#2300: Selamatkan Anak Atau Ibu?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Berlaku satu situasi ibu yang sedang hamil padanya ada dua pilihan sama ada menyelamatkan bayi dan ibu akan mati atau menyelamatkan ibu, bayi akan mati. Siapa yang patut kita dahulukan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kami nyatakan bahawa hidup dan mati adalah urusan Allah SWT. Kita sendiri pun milik-Nya. Benarlah firman Allah SWT:

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.

(Surah al-Baqarah: 156)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa kehidupan ibu adalah yakin, sedangkan anak atau janin masih lagi dalam proses. Begitu juga, ibu adalah induk atau asal, sedangkan anak dianggap cabang atau tabi’. Justeru, mengekalkan yang asal adalah lebih utama daripada mengekalkan yang cabang atau tabi’. Kami nukilkan di sini pandangan Syeikh al-Azhar Syeikh Mahmud Syaltut:

Akan tetapi sekiranya sudah pasti wujudnya anak dalam perut ibunya, dan diyakini hidup di dalam perut itu, maka tidak syak lagi ianya boleh membawa kepada kemudharatan kepada ibunya.

Maka dalam hal ini, menurut kaedah-kaedah umum syariat, ia telah membenarkan melakukan yang lebih ringan daripada dua bahaya, iamu menggugurkan kandungan tersebut jika ia benar-benar membahayakan ibu Sekiranya tiada jalan lain selain daripada cara tersebut, maka dalam keadaan ini menjadi kemestian dan wajib untuk menggugurkan kandungan tersebut.

Tidak boleh dikorbankan nyawa ibu untuk menyelamatkan nyawa bayi tersebut kerana ibu itu adalah induk bayi tersebut. Kehidupannya mesti dilindungi kerana dia mempunyai hak-hak buat dirinya dan hak-hak yang lain. Dan sesudah dipertimbangkan semua kemungkinan, dia tetap dipandang sebagai tonggak keluarga, dan tidak boleh ia dikorbankan semata-mata kerana hendak menyelamatkan seorang bayi yang belum tentu akan terus hidup sesudah itu, yang mana ia masih belum ada sebarang hak dan tanggungjawab. (Lihat al-Fatawa, hlm. 464)

Pendapat ini disokong oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi bahkan beliau menghuraikan dengan panjang lebar dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi Islam, hlm. 341-342.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَائِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالَمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H