Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu persoalan. Perlukah disamak jika anggota badan (tangan) terkena bulu anjing yang melekat pada kereta dalam keadaan kering dengan jumlah yang sedikit tanpa sengaja? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, menurut mazhab Syafi‘i, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘i, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasululullah SAW bersabda:
طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ
Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan (basuhan) yang pertama dengan tanah.”
Riwayat Muslim (279)
Hadith ini juga jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing. Hal ini kerana kesucian itu datang selepas daripada hadas atau najis. Maka, dalam konteks di sini kesucian bekas itu daripada hadas adalah tidak mungkin. Justeru, jelaslah bahawa bekas itu disucikan daripada najis. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567-568).
Selain daripada itu, kenajisan anjing juga dikategorikan sebagai najis mughallazah — yakni najis jenis yang berat. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat ialah ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya dengan air tanah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40). Selain itu, Ibn Qudamah menyebutkan, tidak ada khilaf dalam mazhab Hanbali bahawa kenajisan anjing wajib dibasuh sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satunya adalah dengan tanah. Ini juga merupakan pendapat dalam mazhab al-Syafi‘i. (Lihat al-Mughni, 1/73).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya sesuatu najis itu tidak boleh berpindah melainkan dalam keadaan basah/lembap. Dalam erti kata lain, jika benda najis itu dalam keadaan kering, maka ia tidak menajiskan benda-benda lain (yang juga dalam keadaan kering) yang bersentuhan dengannya. Sebagai contoh, jika tangan kita yang kering, menyentuh bahagian yang mengandungi bulu anjing yang dalam keadaan kering, maka tangan kita tidak dikira terkena najis. Hal ini adalah sebagaimana difahami daripada kenyataan Imam al-Nawawi bahawa tidak ada perbezaan di sisi kami — yakni ulama mazhab Syafi‘i — antara jilatan anjing dengan selainnya yang terdiri daripada anggota-anggota anjing. Apabila terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota daripada anggota badannya yang bersih ketika dalam keadaan basah (atau lembap) salah satunya, maka wajib membasuhnya sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satu daripada basuhan itu dengan tanah. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/185). Dalam erti kata lain, ia hanya akan menajiskan benda lain, jika kedua-duanya atau salah satunya (yakni yang menyentuh dan yang disentuh) dalam keadaan basah dan lembap.
Begitu juga turut dinyatakan dalam Fiqh al-‘Ibadat ‘ala Mazhab al-Syafi‘i (1/179) bahawa jika sesuatu yang najis atau mutanajjis[1] bersentuhan dengan sesuatu yang suci, maka hendaklah dilihat. Sekiranya kedua-duanya — yakni yang bernajis dan yang suci — dalam keadaan kering, maka sesuatu yang najis (atau yang mutanajjis) itu tidak akan memberi sebarang kesan kepada sesuatu yang suci itu. Hal ini adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh yang menyebutkan, sesuatu yang kering adalah suci tanpa sebarang khilaf. Namun, jika salah satunya atau kedua-duanya dalam keadaan basah (atau lembap), maka sesuatu yang suci itu akan dikira najis, disebabkan oleh persentuhannya dengan sesuatu yang najis itu.
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tangan yang tersentuh bulu anjing yang melekat pada kereta dalam keadaan kering, sama ada banyak ataupun sedikit, tidak perlu disertu atau dibasuh sebagaimana dibasuh najis mughallazah kerana tidak berlaku perpindahan najis tersebut kepada tangan disebabkan kedua-duanya dalam keadaan kering (iaitu tangan yang menyentuh dan juga bulu yang disentuh).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْماً كَثِيرًا، وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
[1] Sesuatu yang terkena najis.
Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H