Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin mengetahui bagaimana sepatutnya interaksi kita dengan kerja kita? Dan apakah sifat-sifat yang sepatutnya wujud dalam diri pekerja?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ مِنَّا فَضْلًا ۖ يَا جِبَالُ أَوِّبِي مَعَهُ وَالطَّيْرَ ۖ وَأَلَنَّا لَهُ الْحَدِيدَ ﴿١٠﴾ أَنِ اعْمَلْ سَابِغَاتٍ وَقَدِّرْ فِي السَّرْدِ ۖ وَاعْمَلُوا صَالِحًا ۖ إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari Kami (sambil Kami berfirman): “Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud, dan wahai burung-burung (bertasbihlah bersama-sama dengannya)!” Dan juga telah melembutkan besi baginya; (Serta Kami wahyukan kepadanya): “Buatlah baju-baju besi yang luas labuh, dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendaki; dan kerjakanlah kamu (wahai Daud dan umatmu) amal-amal yang soleh, sesungguhnya Aku Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan.”
Surah Saba’ (10-11)
Antara mafhum daripada nas ini agar kita bekerja dan beramal dengan amalan soleh mengikut kesesuaian yang kita miliki. Betapa mulianya bekerja sehingga Dr Yususf al-Qaradhawi berkata:
Nabi SAW juga menolak pemikiran sesetengah orang yang merendahkan pekerjaan dan perusahaan orang lain. Baginda mengajar para pengikutnya bahawa kemuliaan yang sebenar ialah apabila seseorang itu bekerja untuk mencari sara hidupnya dengan apa-apa pekerjaan sekalipun. Sesungguhnya kehinaan itu ialah apabila seseorang itu bergantung hidupnya atas bantuan orang lain. Baginda bersabda:
لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ فَيَأْتِي بِحَرْمَةِ حَطَبٍ عَلَى ظَهْرِهِ فَسِيعَهَا فَيَكُفَّ اللَّهُ بِهَا وَجْهَهُ خَيْرٌ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطُوهُ أَوْ مَتَعُوهُ
Maksudnya: “Kalau seseorang kamu mangambil tali, kemudian ia mengangkat seikat kayu di belakanganya, lalu dijualnya dengan itu Allah SWT akan memutihkan wajahnya, adalah lebih baik daripada dia meminta-minta kepada orang, baik diberikan orang apa yang dimintanya ataupun ditolaknya.”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Tegas Baginda tidak menjadi masalah bagi seorang Muslim itu berusaha dalam bercucuk tanam, berniaga, berindustri atau apa sahaja pekerjaan dengan syarat tidak berkaitan dengan sumber dan kerja yang haram. (Lihat Halal dan Haram Dalam Islam, hlm. 219)
Dalam menjawab persoalan di atas, saya nyatakan bahawa peri pentingnya pembetulan nawaitu dan kejelasan matlamat apabila kita memegang sesuatu jawatan atau melaksanakan satu-satu pekerjaan.
Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (275) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929), (4930) dan (4931).
Al-Munawi berkata: ‘إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ’ (apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang), yakni dia menyempurnakannya. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/286) Al-San’ani berkata: Yakni, dia melakukan sesuatu dalam bentuk dan keadaannya yang paling sempurna. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 2/148)
Manusia adalah insan yang merdeka dan bebas yang merasakan kebertanggungjawaban sepenuhnya kepada pekerjaannya. Justeru, hendaklah dia bekerja dengan penuh profesional, tekun di samping saling tolong-menolong dengan yang lain bagi mencapai matlamat ini.
Adapun jika semata-mata sebagai penyangga pada alat tertentu dengan tiada kehendak dan kesedaran, maka, sesungguhnya dia akan keterbelakang dan malas. Dia hanya bekerja semata-mata untuk mendapatkan upah yang dipaksa dan dia tidak bekerja sebagai orang yang merdeka dengan pilihan sendiri. Inilah pendapat Dr Yusuf al-Qaradhawi.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”
Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H