#2272: Interaksi Dengan Fiqh

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana kita berinteraksi dengan fiqh yang sekarang ini kita terdedah dengan laman web dan media sosial, di mana terdapat banyak pendapat-pendapat ulama?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan takrifan fiqh pada bahasa dan istilah. 

Pengertian Fiqh

Fiqh mempunyai dua pengertian. Pertama, pada bahasa dan kedua, pada istilah.

Fiqh pada bahasa bererti faham. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَمَالِ هَؤُلَاءِ الْقَوْمِ لَا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ حَدِيثًا

Maksudnya: “Maka, apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?”

Surah al-Nisa’ (78)

Firman Allah SWT lagi:

وَلَكِن لَّا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ

Maksudnya: “Akan tetapi, kamu tidak faham akan tasbih mereka.”

Surah al-Isra’ (44)

Begitu juga hadith sabda Rasulullah SAW:

إِنْ طُولَ صَلَاةِ الرَّجُلِ وَقِصَرَ خُطْبَتِهِ مَئِنَّةٌ مِنْ فِقْهِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang yang lama solatnya dan pende khutbahnya adalah tanda kefahamannya.”

Riwayat Muslim (86)

Pengertian fiqh pada istilah pula membawa kepada dua maksud:

Pertama: Mengetahui hukum-hukum syara’ yang berkaitan dengan segala perbuatan dan perkataan mukallaf berdasarkan kepada dalil-dalil terperinci, iaitu nas al-Quran, al-Sunnah, Ijma’ dan ijtihad, yang diambil yang daripada kedua-duanya. Sebagaimana diketahui bahawa niat ketika berwudhu’ adalah wajib berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ باليات

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan adalah dengan niat.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Berniat pada waktu malam adalah syarat sah puasa. Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW:

 من لم يُبت الصيَامَ قَبْلَ طُلُوعِ الْفَجْرِ فَلَا صِيَامَ لَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak berniat untuk berpuasa sebelum fajar terbit, puasanya tidak dikira.”

Riwayat al-Baihaqi (4/202) dan al-Daruqutni (2/172) yang mengatakan semua periwayatnya thigah.

Begitu juga solat witir adalah sunat berdasarkan hadith seorang Badwi yang bertanya Rasulullah SAW tentang solat fardhu, kemudian katanya: “Adakah solat yang lain lagi diwajibkan ke atasku?” Baginda menjawab “Tidak, kecuali kamu melakukan solat sunat.”

Seteranya, solat sunat selepas solat Asar adalah makruh berdasarkan Rasulullah SAW telah menegah melakukannya selepas solat Asar hingga matahari terbenam. Contoh yang lain lagi ialah menyapu sebahagian kepala ketika berwudhu’ adalah wajib. Firman Allah SWT:

وَأَمْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ

Maksudnya: “Dan sapulah sebahagian dari kepala kamu.”

Surah al-Maidah (6)

Kedua: Hukum syara’ itu sendiri. Justeru, apabila dikatakan: “Kamu mempelajari figh.” la bererti mempelajari hukum-hukum syara? yang terdapat dalam kitab-kitab fiqh yang diambil daripada al-Quran, al-Sunnah, ima ulama’ dan ijtihad mereka.

Contohnya, hukum-hukum wudhu’, solat, jual beli, perkahwinan dan penyusuan, jihad dan lain-lain. Kesemua hukum syara’ ini juga dinamakan fiqh dari segi istilah. Perbezaan antara dua istilah tersebut ialah:

  • Istilah pertama digunakan untuk mengetahui hukum-hukum.
  • Istilah kedua digunakan pada hukum syara’ itu sendiri.

Begitu juga orang yang tidak beriman kepada Allah SWT tidak terikat dengan ibadat solat dan puasa. Mereka akan bertindak tanpa mengira halal dan haram. Justeru, beriltizam dengan segala hukum syara’ merupakan satu cabang daripada beriman kepada Allah SWT yang telah menurunkan syariat kepada hamba-hamba-Nya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/93-95)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami bahagikan kepada dua; kepada orang awam mungkin mereka bertaqlid mengikut mazhab yang dianuti oleh masyarakat setempat seperti di Malaysia dengan mazhab Syafi’i dan ramai ulama bermazhab dengan mazhab Syafi’i.

Kepada para ulama, mungkin mereka melihat kepada dalil dan hujah tetapi masih dalam ruang lingkup mazhab Syafi’i dan apabila mereka melihat maslahat serta memahami bentuk untuk talfiq atau melihat kepada mazhab yang lain dengan dalil-dalilnya, maka berhaklah mereka mengikutnya.

Kami tertarik dengan jawapan Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam komentarnya berkata, “Sebahagian fuqaha mengkaji dalam kitab-ktiab mutaakhirin daripada ulama mazhabnya dan dia tidak keluar dari batasannya. Di samping itu, dia tidak melihat secara mendalam dan meluas syariat dengan mafhum yang sebenar yang bersifat terbuka atau dengan himpunan segala madrasahnya dan mazhabnya. Sebagaimana dia tidak melihat kepada zaman dan perkembangan serta permasalahannya. Justeru, dia hanya melihat dengan pandangannya sahaja yang telah dibataskan apa yang diluaskan oleh Allah dan membataskan apa yang dimudahkan oleh Allah SWT.” Beliau juga menyebut, “Seorang faqih pada masa kini memerlukan semangat yang kental dan kesungguhan untuk berijtihad serta tajdid mengikut kesesuaian zaman selari dengan kehendak syariah.”

Dengan itu, kita tetap yakin dan percaya bahawa Islam dengan segala bentuk kehidupannya yang selalu kita dengar sebagai the way of life yang bersifat sesuai sepanjang zaman, di semua keadaan dan di pelbagai tempat kerana ia adalah agama Allah SWT yang Allah SWT telah sempurnakannya. Benarlah firman Allah SWT:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ

Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.

Surah al-Maidah (3)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah: 201)

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H