Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya sudah 3 tahun berkahwin dan belum dikurniakan anak. Saya mengenali suami melalui satu platform Baitul Muslim tidak lama selepas 2 bulan kami berkahwin. Status pekerjaan suami saya lebih rendah dari saya namun ianya tidak menjadi isu kerana kami dua-dua di bahagian perkhidmatan awam. Selepas kami berkahwin ada banyak sikap suami yang bertentangan dengan saya; makan terlalu banyak, tidak suka mandi, lebih banyak tidur, suka meninggalkan solat, tidak suka bergaul atau bermesra dengan mertua atau ipar duai. Banyak alasan yang diberikan bila saya menegur.
Namun yang lebih menjadi permasalahan ialah sikap tidak mengambil tanggungjawab suami terhadap saya, apabila saya sakit, sehingga perlu meminta ibu hantar ke klinik kerana suami tidak bersungguh-sungguh mahu mahir membawa kereta. Kereta rosak atau servis (saya perlu urus sendiri) – bayaran bil rumah – nafkah bulanan. Mengenai nafkah memang saya sendiri berlapang dada memberitahu suami seberapa pun dia ada walaupun hanya RM50 saya terima. Namun dalam setahun 3 atau 4 kali dia berikan nafkah. Ada dia belikan barang kemas pada awal perkahwinan. Duit perbelanjaan makanan tidak dihulurkan. Jika makan diluar saya yang lebih banyak keluarkan wang. Dia juga banyak berbelanja barang-barang keperluan dia yang tidak perlu.
Banyak membazir dari mengutamakan ekonomi keluarga. Saya sudah banyak kali tegur dan nasihat beliau sehingga saya tidak tahan lagi dengan sikap ambil mudah dan sambil lewa suami. Dipendekkan cerita segala masalah bertambah rumit apabila saya sakit dan selepas berubat, saya dapat tahu rupanya suami didampingi saka. Itu yang membuatkan saya sakit. Saya tidak menyalahkan beliau namun sikap beliau yang tidak serius untuk berubat merumitkan lagi masalah rumah tangga kami. Mohon pandangan Dato’ Seri Dr. Zulkifli. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.’”
(Surah al-Rum: 21)
Sayid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: “Penjelasan al-Quran yang lemah lembut menggambarkan hubungan lelaki dan perempuan ini dengan gambaran yang amat menarik, seolah-olah gambaran ini diambil dari dalam lubuk hati dan perasaan: “Supaya kamu tenang tenteram bersamanya dan Dia jadikan di antara kamu rasa kemesraan dan kasih sayang.”
Menjawab persoalan di atas, hendaklah suami isteri apabila termetarai sahaja akad nikah menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dan seorang isteri. Kami kemukakan di sini tanggungjawab suami isteri terhadap masing-masing.
Tanggungjawab Suami Terhadap Isteri
- Mas Kahwin
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً
Maksudnya: “Berikanlah mas kahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan.”
(Surah al-Nisa’: 4)
- Nafakah
Di dalam hal ini, Allah SWT berfirman:
وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا
Maksudnya: “Dan kewajipan bapa memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara makruf, seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya.”
(Surah al-Baqarah: 233)
Begitu juga hadis, Rasullullah SAW bersabda:
وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Kamu wajib memberi isteri-isteri kamu nafaqah dan pakaian dengan sewajarnya.”
Riwayat Muslim (1218)
- Pergaulan yang baik
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaullah dengan mereka secara patut.”
(Surah al-Nisa’: 19)
Tanggungjawab Isteri Terhadap Suami
- Taat dalam Perkara Bukan Maksiat
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ
Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita.”
(Surah al-Nisa’: 34)
Maksud perkataan qiwamah di dalam ayat yang dinyatakan di atas ialah berkaitan kepimpinan dan hak ketaatan.
- Tidak Membenarkan Sesiapa pun Masuk ke Rumahnya Tanpa Keizinan dan Keredaan Suaminya.
Hal ini berdasarkan hadis, daripada Jabir bin Abdillah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَلَكُمْ عَلَيْهِنَّ أَنْ لاَ يُوطِئْنَ فُرُشَكُمْ أَحَدًا تَكْرَهُونَهُ
Maksudnya: “Kewajipan isteri kamu adalah dengan tidak membenarkan sesiapa yang kamu benci masuk ke dalam rumah kamu.”
Riwayat Muslim (1218)
Imam Nawawi Rahimahullah berkata: “Janganlah sama sekali para isteri mengizinkan seseorang yang kamu benci masuk dan duduk di dalam rumah kamu.”
- Menjaga Kemuliaan, Maruah dan Harta Suami
Hal ini berdasarkan hadis, Rasulullah SAW bersabda:
أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ
Maksudnya: “Mahukah kamu, aku tunjukkan sebaik-baik perkara yang disimpan oleh lelaki? Perkara itu ialah seorang isteri yang solehah, iaitu apabila dipandang, menggembirakannya, apabila diperintahkan, mentaatinya, dan apabila suaminya tiada, dia memelihara dirinya dan harta suaminya.”
Riwayat Abu Daud (1664) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak, di mana beliau mensahihkannya
Justeru, isu yang berlaku ialah tidak melaksanakan tanggungjawab sama ada dalam keadaan sedar atau jahil serta cuai. Ianya adalah bertentangan dengan kehendak syarak dan sudah pasti akan menghilangkan rasa bahagia serta apa yang diungkapakan dalam al-Quran iaitu memperolehi mawaddah, rahmah dan sakinah.
Selayaknya, puan dan suami bermuhasabah agar masing-masing dapat memperelokkan diri. Dengan cara ini, puan dan pasangan dapat move on untuk membina baiti jannati serta mencapai kebahagiaan.
Saya syorkan beberapa langkah yang mungkin boleh pihak puan ambilnya:
Pertama, lazimi solat berjemaah bersama pasangan, begitu juga kerapkan hadir ke masjid untuk solat.
Kedua, hadirlah majlis ilmu dengan membawa pasangan dan anak-anak sekurang-kurangnya seminggu sekali dan jika boleh dikerapkan lagi baik.
Ketiga, hindarilah bersengketa dan bergaduh kerana ia merosakkan hati dan mengeruhkan keadaan di samping menjadikan ketidaktenangan jiwa. Silap-silap membawa kepada stres yang melampau dan tekanan jiwa serta perasaan termasuklah penyakit seperti anxiety.
Keempat, banyakkan zikrullah dan berdoa serta munajat. Antara doa yang pernah kami himpun berdoa Inilah Doaku boleh memberi manfaat kepada puan untuk berdoa.
Kelima, sentiasalah beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT kerana dengannya akan membuka pintu kebaikan dalam rumah tangga dan juga kehidupan.
Berkenaan dengan penyakit suami puan, rawatilah dia. Sebaik-baiknya mereka yang meruqyah dengan ayat-ayat Allah SWT dan doa yang ma’thur serta tidak bertentangan dengan Islam. Kami juga sarankan agar lazimi membaca al-Mathurat sebagai wirid dan zikir harian pada waktu pagi dan petang. InsyaAllah, akan berlaku sinar kebahagiaan dalam kehidupan puan jika dapat dilaksanakan apa yang kami nyatakan. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H