#226 Nafkah Isteri Bekerja

Soalan

Adakah saya dikira mengabaikan nafkah kepada isteri saya jikalau isteri saya sudah bekerja? Hal ini kerana setelah dibayar semua komitmen, baki daripada duit gaji saya hanya tinggal RM 300 sahaja dan duit nafkah terhadap isteri saya tidak termasuk dalam komitmen saya. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Nafkah dari segi bahasa ialah mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu.[1]

Di dalam Sunnah, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Mu’awiyah al-Qusyairi RA, bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Maka Rasulullah SAW menjawab:

أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ

Maksudnya: “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah”.[2]

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu, Makanan, Barang-barang dapur, Pakaian, Tempat tinggal, Alat-alat untuk membersihkan diri, Barangan rumah, Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu.[3]

Para ulama bersepakat (Ijma’) suami wajib memberi nafkah kepada isterinya. Malah, ianya termasuk juga sekiranya isteri mempunyai pendapatan, harta atau pekerjaan. Kewajipan nafkah tetap dipikul oleh suami. Hal ini bersandarkan kepada firman Allah SWT:

وَٱلۡوَٰلِدَٰتُ يُرۡضِعۡنَ أَوۡلَٰدَهُنَّ حَوۡلَيۡنِ كَامِلَيۡنِۖ لِمَنۡ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَۚ وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.[4]

Ibn Kathir menyatakan didalam tafsirnya bahawa wajib ke atas ayah untuk memberi nafkah dari sudut pakaiannya dengan cara yang sepatutnya iaitu apa-apa pakaian yang diterima oleh adat atau seumpama dengannya di negara tersebut tanpa berlaku pembaziran dan tidak menyusahkan. Ia sekadar apa yang termampu ketika dia (ayah atau suami) dalam keadaan senang dan bersederhana serta apa yang melaziminya.[5]

Dalam permasalahan nafkah, ianya perlu difahami dengan baik. Hal ini kerana, nafkah adalah suatu elemen yang penting dalam perkahwinan yang dimasukkan di bawah tanggungjawab suami ke atas isteri dan tanggungannya.

Di dalam perbahasan nafkah suami terhadap isteri, para fuqaha’ membahagikan kepada tiga golongan suami, yang senang, sederhana dan susah. Sekiranya suami merupakan orang susah, maka cukup sekadar mengeluarkan nafkah yang asas. Seperti mengeluarkan secupak beras berserta dengan lauk asas yang mengikut tradisi setempat. Kemudian, menyediakan pakaian asas untuk dipakai isteri mengikut pakaian yang dipakai masyarakat setempat sama ada ketika di rumah dan ketika keluar dari rumah, cukup sekadar menutup aurat serta mengikut budaya pakaian orang Islam setempat. Kemudian, menyediakan rumah mengikut kemampuan, tanpa disyaratkan untuk memiliki rumah tersebut, sudah memadai sekiranya menyewa. Sekiranya suami yang tidak berkemampuan ini menunaikan tanggungjawab dengan memberi nafkah asas ini, maka isteri tidak berhak untuk memohon fasakh.[6]

Sedarlah bahawa perkahwinan itu datang bersama dengan tanggungjawab seorang suami kepada isteri. Namun, yakinlah bahawa Allah SWT tidak sesekali membebankan para suami apatah lagi menzalimi. Yakinlah bahawa setiap yang Allah syariatkan itu mempunyai hikmah yang besar. Hal ini sepertimana yang dijelaskan Allah SWT di dalam al-quran:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّـهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّـهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا

Maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.[7]

Berdasarkan persoalan di atas, seorang suami wajib memberikan nafkah tanpa mengira banyak ataupun sedikit kepada isterinya walaupun isterinya sudah bekerja. Hal ini kerana tugas seorang suami adalah bertanggungjawab terhadap keperluan isteri dan anak-anaknya berdasarkan kemampuannya. Namun kewajipan suami untuk memberi nafkah terlepas sekiranya isterinya redha dan mengizinkan untuk tidak diberi nafkah. Aisyah R.Anha pernah meriwayatkan bahawa suatu hari Hindun, iaitu ibu kepada Muawiyah pernah mengadu kepada Rasulullah SAW berkenaan suaminya, Abu Sufyan seorang yang kedekut dan tidak memberikan nafkah yang cukup kepadanya dan anaknya sehingga beliau terpaksa mengambil harta daripada Abu Sufyan secara sembunyi tanpa pengetahuan suaminya. Melihat keadaan itu, maka Rasulullah SAW bersabda:

خُذِي مَا يَكْفِيكِ وَبَنِيكِ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Ambillah (daripada harta Abu Sufyan) apa yang mencukupkan kamu dan anak kamu secara baik.[8]

Hadith ini menjadi dalil kepada bolehnya mengambil harta suami tanpa pengetahuannya mengikut keperluan isteri dan anak-anak sekiranya suami itu seorang yang kedekut dan tidak memberikan nafkah kepada keluarganya.

Sebagai penutup , kami menyarakan agar disusun kembali prioriti peruntukan kewangan mengikut kemampuan saudara dan memasukkan sekali nafkah kepada isteri di dalam komitmen bulanan. Kami juga mencadangkan agar mengambil khidmat Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) jika memerlukan bantuan untuk pengurusan kewangan.

Sekiranya isteri redha dengan suami tidak memberi nafkah zahir, maka akan terlepaslah tanggungjawab suami, tetapi yang dibimbangi apabila muncul masalah di kemudian hari, kemungkinan isteri akan mengungkit dan akan mendatangkan masalah yang lebih besar kerana masalah nafkah ini. Kami nasihatkan supaya suami perlu bertekad untuk menguruskan nafkah keluarga dengan baik. Perlu sentiasa berunding dengan hikmah dan baik dengan isteri. Dicadangkan juga suami dan isteri menyediakan plan tindakan bersama bagi bagi mengurus kewangan keluarga.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang baik dalam memahami agama ini. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Cukupkanlah aku dengan dengan yang halal dan jauhkanlah aku daripada yang haram, dan cukupkanlah aku dengan kurniaan-Mu daripada bergantung kepada selain-Mu.”

Wallahua`lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H

 

[1] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/274

[2] Riwayat Abu Dawud (2142), Ibn Majah (1850) dan Ahmad (20013)

[3] Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 10/7349

[4] Surah al-Baqarah: 233

[5] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/634

[6] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/283

[7] (Surah al-Talaq:7)

[8]  Riwayat al-Bukhari (3825), Muslim (1714), Abu Dawud (3532), al-Nasaie (5420), Ibn Majah (2293) dan Ahmad (24163)