#2246: Status Hadith Perbicaraan Antara Nafsu dan Allah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak tanya berkenaan status artikel ini sebab ada orang kata ia adalah hadith:

“Dimulai dari penciptaan akal dan nafsu, jauh sebelum penciptaan malaikat dan nabi Adam. Pada saat itu, Allah memerintahkan akal dan nafsu untuk menghadap-Nya. Allah berfirman: “Man ana wa man anta? (siapa Aku dan siapa kamu?)”. Kemudian akal menjawab, “Anta Rabbi wa ana ‘abduka adhdhoif (Engkau Tuhanku dan aku hamba-Mu yang lemah)”. Karena itu Allah memberikan kemuliaan kepada akal. Kemudian giliran nafsu, ketika diperintahkan untuk menghadap, ia diam saja, tidak menjawab. Ketika ditanya dengan pertanyaan yang sama “Man ana wa man anta? (siapa Aku dan siapa kamu?)”, dengan sombongnya nafsu menjawab, “Ana wa ana, Anta wa Anta” (aku adalah aku, Engkau adalah Engkau). Mendengar jawaban nafsu, maka Allah murka dan menghukumnya dengan memasukkan nafsu ke dalam neraka Jahim selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan dari neraka Jahim dan ditanya lagi oleh Allah “Man ana wa man anta? (siapa Aku dan siapa kamu?)”, dia pun menjawab dengan jawaban yang sama. Akhirnya Allah memasukkan lagi nafsu ke neraka Juu’ (neraka yang penuh dengan rasa lapar dan haus dahaga yang amat sangat) selama 100 tahun pula. Nafsu dibiarkan tanpa makan dan minum. Setelah nafsu tidak diberi makan dan minum (puasa) membuat nafsu sadar dan tak berdaya. Nafsu akhirnya menyerah dan mengakui bahwa Allah Swt. adalah Tuhan yang menciptakannya.” 

Ini petikan kisah yang dikatakan hadith itu. Mohon Pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nafsu sering mendorong manusia ke arah kejahatan dalam bentuk yang terkhusus dan terarah.  Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi menjelaskan: “Antara perbezaan godaan nafsu ialah ia amat kuat menarik ke arah kejahatan dengan hanya bersifat terarah dan terkhusus. Hal ini sepertimana firman Allah SWT:

إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي

Maksudnya: “Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu).”

(Surah Yusuf: 53)

Imam al-Tabari menjelaskan: “Sesungguhnya nafsu yang dimaksudkan ialah nafsu hamba yang memerintahkan kepada seluruh apa yang dia inginkan oleh hawanya, meskipun bukan pada sesuatu yang diredhai oleh Allah SWT.” (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 13/209)

Status Kisah Penciptaan Nafsu Yang Degil Dengan Allah SWT

Diceritakan bahawa terdapat riwayat yang menyatakan:

عِنْدَمَا يَخْلُقُ اللَّه أَيَّ شَيْءٍ مِنْ الْخَلْقِ يَسْتَشْهِدُهُ عَلَى نَفْسِهِ، وَعِنْدَمَا خَلَقَ النَّفْسَ سَأَلَهَا: مَنْ أَنَا؟ قَالَتْ: أَنْتَ أَنْتَ، وَأَنَا أَنَا، قَالَ عَزَّ وَجَلَّ: اذْهَبُوا بِهَا إِلَى النَّارِ أَلْفَ سَنَةٍ، وَلَمَّا أُعِيدَتْ مَرَّةً أُخْرَى كَانَ نَفْسُ الرَّدِّ، وَالْمَرَّةُ الثَّالِثَةَ، حَتَّى قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ جَوعُوهَا، فَلَمَّا جَاعَتْ شَهِدَتْ أَنَّهُ اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ سُبْحَانَهُ

Maksudnya: “Ketika Allah menciptakan sesuatu daripada makhluk-Nya, Dia memberikan kesaksian atas diri-Nya. Ketika Allah menciptakan nafsu, Dia bertanya kepadanya, “Siapakah Aku?” Nafsu menjawab, “Engkau adalah Engkau, dan aku adalah aku.” Allah Azza wa Jalla berfirman, “Bawalah dia ke dalam neraka selama seribu tahun.” Ketika nafsu itu dihidupkan kembali untuk yang kedua kalinya, jawapannya tetap sama. Hal yang sama terjadi ketika nafsu itu dihidupkan kembali untuk yang ketiga kalinya, hingga Allah Azza wa Jalla berfirman, “Buatkan dia merasa lapar.” Ketika nafsu itu merasakan lapar, ia bersaksi bahwa Allah adalah Tuhan yang Maha Suci, dan tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Dia.”

