#2243: Status Kisah Iblis Ingin Bertaubat Zaman Nabi Musa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, adakah iblis pernah rasa untuk bertaubat dan adakah sahih kisah iblis yang ingin bertaubat melalui Nabi Musa AS?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kisah ini diceritakan dalam kitab Makayid al-Syaitan (44) oleh Ibn Abi al-Dunya, katanya: “Abu Abdullah Muhammad bin Musa telah menceritakan kepada kami, Ja’far bin Sulaiman telah menceritakan kepada kami, ‘Amr bin Dinar Qahraman keluarga al-Zubair telah menceritakan kepada kami, Salim bin Abdullah telah menceritakan kepada kami, daripada bapanya (Ibn ‘Umar), katanya:

… وَلَقِيَ إِبْلِيسُ مُوسَى فَقَالَ: يَا مُوسَى أَنْتَ الَّذِي اصْطَفَاكَ اللَّهُ بِرِسَالَتِهِ، وَكَلَّمَكَ تَكْلِيمًا، وَأَنَا مِنْ خَلْقِ اللَّهِ أَذْنَبْتُ، وَأَنَا أُرِيدُ أَنْ أَتُوبَ، فَاشْفَعْ لِي عِنْدَ رَبِّكَ عَزَّ وَجَلَّ أَنْ يَتُوبَ عَلَيَّ، فَدَعَا مُوسَى رَبَّهُ. فَقِيلَ يَا مُوسَى قَدْ قَضَيْتُ حَاجَتَكَ، فَلَقِيَ مُوسَى إِبْلِيسَ، فَقَالَ: قَدْ أُمِرْتَ أَنْ تَسْجُدَ لِقَبْرِ آدَمَ وَيُتَابَ عَلَيْكَ، فَاسْتَكْبَرَ وَغَضِبَ، وَقَالَ: لَمْ أَسْجُدْ لَهُ حَيًّا، أَأَسْجُدُ لَهُ مَيِّتًا؟

Maksudnya: ‘Dan Iblis bertemu dengan Musa dan berkata, ‘Wahai Musa, kamu yang Allah pilih untuk risalah-Nya dan berbicara denganmu. Aku adalah makhluk Allah yang berdosa dan aku ingin bertaubat. Maka mohonkanlah syafaatku kepada Rabbmu Azza wa Jalla agar Dia menerima taubatku.’ Maka Musa berdoa kepada Rabbnya. Kemudian dikatakan, ‘Wahai Musa, hajatmu telah terkabul.’ Maka Musa bertemu dengan Iblis dan berkata, ‘Kamu telah diperintahkan untuk sujud kepada kubur Adam, maka taubat kamu akan diterima. Maka Iblis dengan sombong dan marah berkata, ‘Aku tidak bersujud kepadanya saat dia hidup, bagaimana aku akan bersujud kepadanya saat dia telah mati?’ 

Kisah melalui jalur ini diriwayatkan juga oleh Ibn A’sakir dalam Tarikh al-Dimasyq (61/127), dan Ibn al-Jauzi dalam Talbis Iblis (hlm. 29).

Dalam sanadnya terdapat ‘Amr bin Dinar, yang merupakan perawi yang lemah sebagaimana yang disebut oleh ramai para ulama’ hadith. 

  • Al-Zahabi berkata: “‘Amr bin Dinar, Qahraman keluarga al-Zubair, Orang Basrah, dia meriwayatkan daripada Salim bin Abdullah: Dhaif.” (Lihat al-Mughni, 2/484).
  • Ibn Hibban berkata tentangnya: “‘Amr bin Dinar, Qahraman keluarga al-Zubair… Dia termasuk orang yang lebih suka menggunakan hadith-hadith yang bukan berdasarkan hujjah, dan tidak boleh menulis hadithnya kecuali kerana takjub.” (Lihat al-Majruhin, 2/71).

Juga dalam sanad ini terdapatnya, Ja’far bin Sulaiman, meskipun beliau dianggap thiqah, tetapi terdapat pertikaian padanya, al-Zahabi berkata tentangnya: “Ja’far bin Sulaiman al-Dhab’ie, Saduq Soleh, terkenal dengan thiqah, tetapi didhaifkan oleh Yahya al-Qattan dan selainnya, terdapat padanya tasyayyu’ (cenderung kepada syiah), dan dia memiliki perkataan yang dimunkari dan hadithnya tidak ditulis.” (Lihat al-Mughni, 1/32).

Anak murid kepada Jaafar bin Sulaiman iaitu Muhammad bin Musa disebut oleh al-Hafiz Ibnu Hajar, dengan mengatakan: “Layyin” (Lemah). (Lihat Taqrib al-Tahzib, hlm. 509)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa kisah ini adalah kisah yang diriwayatkan oleh Ibn Abi al-Dunya dan dinukilkan juga oleh al-Suyuti dalam al-Durar al-Manthur fi Tafsir bi al-Ma’thur (1/125). Namun begitu, kisah ini adalah daripada riwayat yang dhaif sebagaimana terdapatnya masalah pada perawi-perawi dalam sanad ini. 

Oleh itu, kami katakan kisah-kisah seperti ini biasanya disebut sebagai mawa’iz untuk kesedaran ummah, tetapi bukan untuk berhujah kerana statusnya adalah dhaif.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H