Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah kita mendoakan agar semua umat Islam masuk ke dalam syurga tanpa dihisab dan diazab?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.’”
( Surah al-Ghafir: 60)
Ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa Allah SWT menuntut para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tiada khilaf dalam kalangan orang Islam. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 183/24)
Selain itu, Allah SWT sangat suka hamba-hamba-Nya berdoa kepada-Nya sebagaimana yang disebut di dalam nas-nas ilahi. Antaranya, Firman Allah SWT:
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul”.
(al-Baqarah:186)
Doa juga merupakan ibadah dan ketaatan kepada Allah SWT sebagaimana hadith yang telah diriwayatkan oleh Nu’man Bin Basyhir bahawa Rasulullah SAW bersabda :
الدعاءُ هو العبادةُ
Maksudnya: Doa itu merupakan Ibadah
Riwayat Tarmizi(2969)
Menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan doa merupakan ibadah yang dicintai disukai oleh Allah SWT dan ia merupakan ciri kehambaan, kerendahan hati, dan pergantungan kepada Allah SWT. Sewajarnya bagi seorang muslim sentiasa melazimi doa dalam kehidupan seharian.
Dalam isu ini kami katakan mendoakan kebaikan dunia dan akhirat untuk kaum muslimin adalah perkara yang dianjurkan syara’, ini adalah salah satu makna persaudaraan dan pertalian antara kaum Muslimin. Seorang Muslim mencintai apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri berupa kebaikan, oleh kerana itu dia berdoa untuk semua muslimin dengan kebaikan dunia dan akhirat.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.Anhu bahawa rasulullah SAW ketika berdoa kepada jenazah Baginda mengucapkan :
اللهم اغفِرْ لِحَيِّنا ومَيِّتِنا، وصغيرِنا وكبيرِنا، ذكرِنا وأُنثانا، وشاهدِنا وغائبِنا، اللهم مَن أحييتَهُ مِنّا فأحيهِ على الإسلامِ، ومَن توفيتَهُ منا فتوفَّهُ على الإيمانِ
Maksudnya : Ya Allah ampunilah bagi orang-orang yang masih hidup dari kalangan kami dan yang telah meninggal dunia, anak-anak kecil kami dan yang telah tua di antara kami, para lelaki dan wanita di antara kami, yang hadir mahupun yang tidak hadir. Ya Allah ya tuhanku siapa yang kamu hidupkan antara kami maka hidupkanlah ia di atas islam dan sesiapa yang telah engkau wafatkan dari kami maka wafatkanlah di atas keimanan.
Riwayat Abu Daud (3201) dan Ahmad (8809)
Telah disebutkan banyak ayat dalam al-Quran tentang doa supaya dipelihara daripada azab api neraka antaranya ialah :
رَبَّنَا إِنَّنَا آمَنَّا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya : Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka
(Surah al-Imran:16)
Daripada Abdullah Bin Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda :
يَدْخُلُ مِن أُمَّتي الجَنَّةَ سَبْعُونَ ألْفًا بغيرِ حِسابٍ، فقالَ رَجُلٌ: يا رَسولَ اللهِ، ادْعُ اللهِ أنْ يَجْعَلَنِي منهمْ، قالَ: اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ منهمْ، ثُمَّ قامَ آخَرُ، فقالَ: يا رَسولَ اللهِ، ادْعُ اللهِ أنْ يَجْعَلَنِي منهمْ قالَ: سَبَقَكَ بها عُكّاشَةُ
Maksudnya : Ada 70 000 dari umatku yang masuk ke syurga tanpa hisab.lalu seorang sahabat berdiri dan berkata : berdoalah agar Allah memasukkanku dari kalangan mereka. Baginda bersabda: Kamu termasuk dari kalangan mereka. Kemudian bagunn sahabat lain dan berkata berkata: wahai Rasulullah, berdoalah agar Allah menjadikanku termasuk dari kalangan mereka. Baginda bersabda : kamu telah didahului oleh Ukkasyah.
Riwayat Muslim (216)
Dikatakan lelaki yang memohon kepada Rasulullah SAW tersebut ialah Ukkasyah bin Mihsan. Beliau adalah sahabat Nabi SAW yang juga meneyertai banyak peperangan bersama Rasulullah SAW, antaranya perang Badar yang berlaku pada Ramadhan tahun 2 Hijrah.
Justeru, kami katakan dibolehkan bagi seorang muslim untuk mendoakan kaum muslim yang lain supaya dimasukkan syurga tanpa diazab dan dihisab bahkan itulah yang dituntut oleh syara.
Semoga Allah menjadikan kita termasuk dalam golongan yang dimasukkan syurga tanpa dihisab dan diazab dan kami akhiri dengan doa :
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H