Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya sering mendenar penceramah yang akan berkata, “kalau ini baik ia datang dariapda Allah, sebaliknya kalau tidak baik ia datang dari diri saya,”. Bolehkah kita bercakap begitu dan adakah ia athar dari salafussoleh?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
مَّا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّهِ ۖ وَمَا أَصَابَكَ مِن سَيِّئَةٍ فَمِن نَّفْسِكَ ۚ
Maksudnya: “Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. ”
Surah al-Nisa’ (79)
Menjawab persoalan di atas, biasanya sebahagian salaf al-soleh ketika berfatwa akan mengatakan:
إِن كَانَ صَوَابا فَمن الله وإن كان خطأ فمني
Maksudnya: “Sekiranya ia benar maka ia datang dari Allah. Sekiranya ia salah maka ia datang dari aku.”
Telah berkata Abu Bakr al-Siddiq R.A berkenaan al-Kalalah:
أَقُول فِيهَا برأيي فَإِن كَانَ صَوَابًا فَمَن اللَّه وَإِن كَانَ خَطا فمني ومن الشَّيْطَان وَالله وَرَسُوله بريئان مِنْهُ
Maksudnya: “Aku katakan pada masalah ini berdasarkan pandanganku. Sekiranya ia benar maka ia daripada Allah dan sekiranya ia salah maka ia daripada diriku dan syaitan. Allah dan Rasul-Nya berlepas diri darinya.” (Lihat al-Baihaqi dalam Marifah al-Sunan wa al-Athar, 9/113 dan al-Darimi, 3015)
Saidina Abu Bakar RA telah menyebtu tentang al-Kalalah yang memberi makna, “Seorang yang tidak mempunyai anak dan juga bapa.” Ini berkenaan dengan hukum pusaka apabila seseorang berada dalam keadaan begitu.
Walaupun begitu, ucapan seperti di atas telah dianggap sebagai makruh pada zaman ini kerana ia melemahkan jiwa si penyoal dan akan memasukkan perasaan syak dalam hatinya terhadap sesuatu jawapan yang diberikan. Inilah pendapat Ibn Hamdan al-Harani dalam Sifat al-Mufti wal Mustafti hlm. 167.
Semoga Allah SWT taufik dan hidayahkan kita untuk sentiasa memohon pertolongan daripada-Nya, terutamanya diberikan taufik dan hidayah. Marilah sama-sama kita berdoa:
رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”
Surah al-Kahfi (10)
Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H