Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Adakah orang bukan Islam itu dianggap sebagai najis sebab mereka kadang-kadang pegang benda-benda yang diharamkan seperti babi, anjing dan seumpamanya? Mohon pencerahan.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: “SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
Ertinya, Allah suka kepada orang yang bersih daripada hadas dan kekotoran, sama ada kekotoran zahir atau batin. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/71)
Orang bukan Islam bukan najis
Sebahagian ulama dalam mazhab Zahiri berpendapat bahawa orang bukan Islam itu dianggap sebagai najis secara ainnya (yakni hakiki) dan mereka berhujah mengenai perkara tersebut berdasarkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَٰذَا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis. Oleh itu, janganlah mereka menghampiri Masjidil Haram sesudah tahun ini.”
Kemudian, jumhur ulama menjawab pendapat tersebut dengan menyatakan, najis dalam ayat itu bermaksud kekotoran dan kenajisan dalam akidah orang bukan Islam, yang perlu dihindari, bukan pada badan mereka. Mereka berhujahkan bahawa Islam mensyariatkan harus berkahwin dengan Ahli Kitab, dan peluh mereka itu jika bernajis maka tidak selamatlah suami mereka daripada najis itu. Para jumhur juga menjawab bahawa Nabi SAW pernah berwuduk dengan bejana orang musyrik, mengikat tawanan musyrik di dalam masjid, memakan keju daripada negara Nasrani dan memakan lauk kambing yang dihadiahkan Yahudi. (Lihat Nail al-Autar, 1/35)
Begitu juga, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebutkan bahawa manusia itu dimuliakan. Implikasi kepada kemuliaan tersebut, mereka tidak dihukumkan sebagai najis apabila telah mati, sama ada mereka itu Muslim atau kafir (bukan Islam). Manakala najis yang dimaksudkan di dalam ayat 28 daripada Surah al-Taubah ini ialah kepercayaan mereka atau perintah supaya menjauhi mereka seperti najis, dan bukannya kenajisan pada jasad mereka. (Lihat Asna al-Matalib, 1/10)
Adapun persoalan mengenai bersentuhan dengan anggota orang bukan Islam — kerana dikhuatiri atau ada kemungkinan mereka memegang najis sebelum itu — maka dalam hal ini terdapat satu kaedah menyebut:
نَحْنُ نَحْكُمُ بِالظَّاهِرِ، وَاللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ
Maksudnya: “Kita berhukum dengan apa yang zahir dan Allah yang akan menguruskan apa yang tersembunyi.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 9/324)
Oleh itu, secara asasnya, tidak perlu membasuh mana-mana anggota badan kita, yang menyentuh anggota badan mereka selagimana tidak bukti yang menunjukkan bahawa sebelum itu mereka ada memegang sesuatu yang najis dan terdapat padanya kesan-kesan najis itu seperti air liur dan lain-lain.
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa orang bukan Islam tidak dianggap sebagai najis. Adapun najis yang dimaksudkan kepada mereka adalah pada kepercayaan dan pegangan mereka yang menyeleweng, bukannya najis secara hakiki.
Begitu juga mengenai bersentuhan dengan orang yang bukan Islam sekalipun dia memelihara anjing, tidak perlu membasuhnya melainkan sebelum kita menyentuhnya, dia telah menyentuh anjing dan nampak kesan najis daripada sentuhan itu seperti air liur dan lain-lain. Dalam perkara ini, kita berpegang kepada yang zahir dan serahlah kepada Allah pada perkara-perkara yang tersembunyi.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.