#2268: Nasihat Yang Berkesan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami untuk dan cara memberi nasihat yang paling berkesan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebagai seorang Muslim, perlulah saling nasihat-menasihati:

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Maksudnya: “Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Surah al-‘Asr (3)

Maksud saling berpesan dengan kebenaran ialah: Mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam Kitab-Nya, iaitu yang diperintahkanNya dan menjauhi apa yang dilarang-Nya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 24/590. Lihat juga Tafsir Ibn Abi Hatim, 7/567)

Perkataan al-Haq atau benar mempunyai tiga takwilan:

  • Iaitu tauhid. Inilah pendapat Yahya bin Sallam.
  • Iaitu al-Quran. Inilah pendapat Qatadah.
  • Iaitu Allah. Inilah pendapat al-Suddi.

Diihtimalkan (diandaikan) pendapat yang keempat iaitu nasihat penggantinya kepada orang yang hampir mati supaya tidak mati kecuali dalam keadaan Islam. (Lihat al-Nukat wa al-‘Uyun, 6/334)

Al-Baidhawi berkata: Al-Haq di sini adalah dengan makna yang thabit, yang tidak boleh diingkarinya sama ada dalam bentuk iktiqad atau amalan. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil atau Tafsir al-Baidhawi, 5/336)

Manakala maksud saling berpesan dengan kesabaran pula ialah: Mereka saling menasihati untuk menetapi kesabaran dalam melaksanakan ketaatan terhadap Allah” (Lihat Tafsir al Tabari, 24/590 dan Tafsir al-Qurtubi, 20/123)

Allah SWT berfirman:

…إِنَّ اللَّـهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “…Sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar”

(Surah al-Baqarah: 153)

Ibn Kathir berkata: Pesan-memesan dengan kesabaran tersebut adalah pada perkara musibah dan takdir. Begitu juga bersabar terhadap orang yang menyakiti bagi sesiapa yang melakukan amar makruf dan nahi mungkar. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/3526)

Sayyid Qutb berkata perkataan saling berpesan itu, menggambarkan satu gambaran umat atau kelompok Muslimin yang bersatu padu, satu umat yang terpilih, yang sedar dan yang tegak di bumi di atas lunas-lunas kebenaran, keadilan dan kebaikan. Islam mahukan umat ini menjadi satu umat yang terpilih, kuat, sedar, siap siaga mengawasi kebenaran dan kebaikan. Selain itu, Islam mengharapkan umat ini sentiasa saling berpesan sesama mereka untuk menjunjung kebenaran dan kesabaran dalam perjuangan dan hidup saling mesra, bekerjasama dengan semangat ukhuwah Islamiyah sebagaimana apa yang disarankan oleh kata-kata berpesan di dalam al-Quran. (Lihat Tafsir Fi Zilalil Quran, 17/521)

Guru kami, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Saling menasihati dengan kesabaran dan juga untuk taat kepada Allah, sabar untuk tidak melakukan maksiat, redha dengan ketentuan dan takdir Allah dalam pelbagai musibah dan cubaan. (Lihat Tafsir al-Munir, 15/664)

Daripada Abi Ruqayyah Tamim bin Aus al-Dariy RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ، قَلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ، وَعَامَّتِهِمْ

Maksudnya: “Agama itu merupakan nasihat. Kami bertanya: Kerana siapa? Sabda Baginda: Bagi Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat semuanya.”

Riwayat Muslim (55), Abu Daud (4944) dan al-Nasaie (7/156)

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada: Abu Laith al-Samarqandi di dalam kitabnya Tanbih al- Ghafilin berkata: Seseorang yang akan menjalankan amar makruf dan nahi mungkar harus melengkapi beberapa syarat:

Berilmu, kerana orang yang tidak berilmu tidak akan memahami makruf dan mungkar.

  • Ikhlas kerana Allah dan menegakkan agama.
  • Kasih sayang kepada yang dinasihati, dengan baik dan ramah mesra dan jangan menggunakan kekerasan.
  • Harus mengerjakan apa-apa yang dianjurkan supaya tidak dikeji orang atas perbuatannya sendiri.

Betapa pentingnya isu nasihat sehingga seorang ulama mengarang buku yang bertajuk Fiqh al-Nasihah.

Ibn Rajab al-Hanbali berkata: Di antara sebesar-besar jenis nasihat ialah memberi nasihat kepada sesiapa yang meminta pendapatnya dalam urusannya sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

إِذَا اسْتَنْصَحَ أَحَدُكُم أَخَاهُ فَلِينْصَحْ لَهُ

Maksudnya: “Apabila diminta nasihat oleh seseorang kamu, maka hendaklah memberi nasihat kepada saudaranya.”

Riwayat al-Bukhari (180) dalam al-‘Ilal al-Kabir

Dr Abdul Aziz al-Tarifi berkata, “Nasihat adalah sebesar-besar hadiah yang dikurniakan dan dari tanda membesarkannya hendaklah dibalut dan dihias dengan sebaiknya. Hiasan nasihat itu ialah dengan penuh lemah-lembut, kasih sayang dan rahmah terhadap orang yang dinasihatinya.” Inilah ramuan nasihat yang berjaya dan berkesan.

Akhir kalam marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H