#2254: Penyelesaian Isu Anak-Anak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana saya ingin menghadapi anak-anak saya yang membesar dalam keadaan nakal, dan tidak dengar kata? Ada ke tidak petua dalam hal ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Anak merupakan anugerah Allah SWT dan ia adalah hibah serta kurniaan daripada-Nya. Firman Allah SWT:

يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ

Maksudnya: “Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.”

(Surah al-Syura: 49)

Ibn Kathir berkata: “Allah SWT memberitahu bahawa Dia memberi rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki dan menahan rezeki daripada siapa yang Dia kehendaki. Tidak ada yang dapat menghalangi apa yang Dia berikan, dan tidak ada yang dapat memberikan apa yang Dia tahan. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memberi anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Contohnya adalah Nabi Lut, yang hanya diberikan anak perempuan”. Dia juga memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Seperti Nabi Ibrahim yang tidak diberikan anak perempuan”. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 7/198)

Ada sesetengah ibubapa yang sering berkonflik kerana prestasi anak-anak yang kurang memberangsangkan. Tambahan pula dengan keadaan masa kini yang memerlukan tahap pendidikan yang tinggi dan cemerlang untuk menjamin masa depan yang baik, ia sekaligus memberi tekanan kepada ibubapa untuk melihat anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran.

Justeru, masalah pelajaran anak-anak yang boleh juga menjadi punca tercetusnya konflik di dalam rumahtangga seharusnya diselesaikan bersama-sama dengan bijaksana, bukannya jadi bahan pertengkaran. Ia juga berkaitan dengan kaedah kita mendidik anak-anak, terutama di dalam era yang penuh mencabar masakini. Cara yang berkesan dalam mendidik anak-anak adalah dengan memberikan pendidikan ukhrawi dan duniawi yang seimbang.

Anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, tiada dosa. Bila anak diberikan didikan yang baik dia akan menjadi anak yang soleh. Jika anak dibesarkan di tengah-tengah ibubapa yang sering bertengkar atau ibubapa yang berakhlak di luar dari landasan agama, anak itu akan turut bersikap demikian juga. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: “Anak-anak itu lahir dalam keadaan fitrah. Ibubapalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani, atau Majusi.”

Riwayat al-Bukhari (1385)

Oleh kerana itu, Islam sangat menekankan tentang pendidikan atau tarbiah anak-anak menerusi ibubapa. Ibubapa mesti mencipta norma dan suasana didikan yang baik di dalam rumahtangga. Rasulullah SAW bersabda:

Rasulullah SAW bersabda lagi:

‏ أَكْرِمُوا أَوْلاَدَكُمْ وَأَحْسِنُوا أَدَبَهُمْ 

Maksudnya: “Hendaklah kamu muliakan anak-anak kamu, dan didiklah mereka dengan adab yang baik (terpuji).”

Riwayat Ibn Majah (3671), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (6/400) dan al-Qadha’i dalam Musnad al-Syihab (1/389).

Dalam riwayat yang lain, daripada Jabir bin Samurah R.A, sabda Rasulullah SAW:

 لأَنْ يُؤَدِّبَ الرَّجُلُ وَلَدَهُ خَيْرٌ مِنْ أَنْ يَتَصَدَّقَ بِصَاعٍ.

 Maksudnya: “Seseorang mendidik anaknya itu lebih baik baginya daripada bersedekah satu gantang’.”

Riwayat al- Tirmizi (1951) dan Ahmad (20970). Dinilai dha’if dalam Dha’if al-Jami’ (4642).

Dalam sebuah hadis yang lain, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ: مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، وَعِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ.

Maksudnya: “Apabila seseorang meninggal dunia, terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: Amal jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh, yang berdoa untuknya.” 

