#2284: Hukum Fatwa Dengan Mazhab Lain

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah boleh bagi seorang mufti yang menisbahkan dirinya kepada sesebuah mazhab untuk berfatwa dengan mazhab yang lain?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Alhamdulillah, sudah kerap kali kami menjawab isu fatwa termasuk adab serta yang terkait dengannya. Saya suka nyatakan bahawa fatwa merupakan satu amanah yang besar oleh Allah SWT kepada ulama khasnya mufti untuk melaksanakan dan menyampaikan hukum dengan sebaik mungkin. 

Bidangnya cukup luas, ini termasuklah sering kali didapati mazhab yang dipegang oleh mufti dan tempat tersebut ada kelemahannya di samping terdapat maslahat berdasarkan kepada mazhab yang lain. 

Kami selalu menjunjung satu kaedah yang sering kali disebut oleh ulama dan salafussoleh antaranya:

أَحْكَامُ الشَّارِعِ مُعَلَّلَةٌ بِالْأَسْبَابِ مُرْتَبِطَةٌ بِالْمَصَالِحِ

Maksudnya: “Hukum-hukum syarak itu diillahkan dengan sebab-sebab, diikat dengan maslahat-maslahat.”

Kami nukilkan di sini pandangan Ibn Hamdan dalam menjawab persoalan di atas:

  • Sekiranya dia merupakan seorang mujtahid, lalu ijtihad yang dilakukannya membawa kepada mazhab yang lain maka hendaklah dia mengikut ijtihadnya.
  • Sekiranya ijtihadnya itu terikat dan bercampur dengan sedikit dari perbuatan taqlid, maka dipindahkan percampuran tersebut dari taqlid ke arah imam tersebut yang mana ijtihadnya membawa kepada mazhab imam itu. Kemudian apabila dia berfatwa, dia menjelaskan hal tersebut di dalam fatwanya.

Oleh kerana itu kata al-Qaffal:

لو أدى اجتهادي إلى مَذهَب أبي حنيفة قلت مذهب الشَّافِعِي كَذَا لكني أَقُول بِمذهب أبي حنيفة لِأَنَّهُ جَاءَ السَّائِل يستفتي على مَذْهَبِ الشَّافِعِي فَلَا بُد أن أعرفهُ بِأَنِّي أُفْتِي بِغَيْرِهِ

Maksudnya: “Sekiranya ijtihadku membawa ke arah mazhab Abu Hanifah, aku akan katakan: Mazhab al- Syafi’e adalah seperti ini akan tetapi aku berpandangan dengan pendapat Abu Hanifah. Kerana penyoal yang datang meminta fatwa menurut mazhab al-Syafi’e maka hendaklah aku menjelaskan kepadanya bahawa aku berfatwa dengan pendapat selainnya.”

  • Sekiranya keadaan tidak seperti itu, maka fatwa terbina di atas ijtihadnya.
  • Sekiranya seorang mufti (muntasib) meninggalkan mazhabnya kepada mazhab yang lebih mudah, maka pendapat yang menghalang hal ini adalah lebih sahih.
  • Sekiranya seorang mufti meninggalkan mazhabnya disebabkan pendapat dalam mazhab yang lain itu lebih ihtiyath (berhati-hati), maka zahirnya ia dibenarkan.

Kemudian hendaklah dia memberi penjelasan terhadap fatwanya itu, sebagaimana yang telah disebutkan. (Lihat Sifat al-Mufti wal Mustafti, hlm.105-107)

Mutakhir ini, konsep muqaranah al-mazahib dengan mengambil kira nas-nas yang sahih serta maslahat yang terwujud dalam satu-satu masa dan tempat hendaklah diraikan. Inilah yang kami pakai dalam mengeluarkan hukum agar ia lebih menepati hendak kefatwaan itu sendiri. Sesungguhnya realiti kehidupan mengatakan bahawa hajat keperluan hidup manusia sentiasa berubah dan berkembang dari hari ke hari. Keadaan hidup dan keperluan mereka selalu bertukar ganti sepanjang masa. Fenomena inilah yang banyak menyebabkan para ulama mengakui dan menyetujui sesuatu perkara yang pada masa dahulunya mereka nafikan dan ingkari atas dasar bertolak ansur dengan keadaan darurat dan cemas yang dihadapi manusia, di samping juga memberikan jawapan bagi realiti kehidupan semasa sesuai dengan jiwa Syariat Islam yang menghendaki kemudahan dan kebaikan bagi hamba-hamba Allah, bukan kesusahan dan bebanan yang memberatkan.

Justeru, kami katakan isu seperti ini berdasarkan kefaqihan seorang mufti dalam membaca situasi dan suasana mustafti atau yang bertanya dan mohon fatwa. Hasilnya, sudah tentu memberi kelegaan serta kefahaman yang baik untuk yang bertanya melaksanakan hukum yang telah difatwakan oleh mufti.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لَا يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبِ لَا يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لَا تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ هَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H