#2238: Merobohkan Bangunan Masjid Lama

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada sedikit kemusykilan berkenaan bangunan masjid lama yang ditinggalkan terbiar bersebelahan masjid baru di kampung saya. Persoalannya, betulkah masjid lama itu tidak boleh dirobohkan untuk kepentingan lain seperti membina dewan serbaguna untuk masyarakat awam, atau dibuat tapak meletak  kenderaan? Mohon penjelasan, terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, perkataan waqaf merujuk kepada sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai atau sesuatu yang diperuntukkan bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam. Kami buka perbincangan ini dengan perbahasan waqaf kerana masjid merupakan bangunan yang diwaqafkan untuk umat islam mengerjakan ibadah seperti solat dan sebagainya.

Dalam Bahasa Arab pula, waqaf berasal dari pada perkataan waqf (الوَقْفُ) yang bererti berdiri atau berhenti. (Lihat Lisan al-Arab, 9/359)

Kebanyakan ulama’ fiqh mentakrifkan waqaf dari segi bahasa dengan perkataan al-Habs (الحَبْسُ) kerana perkataan ini lebih hampir kepada pengertian syara’.

Dari sudut istilah pula, Imam Ibn Hajar al-Haitami mentakrifkannya sebagai: “Menahan harta yang boleh dimanfaatkan selama bendanya masih baik, dengan cara memutuskan hak kepemilikan atas harta tersebut, dan dialihkan untuk kepentingan-kepentingan (awam) yang diharuskan.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 6/235)

 

Merobohkan Bangunan Masjid Lama

Melihat kepada persoalan di atas, kami fahami bahawa saudara yang bertanya mengajukan soalan tersebut kerana bangunan masjid lama berkenaan tidak lagi digunakan dan telah dibiarkan menjadi usang tanpa penjagaan yang rapi. Oleh yang demikian, sebahagian pihak memikirkan alternatif lain untuk memanfaatkan kawasan tapak masjid tersebut sepertu membuat tempat meletakkan kenderaan bagi masjid baharu, atau membuat dewan serbaguna yang juga boleh dimanfaatkan oleh masyarakat muslim setempat.

Pertamanya, kami datangkan terlebih dahulu fatwa berkaitan yang disebutkan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, bahawasanya masjid merupakan waqf mu’abbad (waqaf selama-lamanya). Oleh itu, ia tidak boleh dijual, diberikan sebagai hadiah, memindahkannya ke tempat lain, atau mengubahnya untuk tujuan lain selain daripada melakukan ibadat dan mendirikan syi‘ar agama islam.

Walau bagaimana pun, dalam keadaan tertentu mungkin timbulnya keperluan dan dharurat untuk melakukan perkara tersebut (larangan yang disebutkan) untuk kepentingan umum umat islam. Antaranya:

  • Jika masjid tersebut runtuh dengan sendirinya.
  • Atau ia berada dalam keadaan yang tidak boleh untuk orang lain mengambil manfaat khusus darinya (seperti mendirikan solat).
  • Kawasan tapak masjid tersebut musnah dan kekal tidak boleh digunakan.
  • Masjid tersebut dibina di tempat yang kotor atau tidak sesuai.
  •   Ia menjadi terlalu sempit untuk penduduk kawasan itu dan tidak mungkin untuk meluaskankannya di tapak tersebut.
  • Atau sebahagian daripadanya amat diperlukan untuk jalan awam.[1]

Larangan untuk menjual dan menghadiahkan harta waqaf adalah jelas seperti mana dalam hadih yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma bahawa sesungguhnya Umar R.A pernah memiliki sebidang tanah Khaibar, lalu beliau menemui Nabi SAW dan bertanya: “Wahai Rasulullah, aku telah menerima sebidang tanah di Khaibar, dan aku tidak pernah menerima harta yang lebih berharga daripada itu. Apakah yang perlu aku lakukan dengannya?” Baginda SAW bersabda:

إِنْ شِئْتَ حَبَّسْتَ أَصْلَهَا، وَتَصَدَّقْتَ بِهَا،‏ فَتَصَدَّقَ عُمَرُ أَنَّهُ لاَ يُبَاعُ أَصْلُهَا وَلاَ يُوهَبُ وَلاَ يُورَثُ

Maksudnya: “Sekiranya engkau mahu, kamu wakaflah ia dan sedekahkan hasilnya.” Kemudian Umar menyedekahkannya, tidak dijual pohonnya dan hasilnya, tidak diwariskan dan tidak dihadiahkan.”

Riwayat al-Bukhari (2772)

Ibn Qudamah al-Maqdisi menyatakan bahawa, jika harta wakaf itu musnah dan tidak ada lagi faedahnya, seperti rumah yang runtuh, atau tanah yang rosak dengan menjadi tanah gersang dan tidak dapat menghidupkannya, atau masjid yang penduduk kampung itu berpindah darinya dan ia menjadi tempat yang tidak didirikan solat di dalamnya, atau masjid tersebut terlalu kecil bagi penduduknya dan tidak dapat diperluaskan di dalamnya.

