#2287: Mencukur Rambut Sehingga Botak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum seorang lelaki mencukur seluruh rambutnya sehingga botak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, hukum membotakkan kepala adalah bergantung kepada tujuannya. 

  • Jika sekiranya untuk tahallul haji dan umrah, maka ia adalah diperintahkan. Ia termasuk dalam rukun haji dan umrah.
  • Jika sekiranya kerana suatu keperluan, lalu dia membotakkan kepalanya, maka juga dibolehkan. Hal ini seperti orang yang banyak kutu di kepala. 
  • Namun, jika maksudnya adalah sebagai syiar ibadah atau menganggapnya sebagai satu perkara ibadah, maka ia termasuk dalam perkara bid’ah.

Syeikh al-Islam Taqiy al-Din Abu al-’Abbas dalam kitabnya Majmu’ah al-Fatawa (21/116) membahagikan hukum membotakkan kepala kepada empat jenis:

Pertama: Mencukur habis rambut di kepala ketika haji dan umrah, maka ini termasuk hal yang diperintahkan. Perbuatan ini diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya, berdasarkan dalil al-Quran dan al-Hadith serta ijma’ (kesepakatan) para ulama’.

Allah SWT berfirman:

لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ ۖ

Maksudnya:  “Iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haraam – insya Allah (pada masa yang ditentukanNya) – dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadat umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ).”

(Surah al-Fath: 28)

Begitu juga, terdapat hadith bahawa Baginda SAW mencukur rambutnya ketika haji dan umrahnya. Hal ini juga turut dilakukan oleh para Sahabat Baginda. Antara mereka, ada yang mencukur habis rambut ketika tahallul, dan ada juga yang memendekkannya. Namun mencukur habis rambut ketika tahallul lebih utama daripada memendekkan. Disebabkan itu, Nabi SAW mendoakan:

‏ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُحَلِّقِينَ.‏ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلِلْمُقَصِّرِينَ، قَالَ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُحَلِّقِينَ.‏ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلِلْمُقَصِّرِينَ، قَالَ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُحَلِّقِينَ‏.‏ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلِلْمُقَصِّرِينَ، قَالَ:‏ وَلِلْمُقَصِّرِينَ‏‏.‏

Maksudnya: “اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُحَلِّقِينَ” (Ya Allah, ampunkanlah orang-orang yang mencukur rambut mereka!)” Para sahabat berkata: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan orang-orang yang menggunting (rambut mereka)?” Baginda berdoa: “اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُحَلِّقِينَ” (Ya Allah, ampunkanlah orang-orang yang mencukur rambut mereka!).” Para sahabat berkata lagi: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan orang-orang yang menggunting (rambut mereka)?” Baginda berdoa lagi: “اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُحَلِّقِينَ” (Ya Allah, ampunkanlah orang-orang yang mencukur rambut mereka!).” Para sahabat berkata lagi: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan orang-orang yang menggunting (rambut mereka)?” Baginda pun mengucapkan: “Dan juga orang-orang yang menggunting (rambut mereka).”

Riwayat al-Bukhari (1728), Muslim (1302), Ibn Majah (3043) dan Ahmad (7158)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Mencukur rambut lebih utama daripada sekadar memendekkannya. Hal ini kerana ia lebih sempurna dalam ibadah, lebih menunjukkan ketundukan dan kerendahan serta lebih membuktikan ketulusan niat. Manakala bagi orang yang memendekkan rambut, maka masih ada rambut di kepalanya untuk menghias diri; berbeza dengan orang yang mencukur rambut, di mana ia menanggalkan semuanya demi Allah. Di sini, terdapat isyarat untuk melakukan tajarrud (menanggalkan semua bentuk kemewahan). Maka berdasarkan hal ini, sebahagian orang-orang yang soleh menyukai agar seseorang mencukur rambutnya ketika bertaubat. (Lihat Fath al-Bari, 9/391)

Selain itu Nabi SAW memerintahkan kepada para Sahabat yang tidak membawa haiwan sembelihan (hadyu) ketika haji Wada’ untuk memendekkan rambut selepas umrah, iaitu ketika melakukan tawaf di keliling Ka’bah serta bersa’i dari Safa ke Marwah. Kemudian, setelah melakukan haji, barulah mereka mencukur rambut di kepala. Justeru, ketika itu, digabung antara memendekkan dan mencukur.

Kedua: Mencukur rambut kerana ada keperluan seperti untuk tujuan perubatan. Ini juga dibolehkan berdasarkan al-Quran, al-Sunnah dan ijma’ (kesepakatan para ulama’). 

Hal ini kerana Allah SWT telah memberi keringanan bagi orang yang berihram, yang pada asalnya dilarang mencukur rambut, namun dibolehkan jika ada gangguan di kepalanya. Firman Allah SWT:

وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ بِهِ أَذًى مِّن رَّأْسِهِ فَفِدْيَةٌ مِّن صِيَامٍ أَوْ صَدَقَةٍ أَوْ نُسُكٍ 

Maksudnya:  “Dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam.”

