#2251: Wanita dalam Iddah Menghadiri Majlis Graduasi Anak

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya berkenaan hukum iddah. Suami saya baru meninggal dunia pada 3 Jun 2023. Anak lelaki saya akan bergraduasi pada 19 Ogos 2023 nanti. Anak saya juga merupakan pesakit Talasemia. dia sangat berharap saya ada bersama nanti.

Soalan saya adakah saya boleh pergi ke majlis graduasi tersebut? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kewajiban untuk beriddah bagi wanita adalah berbeza bagi mereka yang bercerai dalam keadaan tidak mengandung, bercerai semasa mengandung, atau kematian suami. Bagi mereka yang kematian suami, iddah yang diwajibkan ke atas mereka adalah selama 4 bulan dan 10 hari. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Dan mereka yang meninggal dunia dari kalangan kalian serta meninggalkan isteri-isteri hendaklah mereka itu (para isteri) menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari.”

(Surah al-Baqarah: 234)

Berdasarkan ayat ini, para ulama membahaskan perkataan ‘يَتَرَبَّصْنَ’ yang menunjukkan larangan bagi wanita kematian suami untuk berkahwin dengan lelaki lain atau keluar dari rumah sepanjang tempoh iddah. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 3/176) 

Tempoh iddah ini juga thabit seperti mana dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ummu Habibah R.Anha, katanya:

لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ تُحِدُّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ إِلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat berkabung di atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan apabila kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan dan sepuluh hari.”

Riwayat al-Bukhari (5024) dan Muslim (1486)

Antara sebab mengapa Islam memerintahkan berkabung untuk tempoh tertentu bagi wanita yang kematian suami adalah:

  • Untuk menzahirkan kesetiaan
  • Meraikan hak suaminya yang besar

Perempuan dalam Iddah Menghadiri Majlis Graduasi Anak

Berdasarkan persoalan yang diajukan oleh saudari yang bertanya dan kenyataan yang diberikan perihal keadaan kesihatan anak tersebut, kami dahulukan terlebih dahulu secara ringkas berkenaan penyakit Talasemia ini.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi portal rasmi mereka MyHealth Talasemia adalah penyakit genetik sel darah merah. Pesakit talasemia tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang berkualiti dalam kuantiti yang mencukupi. Ini adalah kerana gen yang mengawal penghasilan haemoglobin telah terjejas. Haemoglobin adalah satu protein di dalam sel darah merah yang berfungsi untuk membawa oksigen ke seluruh tisu-tisu di dalam badan kita.[1]

Menjawab persoalan saudari yang bertanya, sekiranya seorang wanita yang beriddah kerana kematian suami perlu keluar dari rumahnya untuk memenuhi hajat keperluan, seperti dikhuatiri akan berlaku mudharat pada anak yang menghidap Talasemia apabila dia bersendirian dan tanpa pengawasan orang lain, maka diberi kelonggaran untuk berbuat demikian.

Hal ini berdasarkan riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma:

طُلِّقَتْ خَالَتِي ثَلاَثًا فَخَرَجَتْ تَجُدُّ نَخْلاً لَهَا فَلَقِيَهَا رَجُلٌ فَنَهَاهَا فَأَتَتِ النَّبِيَّ ﷺ فَذَكَرَتْ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ لَهَا:‏ اخْرُجِي فَجُدِّي نَخْلَكِ لَعَلَّكِ أَنْ تَصَدَّقِي مِنْهُ أَوْ تَفْعَلِي خَيْرًا‏‏.‏

Maksudnya: “Ibu saudaraku yang telah diceraikan mahu keluar memetik kurma. Ketika ibu saudaraku keluar untuk mendapatkan kurma, dia menjumpai seorang lelaki dan menegur perbuatannya itu (kerana keluar semasa iddah). Maka, ibu saudaraku itu datang berjumpa dengan Nabi SAW dan bercerita kepadanya apa yang telah berlaku. Baginda bersabda: Sudah tentu kamu boleh memetik kurma dari pohonnya, supaya kamu boleh bersedekah sebahagian daripadanya atau berbuat baik dengannya.”