Riwayat Muslim (1631), Abu Daud (2880), al-Tirmizi (1376) dan al-Nasa’ie (3651)

Justeru, kami katakan bahawa didiklah anak sejak daripada kecil. Berdasarkan amalan para salafussoleh termasuk para sahabat, antara yang dididik kepada anak-anak adalah akhlak yang menjadi tonggak utama keperibadian dan sakhsiah seseorang. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW, daripada ‘Amru bin Sa’id al-As, sabda Baginda SAW:

 مَا نَحَلَ وَالِدٌ وَلَدًا مِنْ نَحْلٍ أَفْضَلَ مِنْ أَدَبٍ حَسَنٍ

Maksudnya: “Tiada pemberian seorang bapa terhadap anak-anaknya yang lebih baik daripada (didikan) yang baik dan adab yang mulia.”

Riwayat al-Tirmizi (1952), Ahmad (15403) dan al-Baihaqi (2365).

Anak-anak juga perlu dilatih dan diajar untuk menunaikan ibadat solat bersama dengan orang tuanya agar ia menjadi kelaziman dan kebiasaan apabila sudah mencapai usia baligh. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ

Maksudnya:Perintahkanlah anak-anak kalian untuk mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakannya) ketika mereka berumur sepuluh tahun. Dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.”

Riwayat Abu Dawud (490)

Perkara utama yang perlu ditekankan isu sikap dan sifat ibu bapa serta akhlak yang dipamerkan yang sudah tentu akan membekas pada jiwa anak-anak terutamanya ibu, kerana ia merupakan madrasah yang pertama kepada anak-anak.

Penyair Hafiz Ibrahim berkata:

الأُمُّ مَدْرَسَةٌ إِذَا أَعْدَدْتَهَا أَعْدَدْتَ شَعْبَاً طَيَّبَ الأَعْرَاقِ

الأُمُّ أُسْتَاذُ الأَسَاتِذَةِ الأُلى بَلَغَتْ مَآثِرُهُمْ مَدَى الآفَاقِ            

Ibu merupakan sekolah, jika kamu sediakannya

        Sebenarnya kamu menyediakan generasi yang baik akhlaknya

Ibu adalah ketua guru yang tinggi

        Sampai kesannya sejauh ufuk.

(Lihat Mausu‘ah al-Raqa’iq wa al-Adab, hlm. 496)

Seterusnya, perhatikan rakan-rakan yang dia berkawan atau bersahabat. Tunjuk dan pilihlah sahabat-sahabat yang baik dan jarakkannya dari rakan yang tidak baik. Ini kerana, sahabat atau rakan akan mempengaruhi tingkah laku dan peribadi seseorang. Nabi SAW bersabda:

الْمَرْءُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلْ

Maksudnya:Seseorang itu mengikut agama rakannya. Maka lihatlah seorang kamu siapa yang dia berkawan.”

Riwayat Abu Daud (4833), al-Tirmizi (2378) dan Ahmad (8398)

 

Tips Mendidik Anak Nakal

Dr. Norfaezah Md Khalid dari Jabatan Psikologi Pendidikan & Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya menyebut:

Apakah faktor-faktor yang menyebabkan seseorang kanak-kanak itu menjadi nakal? Pertama, pastinya adalah gaya asuhan dan didikan oleh ibu bapa/penjaga di rumah. Keluarga adalah persekitaran pertama apabila seseorang individu itu dilahirkan. Keluarga atau penjaga memainkan peranan yang penting dalam mencorak keperibadian diri seseorang, termasuklah golongan kanak-kanak. Sesetengah ibu bapa, seringkali menurut apa sahaja kehendak anak-anaknya kerana tidak mahu mendengar tangisan dan rengekan berterusan anak-anak mereka. Namun, tanpa disedari keadaan ini akan menjadikan anak-anak itu lebih bersikap suka mengarah, berfikir bahawa semua kehendaknya perlu dan akan dipenuhi.

Ada juga ibu bapa yang tidak konsisten mempamerkan emosi tertentu kepada anak-anak. Misalnya, emosi marah. Ada ibu bapa yang berpura-pura memarahi anak, ada juga yang pada awalnya memarahi anak, kemudian mungkin berasa kasihan, lantas tertawa, dan kembali memujuk anak tersebut. Dalam situasi yang lain, si bapa memarahi dan menegur tindakan anak yang tidak betul, namun datang si ibu untuk membela anaknya. Situasi-situasi ini boleh menyebabkan anak-anak keliru dengan pelbagai bentuk emosi yang dipamerkan oleh ibu bapa dan akhirnya berfikir bahawa tindakan ibu atau bapa yang memarahi mereka itu adalah tidak serius dan hanyalah berjenaka.