Jika tidak diimarahkan harta waqaf tersebut kecuali dengan menjual sebahagian daripadanya, maka dibolehkan jual sebahagiannya. Jika masih tidak mampu diimarahkan harta tersebut melainkan hanya dengan menjual keseluruhannya, maka boleh untuk jual keseluruhannya. (Lihat al-Mughni, 6/28)

Ibn ‘Abidin al-Hanafi menukilkan daripada kitab Jami‘ al-Fatawa bahawa dibolehkan untuk penduduk setempat memindahkan masjid yang tidak lagi didirikan solat di dalamnya ke tempat lain (agar ia diimarahkan semula), dan mereka berhak menjual masjid lama yang tidak diketahui pembinanya dan menyalurkan wang tersebut ke masjid baharu. (Lihat Rad al-Muhtar, 4/357)

Ahli majlis Fatwa al-Lajnah al-Da’imah pula ada menjawab isu mengenai merobohkan masjid dan membinanya dengan binaan baharu, mereka menyimpulkan bahawa tidak menjadi masalah untuk merobohkan masjid lama dan membina semula dengan gaya moden. Kerana itu adalah untuk kepentingan umum masyarakat setempat dan lain-lain, dan orang-orang pertama yang membina masjid lama tersebut, pahala mereka sempurna dan tidak berhenti dengan berlakunya pembaharuan. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 6/232)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin ketika ditanyakan tentang isu ini, beliau mengatakan bahawa setiap masjid mempunyai pihak berautoriti yang menguruskannya, seperti kementerian waqaf. Maka perlu kembali kepada mereka, jika mereka menetapkan untuk dirobohkan masjid tersebut, maka ia perlu dirobohkan. Dan pahal orang yang mewaqafkan hartanya untuk pembinaan masjid tersebut adalah bergantung kepada Allah SW, ini berdasarkan firman-Nya:

وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِن بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۗ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah.”

(Surah al-Nisa’: 100)

Orang yang pertama membina masjid lama tersebut menyangka bahawa ia akan kekal, maka baginya ganjaran atas apa yang di niatkan. Akan tetapi, untuk mengehadkan masyarakat menggunakan juga masjid lama yang sudah tidak sesuai didirikan solat di dalamnya itu, dengan alasan si fulan telah mewaqafkannya, maka perkara ini tidak warid (dalam nas syara‘). Masyarakat setempat mempunyai hak untuk merobohkannya dan membinanya dengan cara yang membuatkan orang ramai lebih selesa, dan meluaskannya, tetapi perlu mendapatkan kebenaran pihak kementerian waqaf dalam isu ini, atau kebenaran mereka yang menjaga masjid ini. (Lihat al-Liqa’ al-Syahri, 1/493)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, kami katakan bahawa tidak menjadi masalah untuk merobohkan masjid lama tersebut jika diyakini bahawa ianya sudah tidak sesuai untuk didirikan solat di dalamnya atas sebab-sebab tertentu.

Akan tetapi, masyarakat setempat perlu mendapatkan kebenaran pihak berautoriti terlebih dahulu agar kawasan masjid tersebut tidak digunakan dengan cara yang salah. Idea menjadikannya sebagai tempat letak kenderaan bagi masjid baharu sangatlah bagus, kerana kita dapat mengekalkan status kawasan tersebut sebagai tanah waqaf untuk masjid. Sebahagian masjid yang padat dengan aktiviti juga sesuai mempunyai kelengkapan lain seperti dewan serbaguna yang memberi banyak kemudahan kepada masyarakat setempat.

Jika adanya keperluan mendesak untuk menjual tanah tersebut kepada pihak tertentu sebelum boleh membina tapak meletakkan kenderaan atau dewan serbaguna tersebut, maka dibolehkan menjualnya kerana dharurat.

Kami katakan masjid berada di bawah Majlis Agama setiap negeri yang ditadbir oleh Pejabat Agama Islam Negeri. Mereka mempunyai unit masjid untuk mengawal selia dan menguruskan dengan sebaik mungkin. Justeru, kebenaran daripada mereka perlu diambilkira bahkan itulah yang sepatutnya. Ia akan dapat menyelesaikan masalah dan memberi solusi yang terbaik dalam isu seperti ini. 

Sekali pun begitu, kerja-kerja yang dilakukan ketika merobohkan tersebut perlu diiringi dengan rasa hormat kerana tanah tersebut masih kekal sebagai tanah yang diwaqafkan untuk masjid, yang mana ia merupakan salah satu syi‘ar islam.

Firman Allah SWT:

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya: “Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.”

(Surah al-Hajj: 23)

Semoga setiap usaha yang kita lakukan untuk tidak membiarkan masjid lama terbiar menjadi sia-sia manfaatnya, diterima oleh Allah SWT.

Wallahu a‘lam

[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/15662/%D9%87%D8%AF%D9%85-%D9%85%D8%B3%D8%AC%D8%AF-%D9%82%D8%AF%D9%8A%D9%85-%D9%88%D8%A7%D9%84%D8%A7%D9%86%D8%AA%D9%81%D8%A7%D8%B9-%D8%A8%D8%A7%D8%B1%D8%B6%D9%87. Diakses pada 11 Julai 2023.

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H