunculan Imam al-Mahdi, para ilmuan terbahagi kepada beberapa pendapat:
Pendapat pertama: Ahlus Sunnah wal Jamaah tidak ada khilaf (perselisihan pendapat) sesama mereka dalam isu al-Mahdi. Akidah mereka sama dan bertepatan dengan hadis-hadis sahih yang telah kita nyatakan. Di sisi Ahli Sunnah, Imam al-Mahdi adalah seorang pemimpin soleh yang Allah utuskan untuk memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia telah dipenuhi dengan kezaliman. Beliau menjadi seorang mujaddid (tokoh pembaharuan) untuk agama ini.
Ibn Khaldun berkata: Ketahuilah bahawa pendapat yang masyhur di sisi umat Islam keseluruhannya, bahawa tidak boleh tidak di akhir zaman kelak akan kemunculan seorang lelaki dari kalangan ahli bait yang akan menguatkan agama, menzahirkan keadilan, dan diikuti oleh kaum muslimin, dan beliau akan menguasai ke atas kerajaan-kerajaan Islam. Beliau dinamakan sebagai al Mahdi. Sesungguhnya Isa akan datang selepasnya dan membunuh Dajjal atau Isa turun bersama-samanya (al Mahdi) lalu dia membantunya untuk membunuh Dajjal dan Nabi Isa menjadi makmum kepada al-Mahdi semasa solatnya. (Lihat Muqaddimah Ibn Khaldun, hlm. 555)
Pendapat kedua: Terdapat juga golongan yang menisbahkan diri mereka kepada Ahli Sunnah akan tetapi mereka tidak mempunyai tangan yang panjang (keluasan ilmu) dalam mentahqiqkan nas-nas serta mengetahui selok beloknya dengan baik. Justeru, mereka menolak kewujudan al-Mahdi dan menafikan kemunculannya pada akhir zaman.
Golongan yang Mengingkari Kemunculan al-Mahdi
Syeikh Yusuf al-Wabil berkata: Terdapat sebahagian penulis pada zaman sekarang yang mengingkari kemunculan al-Mahdi. Mereka menyifatkan pelbagai hadith tentangnya dengan kontradiktif dan kebatilan (tidak benar), dan mendakwa bahawa sesungguhnya al-Mahdi hanyalah cerita bohong yang dilakukan oleh kaum Syiah, kemudian masuk ke dalam kitab-kitab Ahli Sunnah.
Para penulis tersebut telah terpengaruh dengan pendapat yang telah masyhur daripada Ibn Khaldun, seorang ahli sejarah rahimahullah, di mana beliau telah mendha’ifkan hadith-hadith tentang al-Mahdi. Sedangkan Ibn Khaldun bukanlah pakar dalam bidang ini sehingga pendapatnya dalam mensahihkan dan mendha’ifkan hadith boleh diterima. Seandainya satu hadith sahaja yang sahih, maka hal tersebut sudah cukup sebagai hujjah tentang adanya al-Mahdi. Lebih-lebih lagi, apabila hadith-hadith yang menyebut tentangnya adalah sahih bahkan mutawatir. (Lihat Asyrat al-Sa’ah, Yusuf al-Wabil, hlm. 274)
Syeikh Ahmad Syakir berkata: “Sesungguhnya Ibn Khaldun tidak memahami dengan benar perkataan para ahli hadith ‘al-Jarh Muqaddamun ‘ala al-Ta’dil’. Seandainya dia menelaah perkataan para pakar hadith dan memahaminya, nescaya dia tidak akan pernah mengatakan apa-apa yang telah dia katakan. Mungkin juga, sebenarnya dia telah membaca dan mengetahuinya, namun dia melemahkan hadith al-Mahdi kerana keadaan politik yang menekannya ketika itu.” (Lihat ta’liq (komentar) Syeikh Ahmad Syakir dalam kitab Musnad Imam Ahmad, 5/197-198)
Sebahagian yang lain pula mengingkari hadith-hadith tentang al-Mahdi dengan berhujahkan hadith berikut:
لاَ يَزْدَادُ اْلأَمْرُ إِلاَّ شِدَّةً، وَلاَ الدُّنْيَا إِلاَّ إِدْبَارًا، وَلاَ النَّاسُ إِلاَّ شُحًّا، وَلاَ تَقُوْمُ السَّاعَةُ إِلاَّ عَلَى شِرَارِ النَّاسِ، وَلاَ الْمَهْدِيُّ إِلاَّ عِيْسَى بْنُ مَرْيَمَ.
Maksudnya: “Suatu urusan tidak akan bertambah melainkan akan semakin sulit, dunia semakin mundur dan manusia semakin bakhil. Tidaklah Kiamat terjadi kecuali kepada manusia yang paling buruk, dan tidak ada al-Mahdi kecuali ‘Isa bin Maryam.”
