Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Kami ingin kepastian pembalasan sebenarnya adakah berdasarkan kepada niat atau pun beramal atau kedua-duanya sekali?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sudah tentu amalan yang disertakan dengan niat yang soelh dan ikhlas akan diterima dan dibalas oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT:
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ
Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya,”
Surah al-Bayyinah (5)
Imam al-Qurtubi mentafsirkan ayat ini dengan ayat yang lain iaitu: Firman Allah SWT: ‘قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّـهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ’ (“Katakanlah (wahai Muhammad SAW): “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadah hanya kepada-Nya”). [Surah al-Zumar:11] Ayat ini menjadi dalil bahawa wajibnya kita berniat dalam melaksanakan perkara-perkara berkaitan ibadah. Ini kerana, ikhlas merupakan amalan hati dan ia perlulah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dan tidak pada selain daripada-Nya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 20/144)
Tetapi hendaklah kita fahami dengan niat yang benar lagi soleh tanpa disertai dengan riyak dan penuh keikhlasan maka niat tersebut boleh jadi lebih baik daripada dia beramal.
Hal ini berdasarkan kepada hadith daripada Sahl bin Sa’d al-Sa’idi, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
نِيَّةُ المُؤْمِنِ خَيْرٌ مِنْ عَمَلِه
Maksudnya: “Niat seorang yang beriman itu lebih baik dari amalannya.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (5942). Al-Baihaqi menyebut sanad hadis ini dha’if. Al-‘Ajluni pula mengisyaratkan bahawa hadis ini dha’if dalam Kasyf al-Khafa’. Begitu juga yang disebut oleh al-’Iraqi dalam takhrij al-Ihya’ (5/91)
Imam al-Baihaqi menjelaskan bahawa niat seorang mukmin itu (boleh menjadi) lebih baik daripada amalannya kerana niat itu tidak dimasuki kerosakan, manakala amalan boleh jadi masuk kerosakan padanya. Dikatakan, niat tanpa amal, boleh menjadi satu ketaatan. Sedangkan amalan tanpa niat maka tidak menjadi satu ibadat ketaatan. (Lihat Syu’ab al-Iman, 5/343)
Menjawab persoalan di atas, Syeikh Abdul Aziz al-Tarifi berkata, “Allah SWT pasti membalas berdasarkan kepada niat lebih banyak daripada amal.” Benarlah firman Allah SWT:
فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا
Maksudnya: “maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahui-Nya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya.”
Surah al-Fath (18)
Ibn Kathir berkata: Firman Allah, ‘فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ’, maksudnya Allah mengetahui kejujuran, kesetiaan, kepatuhan dan ketaatan yang ada di hati mereka. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 6/68)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Allah SWT mengetahui yang ada dalam hati mereka berupa keimanan, kejujuran, ketulusan, kesungguhan, kesetiaan dan kepatuhan. Lalu Allah SWT pun menurunkan ketenangan dan ketenteraman jiwa kepada mereka, memberi balasan berupa penaklukan Khaibar selepas kembalinya mereka dari Hudaibiyah, diikuti dengan penaklukan kota Makkah dan penaklukan pelbagai negeri dan kawasan yang lain. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 13/410)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكَّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke- takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”
Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H