Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya selalu dengar dalam tulisan Dato’ Seri ada menyebut beberapa kalimah seperti, “Inilah jawapan kami,” atau “Jawapan di sisi kami,” atau “Pendapat kami,” atau “Pandangan di sisi kami,” dan seumpamanya. Adakah dibenarkan dalam Islam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
Maksudnya: “Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Surah al-Baqarah (32)
Al-Maraghi menyebut berkenaan ayat ini: “Malaikat pun berkata, “Kami menyucikan-Mu daripada segala perkara yang tidak patut bagi-Mu seperti kekurangan ilmu, sehingga menyebabkan Engkau mencipta khalifah secara sia-sia, tanpa hikmah dan faedah. Begitu juga Engkau pun bertanya kepada kami sesuatu yang tidak kami ketahui padahal Engkau mengetahui bahawa ilmu kami tidak meliputinya dan kami tidak mampu untuk menerangkannya.” Perkara ini merupakan pengakuan malaikat tentang kelemahan mereka semasa menghadapi setiap persoalan yang diajukan kepada mereka.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/79)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan benar sekali. Itulah salah satu daripada metodologi cara kami menjawab soalan. Biasanya, kami bentang terlebih dahulu tasawwur masalah. Ini kerana:
الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ
Maksudnya: “Hukum atas suatu perkara terbina atas pandangan keseluruhan perkara tersebut.” (Lihat Syarh al-Kaukab al-Munir, 1/50)
Kemudian, kami bentangkan pendapat ulama dan juga imam mazhab dengan disertakan rujukan. Selepas daripada itu, kami tarjihkan dan kemukakan berasaskan kepada kaedah maslahat dan juga kekuatan dalil.
Persoalan yang saudara tanya kepada kami. Ia tidaklah bersalahan, ini berdasarkan kepada kenyataan Ibnu Hamdan al-Harrani yang berkata: “Dan tidaklah dicela bagi seorang mufti untuk mengatakan jawapan di sisi kami atau pandangan di sisi kami atau dia berkata kami berpandangan begini dan begini kerana ini merupakan jawapan para ashab dan juga para pemilik ucapan.”
Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT supaya Allah SWT sentiasa taufikkan kita ke arah kebaikan.
رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”
Surah al-Kahfi (10)
Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H