Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan dengan hari-hari putih dan adakah kita disunatkan berpuasa?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Hari-hari putih ialah hari di mana bulan penuh mengikut takwim kalendar Islam. Justeru, hari-hari putih ialah hari 13, 14 dan 15 setiap bulan Qamariyyah dan bukan bulan Masihi. Disunatkan berpuasa pada hari putih berdasarkan hadith Nabi SAW:
Daripada Qatadah bin Milhan RA, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 hari bulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun.”
Riwayat Abu Daud (2449)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”
Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H