(Surah al-Baqarah: 196)

Al-Khatib Syirbini menyatakan ayat (وَلا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ) iaitu rambutnya dan bulu pada seluruh jasad (Lihat, al-Mughni al-Muhtaj, 2/297). Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili juga menyebut, larangan ayat di atas dikiaskan dalam larangan mencabut bulu atau mencukurnya pada seluruh badan dan larangan ini merupakan sepakat para ulama’. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/2300)

Dalam hadith Ka‘b bin ‘Ujrah, katanya: 

وَقَفَ عَلَيَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالحُدَيْبِيَةِ وَرَأْسِي يَتَهَافَتُ قَمْلًا، فَقَالَ: «يُؤْذِيكَ هَوَامُّكَ؟» قُلْتُ: نَعَمْ. قَالَ: فَاحْلِقْ رَأْسَكَ، أَوْ – قَالَ: احْلِقْ – قَالَ: فِيَّ نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ {فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ بِهِ أَذًى مِنْ رَأْسِهِ}[البقرة: 196] إِلَى آخِرِهَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «صُمْ ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ، أَوْ تَصَدَّقْ بِفَرَقٍ بَيْنَ سِتَّةٍ، أَوْ انْسُكْ بِمَا تَيَسَّرَ.

Maksudnya: Rasulullah SAW berhenti di hadapanku di Hudaibiyah, manakala kepalaku banyak dihinggapi kutu. Baginda bersabda: “Adakah kutu di kepalamu itu mengganggumu?” Aku menjawab: “Ya.” Baginda bersabda: “Cukurlah rambutmu.” – atau Baginda bersabda: “Cukurlah.” Ka‘b berkata: “Berkenaan denganku ini, turunlah ayat, “فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ بِهِ أَذًى مِنْ رَأْسِهِ” (Maksudnya: “Barangsiapa di antara kamu yang sakit atau ada gangguan di kepalanya…”) hingga akhir ayat [Surah al-Baqarah: 196]. Nabi SAW bersabda: “Berpuasalah tiga hari, atau bersedekah satu faraq (tiga gantang) di antara enam orang (miskin), atau sembelihlah haiwan yang mudah (didapati).”

Riwayat al-Bukhari (1815), Muslim (1201), Abu Daud (1856), al-Tirmizi (2973), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (4111) dan Ahmad (18128)

Ketiga: Mencukur rambut atas anggapan ia merupakan ibadah dan zuhud, dan bukan dari pelaksanaan haji atau umrah. Contohnya, yang dilakukan oleh sebahagian orang yang ingin bertaubat dengan mencukur rambutnya, atau menjadikan amalan mencukur sebagai syiar agama, maka ini termasuk perbuatan bid’ah. 

Begitu juga, menjadikan perbuatan cukur sebagai tanda kesempurnaan zuhud atau sempurna dalam ibadah, sehingga menganggap afdhal antara yang mencukur daripada yang tidak mencukur. Termasuk juga menganggap taubat itu mesti dengan mencukur rambut. Ini semua termasuk perbuatan bid’ah yang tidak diperintahkan oleh Allah.

Perkara seperti itu tidak dianggap wajib atau sunat oleh para ulama’. Ia juga tidak pernah dilakukan oleh para sahabat, tabi’in dan para ulama’ yang zuhud dan giat beribadah. Sesiapa yang meyakini bahawa ia suatu yang wajib atau sunat, sedangkan tidak demikian, dan meyakini bahawa ia membawa kepada ketaatan kepada Allah, dan dijadikan tanda sebagai sempurnanya agama, tanda taubat yang sempurna, atau tanda zuhud dan ahli ibadah, maka anggapan seperti ini adalah anggapan sesat yang keluar dari jalan Allah SWT.

Keempat: Mencukur rambut bukan kerana nusuk (haji/umrah), bukan kerana keperluan, dan bukan pula untuk mendekatkan diri kepada Allah, atau menunjukkan syiar agama. 

Maka dalam perkara ini, ulama memiliki dua pendapat. Pertama, hukumnya makruh dan ini adalah pendapat mazhab Maliki dan selainnya. Kedua, hukumnya mubah atau boleh dan ini pendapat yang makruf dalam mazhab Abu Hanifah dan Syafi’iyyah.

Hal ini berdasarkan hadith daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, katanya:

 أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى صَبِيًّا قَدْ حُلِقَ بَعْضُ شَعْرِهِ وَتُرِكَ بَعْضُهُ، فَنَهَاهُمْ عَنْ ذَلِكَ، وَقَالَ: ‏ احْلِقُوهُ كُلَّهُ أَوِ اتْرُكُوهُ كُلَّهُ.

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW melihat seorang kanak-kanak yang sebahagian kepalanya telah dicukur, sedangkan sebahagian yang lain tidak. Maka, Nabi SAW melarang mereka daripada melakukan sedemikian, dan bersabda: “Cukurlah kesemuanya atau biarkan kesemuanya (tanpa dicukur).”

Riwayat Muslim (2120), Abu Daud (4195), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9296) dan Ahmad (5615). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Riyadh al-Salihin (1639)

Nabi SAW juga dibawa kepada Baginda  bayi yang berusia tiga hari, lalu Baginda mencukur keseluruhan rambutnya. Selain itu, Nabi SAW melarang daripada qaza’ iaitu mencukur sebahagian rambut dan membiarkan yang lain. Jika demikian, ia bermaksud mencukur keseluruhan rambut kepala adalah dibolehkan.

Pada masa lalu, mencukur keseluruhan rambut kepala adalah syiar ahli bid’ah kerana Khawarij biasa mencukur seluruh rambut mereka. Sebahagian mereka menganggap bahawa mencukur seperti itu adalah tanda sempurnanya taubat dan ibadah. Dalam hadith sahih, bahawa Nabi SAW ketika bersumpah tentang orang Khawarij, maka datanglah seseorang pada tahun pembukaan kota Makkah dalam keadaan berjanggut lebat, namun kepalanya botak. (Lihat Majmu’ah al-Fatawa, 21/116)

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam beragama. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H