 Riwayat Muslim (1438)

Selain itu terdapat riwayat daripada Mujahid R.A, beliau berkata:

اُسْتُشْهِدَ رِجَالٌ يَوْمَ أُحُدٍ فَجَاءَتْ نِسَاؤُهُمْ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ وَقُلْنَ، يَا رَسُولَ اللَّهِ ﷺ نَسْتَوْحِشُ بِاللَّيْلِ، أَفَنَبِيتُ عِنْدَ إحْدَانَا، فَإِذَا أَصْبَحْنَا بَادَرْنَا إلَى بُيُوتِنَا؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: تَحَدَّثْنَ عِنْدَ إحْدَاكُنَّ، حَتَّى إذَا أَرَدْتُنَّ النَّوْمَ، فَلْتَؤُبْ كُلُّ وَاحِدَةٍ إلَى بَيْتِهَا.

Maksudnya: “Ketika beberapa orang sahabat meninggal dunia di medan Uhud, isteri-isteri mereka telah datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah, kami merasa sunyi bersendirian pada waktu malam, apakah boleh kami bermalam di rumah sahabat-sahabat kami dan apabila menjelang siang kami pulang ke rumah masing-masing? Baginda bersabda: Kamu boleh berbual-bual di rumah sahabat-sahabat kamu sehinggalah kamu mahu tidur, pulanglah ke rumah kamu masing-masing.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (15512)

Berdasarkan riwayat-riwayat di atas, dapat difahami bahawa wanita dalam tempoh iddah kematian suami dibolehkan untuk keluar dari rumah jika ada keperluan, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang ditetapkan oleh Islam. 

Antara adab-adabnya adalah dengan tidak memakai pakaian yang hebat dan berhiasan serta berwangi-wangian seperti wanita yang lain ketika keluar daripada rumah. Hal ini kerana sangat jelas bahawa perbuatan tersebut tidak menzahirkan sebarang penghormatan kepada suaminya yang baru sahaja meninggal dunia.

Para ulama’ telah menyimpulkan berkaitan dengan hukum-hakam ihdad (berkabung), antara lainnya kata mereka:

  • Bahawa sesungguhnya ihdad wajib ke atas kematian suami untuk menzahirkan rasa dukacita dan menunaikan janjinya. Begitu juga kerana terputusnya nikmat perkahwinan dan bukan semata-mata nikmat dunia tetapi melangkaui akhirat. Ini kerana, nikah menjadi sebab kejayaan mereka di dunia dan akhirat.
  • Begitu juga pensyariatan ihdad kerana mencegah niat lelaki untuk bersama dengannya kerana kalau dia berhias-hias sudah pasti membawa ke arah itu dan ini tidak dibenarkan sama sekali. (Lihat Hasyiah Sa’di Jalbi ‘ala Syarh Fath al-Qadir, 3/291)

Kesimpulan

Kami katakan, dalam situasi yang disebutkan oleh saudari yang bertanya, keluar rumah semasa masih dalam tempoh iddah hendaklah dengan meraikan batasan hukum syara‘.

Hal yang demikian kerana walaupun syara‘ menetapkan agar mereka berkabung dan tidak berhias-hias dalam tempoh 4 bulan 10 hari, ini tidak bermakna mereka perlu mengabaikan aspek kebersihan dan kesihatan diri serta ahli keluarga. Malah mereka wajib menjaga kebersihan dan kesihatan diri serta tempat tinggal sepanjang tempoh iddah dan berkabung itu.

Islam bukan hanya menjaga dan memelihara kebajikan dan hak-hak wanita semasa mereka masih berada dalam tempoh perkahwinan, malah perkara ini berterusan sehingga terbubarnya perkahwinan tersebut sama ada kerana perceraian hidup mahupun kerana berlakunya kematian.

Semoga pencerahan ini dapat memberikan kita kekuatan dalam menegakkan syariat Allah SWT meskipun ketika berlaku kematian suami yang amat dikasihi. Semoga Allah mengampuni dosa kita semua. Amin.

Wallahu a‘lam

 

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/talasemia-2/. Diakses 12 Julai 2023.

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H