Soalan:
Assalamualaikum Dato Dr Zulkifli, saya ingin bertanya saya baru sahaja bernikah dengan orang Jepun pada bulan 5 tahun ini. Semasa saya baru bernikah, saya menerangkan pada isteri saya bahawa dalam Islam kalau si suami bercakap tentang cerai, walaupun si suami tak berniat, tetap jatuh talak. Beberapa minggu selepas itu, timbul keraguan dalam diri saya, keraguan yang mengatakan saya telah secara tidak sengaja terjatuh talak ke atas isteri saya. Disebabkan itu, saya cuba mencari jawapan sendiri di Youtube. Saya juga ada tengok video yang mengatakan lafaz cerai seorang diri tanpa ada sesiapa di sekeliling juga dikira jatuh talak dan selepas tonton video itu, tiba-tiba muncul keraguan yang baru seolah saya pernah lafaz cerai seorang diri tanpa ada sesiapa di sekeliling saya. Tapi saya tak ingat bila, dan di mana. Kadang saya juga rasa macam tak pernah lafaz perkataan tersebut. Soalan saya, betul ke lafaz seorang diri tanpa ada sesiapa di sekeliling juga dikira jatuh talak ? Apa perlu saya buat sebab saya ada keraguan tapi tak ingat jika saya betul-betul pernah lafaz atau tidak. Saya harap dato boleh bantu saya. Hari-hari saya minta pada Allah supaya berikan petunjuk. Saya selalu fikir pasal ini dan ia mengganggu aktiviti harian saya. Terima kasih Dato.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ
Maksudnya: Tiga perkara yang dilakukan secara bersungguh menjadi sah, dan secara gurauan juga akan menjadi sah; nikah, talak dan rujuk.
Riwayat Abu Daud (2194). Syeikh Syuaib berkata hadis ini hasan li ghairih.
Al-Khattabi menukilakan bahawa : para ahli ilmu bersepakat bahawa lafaz talak yang jelas, jika diucapkan oleh seseorang yang telah baligh yang berakal, ia dianggap sebagai talak yang sah dan tidak berguna lagi baginya untuk mengatakan bahawa ia sedang bermain-main, bergurau dan tidak berniat untuk bercerai atau perkara seumpamanya. (Lihat Ma’lim al-Sunan,3/243)
Hadith ini juga menunjukkan bahawa perkara-perkara yang disebutkan dalam hadits dikira sekiranya disertakan dengan niat, kerana hukum asal hanya ditujukan kepada individu yang berakal yang mampu membuat pilihan, yang sengaja, dan ingat dia lakukan. Golongan yang tidak dikira sekiranya melakukan perkata tersebut adalah seperti orang yang dipaksa yang tidak mampu untuk membuat pilihan, orang yang mabuk yang berakal dalam keadaan mabuknya, orang gila, orang yang salah dan yang lupa yang tidak mampu untuk mengingati. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 20/251)
Terdapat keadaan apabila suami melafazkan talak secara sarih ia tidak menjatuhkan talak, antaranya ialah:
- Orang yang tidur
- Orang yang gila
- Orang yang sabq al-lisan (terlepas cakap).
- Orang yang menyeru; yakni jika seseorang itu memiliki isteri yang bernama “Taliq” yang bermaksud orang yang diceraikan.
- Penggunaan lafaz yang tidak difahami
- Dipaksa dan mabuk atas sebab uzur
Al-Zuhaili menyatakan ketika menerangkan keadaan yang ke tiga : “Jika seseorang lelaki terlepas cakap melafazkan talak tanpa berniatkan makna bagi huruf-huruf talaq, maka lagha, tidak jatuh talak. Begitu juga jika seseorang melafaz talak kerana menceritakan kisah orang lain, atau seorang ahli fiqh yang berulang-kali menyebut talak dalam pengajaran dan contoh yang diberi, maka lagha juga, kerana tiada niat.”(Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’ie, 4/164)
Menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan jika seseorang melafazkan talak bersendirian tanpa ada orang disekeliling dan ia disertakan dengan niat maka jatuhlah talak tersebut. Namun sekiranya seseorang melafazkannya tanpa sengaja atau tidak disertakan dengan kehendak dan niatnya maka tidak jatuh lah talak tersebut. Ini kerana rukun talak seperti yang telah dinyatakan dalam kitab Mughni al-Muhtaj ialah suami, isteri, sighah (lafaz), niat dan wilayah (kekuasaan)( Lihat Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifati Ma’ani al-Faz al-Minhaj, 4/445)
Dalam situasi seperimana yang telah diterangkan, saudara dalam keadaan ragu-ragu dan kami katakan perlu kembali kepada hukum asal iaitu tidak jatuh talak dan hendaklah saudara meninggalkan keraguan. Ini kerana kaedah fiqh menyebut:
الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ والْيَقِينُ لَا يَزُولُ بِالشَّكِّ
Maksudnya: “Asal (hukum) sesuatu perkara adalah kekal mengikut keadaan sebelumnya dan perkara yang sudah diyakini tidak boleh dihilangkan oleh keraguan.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazair oleh Ibn Nujaim, hlm. 47-49)
Diriwayat daripada Hasan bin Ali R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ
Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan.”
Riwayat al-Tirmizi (2708)
Justeru, kami nasihati supaya berusaha untuk meninggalkan was-was dan mengambil sikap tidak peduli terhadap was-was kerana ia datang daripada syaitan. Selain itu, sentiasalah menghadiri majlis ilmu dan rujuklah para ulama agar menemui jalan keluar dari masalah yang dihadapi.
Kami telah menjawab beberapa kali berkenaan denagn isu was-was maka boleh rujuk melalui laman web kami maktabahalbakri.com.
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang jelas dalam beragama dan Saya akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)
Wallahua’lam
Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H