#2247: Memiliki Senjata Api

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum memiliki senjata api dan senjata tajam seperti pedang. Adakah di sana nas dalam al-Quran dan hadith berkenaan perkara di atas?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada zaman Rasulullah SAW, orang yang memiliki senjata yang dibawa ke mana-mana adalah dibolehkan. Senjata pada zaman tersebut banyak digunakan untuk menjaga diri dan berperang. Berbeza pada zaman sekarang yang mana banyak senjata khususnya senjata api yang disalahgunakan untuk perbuatan jenayah sehingga mengancam nyawa masyarakat.

Rasulullah SAW ada beberapa senjata dan kelengkapan perang sebagaimana yang direkodkan dalam sejarah. Berikut adalah apa yang boleh kita temui dalam pelbagai kitab sirah:

  • Pedang

Menurut Ibn al-Qayyim, Nabi SAW mempunyai sembilan bilah pedang iaitu Ma’thur (مأثور), yang merupakan pedang pertama yang dimilikinya dan diwarisi daripada bapanya, al-‘Adhb (العَضْب),  Zulfiqar (ذو الفِقار) dan ia adalah pedang yang hampir-hampir Baginda tidak mahu berpisah dengannya, al-Qula‘i (القلَعي), al-Battar (البتَّار); al-Hatf (الحَتْف) al-Rasub (الرَّسوب), al-Mikhzam (المِخْذَم) dan al-Qadhib (القضيب). (Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/123).

Menurut  al-Hafiz ‘Abd al-Ghani al-Maqdisi, pedangnya yang bernama Zulfiqar diperoleh dalam Perang Badar. Manakala dalam al-Ghurar wa al-Durar dinyatakan, terdapat pendapat menyatakan, ia dihadiahkan oleh al-Hajjaj bin ‘Allat. Itulah pedang yang dilihat Baginda dalam mimpinya tentang Perang Uhud. Asalnya, ia adalah milik Munabbih bin al-Hajjaj al-Sahmi.[1]

Baginda mendapat tiga pedang daripada senjata-senjata Bani Qainuqa‘ iaitu pedang Qula‘i, pedang yang dipanggil Battar dan pedang yang dipanggil al-Hanif. Selepas itu, Baginda memperoleh al-Mikhzam, Rasub, yang diperoleh daripada al-Fuls yang dibuat di Tai’.

Anas bin Malik menyebutkan, na‘l[2] pedang Rasulullah SAW adalah daripada perak, begitu juga qabi‘ah[3]nya adalah  daripada perak, dan di antaranya pula ada cincin daripada perak. (Lihat Mukhtasar Sirah al-Nabi, hlm. 133-134; al-Ghurar wa al-Durar fi Sirah Khair al-Basyar, hlm. 84).

  • Lembing (الرُمح)

Rasulullah SAW mempunyai lima batang lembing. Tiga batang lembing diperoleh daripada persenjataan Bani Qainuqa‘ melalui harta rampasan perang. Manakala dua lembing lagi, dipanggil sebagai al-Mathwa (الْمَثْوَى) dan al-Muthanna (الْمُثَنَّى). (Lihat ‘Uyun al-Athar, 2/386; Mukhtasar Sirah al-Nabi, hlm. 133; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/338).

  • Busur dan bekas anak panah

Menurut Ibn al-Qayyim, Nabi SAW memiliki tujuh busur iaitu al-Zarwa’ (الزَّوْرَاءُ), al-Rauha’ (الرَّوْحَاءُ), al-Safra’ (الصَّفْرَاءُ), al-Baidha’ (الْبَيْضَاءُ), al-Katum (الْكَتُومُ) dan al-Sadad (السَّدَادُ). Al-Katum telah patah pada peperangan Uhud lalu Qatadah bin al-Nu‘man telah mengambilnya. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/124; al-Ghurar wa al-Durar fi Sirah Khair al-Basyar, hlm. 85; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/338).

Manakala menurut  al-Hafiz ‘Abd al-Ghani al-Maqdisi, Baginda SAW mempunyai tiga busur iaitu busur yang dinamakan al-Rauha’, busur yang dinamakan Syauhat (شَوْحَط), dan busur kuning yang dinamakan sebagai al-Safra’. (Lihat Mukhtasar Sirah al-Nabi, hlm. 133).

Selain daripada itu, Baginda SAW juga mempunyai bekas anak panah (الجَعْبَةِ) iaitu al-Kinanah (الْكِنَانَةُ),[4] yang mana dikumpulkan anak panah di dalamnya. Bekas anak panah itu dipanggil sebagai al-Kafur (الْكَافُورُ). (Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/124; ‘Uyun al-Athar, 2/386).