Selain itu, segelintir ibu bapa atau orang dewasa juga sering membiarkan tingkahlaku nakal anak-anak mereka kerana beranggapan bahawa anak-anak ini masih kecil dan kenakalan itu adalah normal bagi mereka. Namun, tanpa disedari ada kesan negatif yang mungkin boleh timbul akibat perkara yang dianggap normal ini. Tetapi, bukankah kenakalan ini bagus di mana ia menunjukkan keaktifan dan kebijakan seseorang kanak-kanak? Tidak dinafikan bahawa anak yang ‘nakal’ atau banyak akal ini akan mempunyai lebih banyak pengalaman kerana mereka melalui duniapenerokaan mereka dengan pelbagai percubaan. Mereka bebas untuk mencuba dan mempelajari perkara baharu.

Pada peringkat ini, salah satu tugas perkembangan anak-anak adalah meneroka dunia persekitaran. Kanak-kanak yang berjaya melaksanakan tugas mereka pada peringkat ini membolehkan mereka terus berkembang ke fasa kehidupan yang seterusnya. Namun, sebagai ibu bapa, kita haruslah sentiasa ingat bahawa kanak-kanak ini adalah makhluk kecil yang sentiasa memerlukan bantuan kita sebagai orang dewasa. Meskipun dunia mereka adalah dunia bermain dan meneroka pelbagai perkara, anak-anak ini sebenarnya amat memerlukan bantuan orang dewasa untuk memandu tingkahlaku mereka.

Hal ini termasuklah untuk membezakan apakah yang boleh dan tidak boleh dilakukan, serta penjelasan di sebalik arahan tersebut. Kanak-kanak yang dibiarkan meneroka dunia mereka secara sendiri, bebas tanpa pantauan ibubapa, dibimbangi akan menerapkan pemikiran dan nilai dalam hidup yang tidak tepat. Wujud kemungkinan kebiasaan tingkahlaku yang diamalkan pada peringkat usia kanak-kanak akan dibawa sehinggalah kanak-kanak ini dewasa, yang mana boleh mempengaruhi perkembangan emosi dan personaliti anak-anak ini.

Sebagai contoh, kanak-kanak yang sering merosakkan alat permainan di taman permainan tanpa ditegur dan diberi penjelasan yang sewajarnya oleh ibubapa, boleh menyebabkan kanak-kanak ini membawa sikap dan perbuatan tersebut sehinggalah mereka dewasa. Apabila dewasa, anak-anak ini menganggap tingkahlaku tersebut adalah perkara biasa sehingga membawa mereka ke arah vandalisme. Begitu juga dengan situasi yang lain seperti kanak-kanak yang biasa memukul rakan-rakan semasa bermain atau di dalam kelas, tanpa ada bimbingan sewajarnya akan menyebabkan perbuatan itu sebati dalam diri mereka. Apa yang paling dikhuatiri adalah sikap dan perbuatan tersebut akan mengarah mereka menjadi seorang pembuli apabila meningkat remaja dan dewasa kelak.

Justeru, ibu bapa dan penjaga khususnya haruslah berusaha untuk memahami apakah yang sedang berlaku dalam peringkat usia anak-anak. Terdapat tugas-tugas perkembangan tertentu yang perlu dicapai oleh individu pada setiap peringkat atau fasa
kehidupan. Ibu bapa dan penjaga haruslah bersedia untuk memberi ruang dan bimbingan yang secukupnya kepada anak-anak untuk membolehkan mereka terus berkembang dengan baik dalam masa yang sama mendapat bimbingan tentang perbuatan dan sikap mereka. Pada zaman teknologi serba canggih ini, ibu bapa dan golongan dewasa dapat mengakses pelbagai platform untuk mendapatkan informasi tentang keibubapaan. Maka, carilah ilmu yang boleh dijadikan panduan khususnya dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. (Lihat Fakta dan Mitos Anak Nakal oleh Dr. Norfaezah Md Khalid)

Akhir kalam, kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H