#2295: Memakai Rambut Afro Palsu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum lelaki memakai rambut afro palsu bagi tujuan sekadar suka-suka seperti mengikut tema pada hari keluarga? Mohon pencerahan ustaz. Terima kasih ustaz atas ilmu.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Rambut afro didefinisikan sebagai potongan rambut yg berbentuk bulat, keriting halus, tebal dan panjang, seperti rambut sesetengah orang kulit hitam.

Antara perbuatan yang dilarang dalam Islam ialah perbuatan menyambung rambut atau dinamakan sebagai ‘al-wasl’ dalam Bahasa Arab. Orang yang menyambung rambut pula disebut al-wasilah.

50 Afro Hairstyles for Men - Men Hairstyles World | Penteados masculinos, Cabelo crespo masculino, Cabelo

Al-wasilah ialah wanita yang menyambung rambut dengan rambut wanita lain agar rambutnya kelihatan panjang dan menyebabkan orang lain menyangka rambut al-wasl (sambungan) tersebut adalah rambut asal. Ia dilakukan oleh wanita yang rambut nipis atau wanita berambut perang yang menyambung rambutnya dengan rambut hitam. (Lihat Ma’alim al-Sunan oleh al-Khattabi, 4/256)

Larangan tersebut adalah berdasarkan hadith daripada daripada Humaid bin Abd al-Rahman bahawa dia mendengar Mu‘awiyah bin Abu Sufyan – pada tahun beliau menunaikan haji – (yang berada) di atas mimbar. Beliau mengambil segenggam rambut – yang tadinya berada di tangan pengawal – lalu berkata: Wahai penduduk Madinah, di manakah para ulama kamu? Aku mendengar Nabi SAW melarang perbuatan seperti ini dan bersabda:

إِنَّمَا هَلَكَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ حِينَ اتَّخَذَ هَذِهِ نِسَاؤُهُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya bani Isra’il telah binasa ketika mana golongan wanita mereka melakukan hal ini (iaitu mereka menyambung rambut mereka).”

Riwayat al-Bukhari (3468) 

Begitu juga dengan riwayat daripada Asma’ bint Abi Bakr R.Anhuma, bahawa seorang wanita datang menemui Rasulullah SAW lalu mengadu kepadanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai seorang anak perempuan yang baru menikah. Dia telah terkena penyakit cacar sehingga menyebabkan rambutnya keguguran. Bolehkah saya menyambung rambutnya (dengan rambut palsu)? Lalu Baginda SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاصِلَةَ وَالْمُسْتَوْصِلَةَ

Maksudnya: “Allah melaknat al-washilah (orang yang menyambung rambut) dan al-mustaushilah (orang yang minta disambungkan rambutnya).”

Riwayat Muslim (5687)

Imam al-Nawawi berkata, hadis ini secara tegas menunjukkan haramnya menyambung rambut, dan laknat untuk wanita yang menyambung rambut atau pemakai yang disambungkan rambutnya secara mutlak. Inilah pendapat yang kuat. (Lihat Syarh  al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/103)

Imam al-San’ani berkata: Al-wasilah (الْوَاصِلَة) ialah perempuan yang menyambung rambutnya dengan rambut selainnya (rambut palsu), sama ada dia melakukan aktiviti menyambung rambut tersebut untuk dirinya mahupun orang lain. Sedangkan mustausilah (المُسْتَوْصِلَة) adalah orang yang minta disambungkan rambut. (Lihat Subul al-Salam, 5/49)

Hukum Lelaki Memakai Rambut Palsu

Penggunaan rambut palsu bagi wanita menjadi perselisihan di kalangan ulama. Ada di antara mereka yang melarangnya sepenuhnya, ada yang membenarkannya sepenuhnya, dan ada yang membezakan antara keadaan keperluan dan rawatan kecacatan, serta perhiasan atau kecantikan semata-mata.

Dairah al-Ifta’ Jordan dalam fatwanya berkenaan pemakaian rambut palsu: Tidak mengapa memakai rambut palsu di dalam rumah jika suami mengizinkan bagi mereka yang mengidap penyakit kanser yang menyebabkan keguguran rambut. Namun hendaklah tidak memperlihatkannya kepada orang luar kerana ia sebahagian daripada perhiasan. Keharusan itu juga dengan syarat hendaklah rambut palsu itu bukan diperbuat daripada rambut manusia dan bukan daripada bulu yang najis.

Namun begitu, bagi lelaki, para ulama’ berpendapat ia haram secara mutlak. Syeikh Soleh al-Fauzan ketika ditanya berkenaan hukum memakai rambut palsu bagi lelaki dan wanita, beliau menjawab: “Bagi lelaki, itu tidak boleh memakai rambut palsua dalam keadaan apa pun. Bagi wanita, ia mungkin dibenarkan jika dia tidak mempunyai rambut sama sekali, seperti rambutnya tidak tumbuh, maka dia boleh memakai rambut palsu kerana dia terpaksa dan dia sangat memerlukannya. Tetapi bagi lelaki, tidak dibenarkan untuk memakai rambut palsu dalam keadaan apa pun.” (Lihat al-Muntaqa Min Fatawa al-Fauzan, 1/75). 

Perbezaan antara keperluan dalam hal ini bagi lelaki dan wanita adalah jelas. Hal ini kerana sekiranya seseorang lelaki itu botak, ia merupakan perkara yang biasa dan bukanlah perkara yang memalukan.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa memakai rambut palsu biasa ataupun yang afro tidak dibenarkan dalam Islam berdasarkan syara’ walaupun seseorang lelaki itu botak. Apatah lagi jika ia dipakai dengan tujuan suka-suka atau sekadar ingin bergurau, maka ia lebih utama untuk tidak dibenarkan kerana setiap perbuatan dalam gurauan atau suka-suka tetap ada batasannya dalam Islam.

Semoga dengan penjelasan ini dapat memberi pencerahan serta kefahaman kepada kita seterusnya menilai isu-isu yang berlaku di sekeliling kita dengan matang dan baik di atas landasan syarak. 

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H