  • Harbah (الحَرْبَةُ)[5]

Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan di antara nama harbah milik Rasulullah SAW ialah al-Nab‘ah (النَّبْعَةُ) dan al-Baidha’ (الْبَيْضَاءُ). (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/338). Begitu juga Ibn al-Qayyim turut menyebutkan bahawa Rasulullah SAW mempunyai harbah yang dipanggil sebagai al-Nab‘ah, satu lagi harbah besar yang dipanggil sebagai al-Baidha’, dan satu lagi harbah kecil yang menyerupai tongkat  yang dipanggil sebagai al-‘Anazah (الْعَنَزَةُ). Baginda SAW berjalan dengan membawanya di tangan pada hari raya, kemudian diletakkan di hadapannya dan dijadikan sebagai sutrah solat. Begitu juga Baginda kadang-kadang berjalan dengan membawanya (pada hari lain selain hari raya). (Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/125).

Dalam isu di atas, pada asasnya, memiliki senjata adalah urusan dunia yang sifatnya mubah (harus) kerana tidak ada dalil yang melarangnya. Akan tetapi, sesuatu yang mubah, jika dilarang oleh pemerintah, maka ia menjadi haram hukumnya. Hal ini kerana Allah SWT memerintahkan kita untuk mentaati pemerintah selama mana arahan mereka bukan dalam perkara maksiat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada”Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 59)

Syeikh Ibrahim berkata: “Bentuk yang ketika pemerintah memerintahkan untuk melakukan sesuatu yang hukumnya boleh atau memerintahkan untuk meninggalkannya. Maka pemerintah wajib ditaati dalam masalah tersebut berdasarkan keumuman dalil yang memerintahkan untuk mentaati pemerinytah selama mana perintahnya tidak mengandungi kemaksiatan. Abu al-Abbas al-Qurtubi berkata: “Seandainya pemerintah memerintahkan sesuatu yang harus, maka perintahnya tersebut menjadi wajib dan tidak boleh diperselisihi.” Al-Munawi berkata: “Di dalamnya terdapat dalil bahawa jika pemerintah memerintahkan suatu perkara yang sunat atau yang harus, maka wajib ditaati.” Demikian juga yang disepakati oleh al-Mubarakfuri. (Lihat al-Ihkam fi Sabri Ahwal al-Hukkam, hlm. 33)

Di samping itu, setiap perkara akan dinilai berdasarkan tujuan perbuatannya berasaskan kaedah:

الأَمُوْرُ بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara itu dinilai berdasarkan tujuan-tujuannya.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/8)

Oleh itu, niat dan tujuan perbuatan seseorang itu akan menunjukkan kepada hukum syariat sama ada halal atau haram perbuatannya. Sekiranya sesuatu perbuatan itu bertujuan kepada kejahatan maka haram perbuatannya itu.

Selain itu, terdapat larangan membawa sesuatu senjata dengan tujuan untuk menakut-nakutkan orang lain. Perbuatan ini dilarang sama sekali oleh Nabi SAW berdasarkan hadith daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ حَمَلَ عَلَيْنا السِّلاَحَ فَلَيْسَ مِنّا

Maksudnya: “Sesiapa yang membawa senjata untuk menakut-nakutkan kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.”

Riwayat al-Bukhari (6874) dan Muslim (291)

Imam al-Nawawi berkata: Di sisi ahli ilmu memberi maksud perbuatan membawa senjata untuk menakutkan orang ramai bukanlah daripada petunjuk dan amalan kami. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/109)

Dalam riwayat lain, daripada ‘Abd al-Rahman bin Abi Laila, katanya: Bahawa para sahabat Nabi Muhammad SAW bermusafir bersama Baginda. Salah seorang daripada mereka tertidur lalu ada sebahagian sahabat yang mengambil dan menarik tali yang ada bersamanya sehingga orang yang tidur itu terkejut. Lalu Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا

Maksudnya: “Tidak halal bagi seorang Muslim membuat saudara Muslimnya terkejut.”

Riwayat Abu Daud (5004)

Ibn Ruslan menerangkan bahawa perbuatan memeranjatkan orang tersebut adalah salah satu bentuk kezaliman pada mangsa. Dan pada makna larangan ini setiap perbuatan membuat orang Islam terkejut atau takut adalah suatu kezaliman dan kelalaian. (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 19/164-165)

Penutup

Dalam kehidupan bernegara, kita wajib mematuhi peraturan sesebuah negara yang kita berada di dalamnya. Sebagai contoh, dalam sesebuah negara, senjata seperti pistol atau senapang tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh sesiapa pun kecuali mendapat lesen dan kebenaran oleh pihak pemerintah.[6] Justeru, ketika ini, tidak boleh kita memilikinya melainkan mengikut kebenaran yang telah ditetapkan mengikut syarat-syaratnya.