Riwayat Ibn Majah (2/1340) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/441)
Jawapan atas pernyataan mereka adalah, apabila diteliti, hadith tersebut adalah dha’if kerana semuanya bersumber daripada Muhammad bin Khalid al-Jundi. Imam al-Zahabi berkata: “Dia adalah munkar al-hadith.” Abu ‘Abdillah al-Hakim berkata: “Dia adalah majhul.” Imam al-Zahabi turut berkata: “Hadith ‘tidak ada al-Mahdi kecuali ‘Isa bin Maryam adalah khabar yang munkar, diriwayatkan oleh Ibn Majah.” (Lihat Mizan al-I’tidal, 3/535 dan Asyrat al-Sa’ah oleh Yusuf al-Wabil, hlm. 280)
Namun, terdapat ulama’ yang menyatakan bahawa hadith-hadith tersebut adalah tidak bertentangan sama sekali. Ini sepertimana disebut oleh Abu ‘Abdillah al-Qurtubi, katanya: “Dimungkinkan bahawa yang dimaksudkan daripada sabda Baginda SAW, “Dan tidak ada al-Mahdi kecuali ‘Isa,” adalah tidak ada al-Mahdi yang sempurna, yang maksum kecuali ‘Isa. Dengan kefahaman tersebut, maka pelbagai hadith dapat disatukan dan hilang pertentangan kerananya.” (Lihat al-Tazkirah fi Ahwal al-Mauta wa Umur al-Akhirah, hlm. 617)
Syeikh Yusuf al-Wabil menyimpulkan, katanya: Seandainya hadith tersebut benar-benar tetap, maka ia masih tidak mampu mengalahkan banyak hadith yang tetap berkenaan al-Mahdi, yang semuanya lebih sahih daripada hadith yang diperselisih oleh ulama’ berkenaan sahih dan tidaknya. Wallahu a’lam. (Lihat Asyrat al-Sa’ah oleh Yusuf al-Wabil, hlm. 280)
Syeikh Abd al-Aziz bin Baz pernah berkata: Isu Imam Mahdi adalah perkara yang maklum dan hadith berkenaan dengannya adalah amat banyak, bahkan mutawatir. Ia telah dinukilkan bukan seorang dari kalangan ahli ilmu, sebaliknya mutawatir maknawi kerana banyak jalannya. Berdasarkan nas, lelaki yang dijanjikan dengannya sebagai Imam Mahdi adalah sabit dan pasti keluar. Dinamakan dengan Muhammad bin Abdullah al-Alawi al-Hasani dari zuriat al-Hasan bin Ali bin Abi Talib yang keluar pada akhir zaman memimpin umat ini dengan keadilan dan kebenaran serta mencegah kezaliman. Allah tebarkan dengannya bendera kebaikan kepada ummah, keadilan, hidayah taufik dan memberi petunjuk kepada manusia.
Para ulama’ yang terdahulu, yang telah mengkaryakan berkaitan isu Imam Mahdi amat ramai, antaranya:
-
- Al-Hafiz Abu Nu’aim
- Imam al-Suyuti dengan kitabnya bertajuk al-‘Urfu al-Wardi fi Akhbar al-Mahdi. Begitu juga kitab al-Hawi li al-Fatawi.
- Al-Hafiz Ibn Kathir menyebut dalam kitabnya al-Fitan wa al-Malahim
- Al-Hafiz Ibn Hajar mengarang dengan tajuk al-Qaul al-Mukhtasar fi ‘Alamat al-Mahdi al-Muntazar
- Al-Muttaqi al-Hindi
- Al-Son’ani
- Mar’i bin Yusuf al-Hanbali
Bahkan, Syeikh Abd al-Husin Abbad telah menghitung kitab-kitab Sunnah yang mengeluarkan hadis-hadis ini dan mendapatinya sehingga 36 kitab. Apa yang disebut daripadanya oleh Ashab al-Sunan al-Arba’ah, Imam Ahmad dalam Musnadnya, al-Hakim dalam Mustadraknya, Ibn Hibban dalam Sahihnya. Begitu juga beliau menghitung bilangan sahabat yang meriwayatkan hadis berkenaan Mahdi sehingga mencecah 26 orang sahabat.
Syeikh Abd al-Muhsin bin Hamad al-Abbad juga berkata: Aku telah meneliti kebanyakan hadis-hadis berkaitan al-Mahdi dan aku telah mendapatinya sebagaimana yang telah dikatakan oleh al-Syaukani, Ibn al-Qayyim dan selainnya:
“Padanya hadis-hadis yang sahih, hasan, hadis dhaif yang boleh dikuatkan, dan terdapat juga hadis-hadis palsu berkaitannya (Al-Mahdi). Memadailah bagi kita hadis-hadis yang elok sanadnya. Sama ada ia sahih lizaatih atau sahih lighayrih. Begitu juga sama ada ia hasan lizaatih atau hasan lighayrih dan demikian jugalah hadis-hadis dhaif yang apabila ia digabungkan akan menguatkan antara satu sama lain maka ia juga turut menjadi hujah di sisi para ulama.
Kebenarannya, sesungguhnya majoriti ahli ilmu bahkan ia adalah satu kesepakatan bahawa sabitnya khabar berkenaan al-Mahdi bahkan dia adalah benar dan akan keluar pada akhir zaman. Adapun, mereka yang syaz dari kalangan ahli ilmu dalam hal ini maka tidak diberi perhatian pada pendapatnya dalam hal tersebut.” (Lihat al-Radd ‘Ala Man Kazaba bi al-Ahadith al-Waridah fi al-Mahdi, Abd al-Muhsin Abbad, hlm. 157)
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dan kita beriman dengan kewujudan Imam Mahdi yang akan muncul pada akhir zaman, berdasarkan kepada nas-nas. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Surah al-Baqarah (201)
Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H