#2241: Was-was Pada Makanan Yang Tiada Logo Halal

Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Dulu saya pernah ada lintasan hati dan semua benda saya mudah merasa was was terutamanya dalam isu logo halal makanan. Saya yakin makanan tersebut halal namun sering diganggu oleh lintasan hati menyebabkan saya tidak berani untuk membeli. Sebagai contoh, sebuah kedai roti tiada mendapat logo halal namun kini ia sudah mendapat logo halal. Adakah boleh saya membeli makanan daripada kedai tersebut jika tidak lagi merasa was was?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Begitu juga firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka (makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, melalui hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. ( Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80)

Firman Allah SWT lagi:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Syeikh al-Maraghi mengatakan bahawa perkataan “الطَّيِّبَاتِ” di sini bermaksud apa sahaja makanan yang baik untuk diri dan juga elok untuk kehidupan, yang mana manusia makan dengan penuh selera. Ia juga adalah makanan yang boleh dimakan dan dicerna dengan baik oleh manusia sehingga memberikan zat-zat yang mendatangkan manfaat kepada manusia. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/56)

Menjawab bagi persoalan di atas, dalam isu ini kami katakan sekiranya saudara/saudari telah yakin makanan tersebut  tidak diperbuat daripada bahan-bahan yang haram maka makanan tersebut adalah halal dan tidak perlu  was-was untuk makan dan membeli di kedai tersebut. Ini juga berdasarkan  dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125.)

Justeru kami katakan, apa-apa makanan boleh dimakan walaupun tiada logo halal sekiranya  telah yakin ia tidak bercampur dengan bahan-bahan yang haram. Suka juga untuk kami nasihati supaya tinggalkanlah keraguan dan ambillah apa yang telah diyakini kerana keyakinan itu tidak dihilangkan disebabkan oleh syak (ragu-ragu).

Diriwayat  daripada Hasan bin Ali R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya:Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan.

Riwayat al-Tirmizi (2708)

Ibn Daqiq al-‘Id berkata maksud yang meragukan kamu ialah: “Tinggalkan sesuatu yang menjadikan kamu ragu-ragu dan gantikanlah kepada perkara yang tidak meragukan.” (Lihat Syarh al-Arba’in al-Nawawiyah, hlm. 61)

Kami katakan peri pentingnya kita sentiasa menjaga makanan yang halal dan mendapatkannya. Walaupun begitu, kehidupan perlulah berasaskan realiti bukan semata-mata secara semberono tetapi hendaklah sentiasa berwaspada mencari yang halal. Kita hendaklah meraikan suasana setempat agar kita tidak akan merasa tertekan dan was-was dalam menetukan makan minum kita. Keyakinan yang tinggi kepada orang Islam dan umat Islam apabila mereka mengusahakan makanan hendaklah kita yakini. 

Semoga Allah memberi kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syaria’tnya dan kami akhiri dengan doa :

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H