Akhir kalam, Islam mengajar kepada kita, sentiasa membuat persiapan dan persediaan dalam menghadapi sebarang bentuk musuh dengan semampu mungkin. Hal ini berdasarkan nas Ilahi:

وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”

(Surah al-Anfal:60)

[1]Terdapat riwayat daripada Abu Musa R.A, daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda:

رَأَيْتُ فِي رُؤْيَايَ أَنِّي هَزَزْتُ سَيْفًا فَانْقَطَعَ صَدْرُهُ، فَإِذَا هُوَ مَا أُصِيبَ مِنَ المُؤْمِنِينَ يَوْمَ أُحُدٍ، ثُمَّ هَزَزْتُهُ أُخْرَى فَعَادَ أَحْسَنَ مَا كَانَ، فَإِذَا هُوَ مَا جَاءَ بِهِ اللَّهُ مِنَ الفَتْحِ وَاجْتِمَاعِ المُؤْمِنِينَ، وَرَأَيْتُ فِيهَا بَقَرًا، وَاللَّهُ خَيْرٌ، فَإِذَا هُمُ المُؤْمِنُونَ يَوْمَ أُحُدٍ

Maksudnya: “Aku melihat dalam mimpiku bahawa aku menggoncang sebilah pedang dengan kuat dan bilahnya patah. Ia melambangkan apa yang menimpa kaum muslimin ketika perang Uhud. Kemudian aku menggoncangnya sekali lagi dan ia kembali sempurna seperti sebelumnya. Ia melambangkan bantuan daripada Allah berupa pembukaan (kota Makkah) dan penyatuan kaum Muslimin. Aku melihat lembu-lembu (disembelih) di dalam mimpi itu dan ketentuan Allah bagi yang terbunuh itu lebih baik. Lembu-lembu itu ternyata melambangkan orang-orang Mukmin (yang mati syahid) dalam Perang Uhud.”  Riwayat al-Bukhari (4081)

[2] Na‘l (نَعْلُ) pedang ialah besi di bahagian bawah sarung pedang.

[3] Qabi‘ah (قَبِيعَةُ) pedang  ialah besi atau perak yang terdapat di bahagian hujung (bawah) hulunya.

[4] Perkataan al-Kinanah ialah bekas anak panah yang kecil yang diperbuat daripada kulit atau seumpamanya untuk diletakkan anak-anak panah.

[5] Al-Harbah ialah lembing pendek. (Lihat Kamus Besar Arab-Melayu Dewan, DBP, hlm. 414). Ia juga didefinisikan sebagai sejenis senjata tujahan dengan batang panjang, atau senjata runcing, nipis dan panjang yang digunakan pada masa lampau untuk melembing ikan atau membunuh semasa peperangan. (Lihat https://www.almaany.com/en/dict/ar-en/الحَرْبَةُ/).

[6] (Akta 206) – Suatu Akta berhubung dengan senjata, senjata tiruan dan amunisi.

(Akta 37) – Suatu Akta bagi mengadakan penalti lebih berat kerana menggunakan senjata api pada melakukan kesalahan-kesalahan tertentu dan bagi kesalahan-kesalahan tertentu berkenaan dengan senjata api, dan bagi membuat peruntukan khas berkenaan dengan bidang kuasa mahkamah-mahkamah mengenai kesalahan-kesalahan di bawahnya dan perbicaraannya.

Kandungan Terperinci mengenai Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) :

Akta Senjata 1960 (Akta 206) adalah undang-undang di Malaysia yang mengawal pembelian, pemilikan, penggunaan, dan penjualan senjata api dan bahan letupan. Akta ini juga membahayakan aktiviti pengeluaran dan pengedaran senjata api dan bahan letupan secara tidak sah.

Di bawah Akta Senjata 1960, seseorang perlu memperoleh lesen senjata untuk membeli dan memiliki senjata api atau bahan letupan. Syarat-syarat untuk memperoleh lesen senjata termasuk kelayakan dan kebolehpercayaan individu, tujuan penggunaan, jenis senjata yang dikehendaki, dan tempat penyimpanan yang selamat. Lesen senjata juga memerlukan pembaharuan setiap dua tahun.

Akta Senjata 1960 juga mengawal pemilikan dan penggunaan senjata api dan bahan letupan oleh orang asing. Orang asing perlu memperoleh kebenaran khas untuk memiliki atau menggunakan senjata api dan bahan letupan.

Undang-undang ini memberikan hukuman yang berat untuk kesalahan yang berkaitan dengan senjata api dan bahan letupan, termasuk penjara, denda, dan hukuman mati. Seseorang yang didapati bersalah mempunyai senjata api atau bahan letupan secara tidak sah boleh dihukum dengan penjara sehingga 14 tahun.

Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) pula adalah undang-undang di Malaysia yang mengukuhkan lagi Akta Senjata 1960. Akta ini memberikan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang melakukan kesalahan yang berkaitan dengan senjata api dan bahan letupan, termasuk hukuman mati wajib bagi kesalahan tertentu seperti pembunuhan yang dilakukan dengan senjata api.

Akta ini juga memperkenalkan peruntukan untuk mengawal penggunaan senjata api dan bahan letupan dalam situasi yang berisiko tinggi, seperti demonstrasi awam dan kejadian keganasan. Polis dan pihak berkuasa yang lain mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan yang diperlukan untuk mengawal situasi dan mengambil kira keselamatan awam.

Dalam kesimpulannya, kedua-dua undang-undang ini mempunyai peranan penting dalam mengawal penggunaan, pembelian, dan pemilikan senjata api dan bahan letupan di Malaysia, dan memberikan hukuman yang tegas bagi mereka yang melakukan kesalahan berkaitan dengan senjata api dan bahan letupan.

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H