Kisah ini sering digunakan sebagai hujjah oleh ramai orang untuk menundukkan nafsu, terutamanya ketika puasa di Bulan Ramadhan. Namun begitu, riwayat ini tidak dijumpai dalam mana-mana kitab-kitab hadith dan dan juga tidak mempunyai sanad. Selain itu, kisah ini juga menceritakan berkenaan perkara ghaib yang tidak boleh diketahui oleh manusia kecuali sekiranya ia dikhabarkan oleh Allah SWT melalui Rasulullah SAW kepada kita.

Selain itu, berkenaan hadith kelebihan akal, Ibn Qayyim al-Jawziyah berkata: Antara hadith palsu ialah setiap hadis yang menyebutkan (kelebihan) akal semuanya palsu seperti hadith berikut:

لَمَّا خَلَقَ اللَهُ الْعَقْلَ قَالَ لَهُ: أَقْبِلْ فَأَقْبَلَ ثُمَّ قَالَ لَهُ: أَدْبِرْ فَأَدْبَرَ فَقَالَ: مَا خَلَقْتُ خَلْقًا أَكْرَمَ عَلَيَّ مِنْكَ بِكَ آخُذُ وَبِكَ أُعْطِي

Maksudnya: “Setelah Allah menciptakan akal lalu Allah berfirman kepadanya: ‘Majulah!’ Maka, akal pun maju. Kemudian Allah berfirman:’Berundurlah!’ Maka akal pun berundur (tidak maju). Lalu Allah berfirman: ‘Tidaklah Aku ciptakan suatu yang lebih mulia bagi-Ku daripada kamu (iaitu akal). Dengan sebab kamu, Aku ambil dan dengan sebab kamu juga Aku beri.” (Lihat al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha‘if, hlm. 66)

Imam Ibnu al-Jauzi juga mengatakan perkara yang sama: “Hadis ini tidak sahih daripada Rasulullah SAW. Ahmad bin Hanbal mengatakan bahawa hadith ini adalah hadith palsu yang tidak ada asal padanya. Al-’Uqaili juga mengatakan bahawa tidak ada sesauatu yang thabit pun daripada matan ini. Aku katakan: Aku telah meriwayatkan banyak hadith berkenaan akal yang tidak thabit langsung daripada Rasulullah SAW” (Lihat al-Maudhu’at, 1/174)

Imam Abu al-Fadl al-Shaghani juga berkata dalam kitabnya al-Maudhu’at: “Antara hadith-hadith palsu ialah, ‘Allah SWT pertama kali menciptakan akal, dan akal menjawab….”  (Lihat al-Maudhu’at, hlm. 35)

Tambahan pula, penceritaan berkenaan perkara ghaib ini hanya dapat diterima jika disampaikan oleh Allah SWT melalui Rasulullah SAW. Para ulama hadith menyatakan bahawa hadith-hadith yang berkenaan dengan hadith akal ini adalah tidak sahih daripada Rasulullah SAW. 

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan di atas, kisah yang diceritakan itu sebagaimana persoalan saudara adalah bukan hadith dan ia adalah palsu dan tidak benar. Hal ini kerana kisah ini tidak disertakan dengan sanad dan tidak dijumpai dalam mana-mana kitab hadith muktabar. Selain itu juga,  kisah ini menceritakan berkenaan perkara ghaib yang tidak mungkin boleh diketahui oleh manusia kecuali jika ia dikhabarkan oleh Allah SWT melalui Rasulullah SAW kepada kita.

Firman Allah SWT:

قُلْ لاَّ يَعْلَمُ مَنْ فِى السَّمَٰوَٰتِ وَالأَرْضِ الْغَيْبَ إِلاَّ اللهُ

Maksudnya: Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah!

(Surah al-Naml: 65)

Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyebut: Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya untuk mengucapkan sesuatu yang mengajarkan seluruh manusia bahawa tidak ada seorangpun penghuni langit dan bumi yang dapat mengetahui perkara ghaib kecuali Allah. “إِلاَّ اللهُ” “Kecuali Allah” adalah istithna’ munqathi’, iaitu tidak ada satupun yang mengetahui hal itu kecuali Allah SWT kerana Dia sahajalah yang mengetahui hal itu dan tidak ada sekutu bagi-Nya. Sebagaimana firman Allah SWT: ” وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ” “Dan pada sisi-Nya lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahui kecuali Dia sendiri.” Ayat-ayat dalam masalah ini amat banyak. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/207)

Tegasnya, tiada siapa pun yang tahu mengenai tentang perkara ghaib itu, sama ada malaikat, jin mahupun manusia. Kemudian Baginda menjelaskan tentang perintah Allah itu dalam firman-Nya:

وَلَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Dan kalau Aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) Aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.”

(Surah al-A’raf: 188)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتَّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H