#2303: Golongan Majusi Termasuk Dalam Ahli Kitab?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah Majusi dan juga penyembah berhala boleh kita masukkan dalam golongan Ahli Kitab?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan takrif golongan Majusi. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Majusi ialah kaum yang menyembah api. Agama kaum yang menyembah api ini juga dikenali sebagai agama Zoroastrianisme. Zoroastrianisme adalah sebuah agama purba Parsi yang diasaskan oleh Zarathustra. Dalam Bahasa Melayu ia lebih dikenali sebagai agama Majusi. Sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW ia merupakan sebuah agama yang dominan di Timur Tengah dan Asia Tengah. Sehingga kini masih terdapat sejumlah kecil bilangan penganut agama Majusi di Iran dan India.

Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَادُوا وَالصَّابِئِينَ وَالنَّصَارَى وَالْمَجُوسَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا إِنَّ اللَّهَ يَفْصِلُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

Maksudnya: “Bahawasanya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Saabiein, dan orang-orang Nasrani, dan orang-orang Majusi, serta orang-orang Musyrik, sesungguhnya Allah akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa Memerhati dan Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.”

(Surah Al-Hajj: 17)

Imam Fakhruddin al-Razi mendefinisikan mereka sebagai penganut Majusi, penyembah malaikat, mengagungkan matahari dan solat menghadapnya lima kali sehari. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 1/147-148)

Berkenaan dengan golongan Majusi pula, Rasulullah SAW pernah bersabda:

سُنُوْا بِهِمْ سُنَّةَ أَهْلَ الْكِتَابِ.

Maksudnya: “Laksanakan undang-undang ahli kitab ke atas mereka (golongan Majusi).”

Riwayat Malik, al-Baihaqi dan ulama lain. Al-Albani melemahkan hadith ini.

Kami berpendapat walaupun masalah ini khilaf, tetapi kami cenderung untuk nmemasukkan golongan Majusi ke dalam Ahli Kitab dalam beberapa interaksi dan hal terkait dengan muamalat.

Walaupun begitu, masalah seperti ini perlukan kepada kajian yang menyeluruh di samping firkah-firkah non-Muslim yang lain. Semoga Allah SWT sentiasa memberi taufik dan hidayah kepada kita. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَائِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالَمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H