Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh atau tidak kami membaca kitab-kitab yang batil?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Antara kitab-kitab yang batil yang tidak bersandarkan dengan al-Quran dan hadith tetapi mengikut hawa nafsu dan pemikiran yang songsang serta sesat. Begitu juga, kitab-kitab yang mengandungi khurafat, tilik nasib, sihir dan lain-lain. Semuanya ini tidak membentuk minda sebaliknya terus merosakkannya dan boleh jadi membawa kepada penyimpangan dari ajaran yang sebenar.
Rasulullah SAW memerintahkan kepada kita untuk berdoa untuk mendapat ilmu yang bermanfaat. Daripada Ummi Salamah, katanya:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ إِذَا صَلَّى الصُّبْحَ حِينَ يُسَلِّمُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا طَيِّبًا وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا
Maksudnya: Bahawa Nabi SAW apabila Baginda solat Subuh, ketika memberi salam, Baginda membaca:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.
Riwayat Ibn Majah (925)
Dalam hadith yang lain, Nabi SAW jelas menyuruh kita memohon kepada Allah SWT agar diberikan ilmu yang bermanfaat. Daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW bersabda:
سَلُوا اللَّهَ عِلْمًا نَافِعًا، وَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنْ عِلْمٍ لَا يَنْفَعُ
Maksudnya: “Mohonlah kamu semua kepada Allah akan ilmu yang bermanfaat dan berlindunglah dengan Allah daripada ilmu yang tidak bermanfaat.”
Riwayat Ibn Majah (3843), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3/276), Ibn Abi Syaibah (27248) dan Abu Ya’la (1927)
Al-Hasan al-Basri berkata: “Ilmu ada dua; ilmu di lisan dan ilmu di hati. Ilmu di hati adalah ilmu yang bermanfaat, sedangkan ilmu di lisan adalah hujah Allah SWT atas anak Adam.” (Lihat al-Musannaf oleh Ibn Abi Syaibah, 13/235)
Manakala maksud rezeki yang baik adalah rezeki yang halal sepertimana disebut oleh Syeikh Sa’id bin Ali bin Wahf al-Qahtani. (Lihat Syarh Hisn al-Muslim min Azkar al-Kitab wa al-Sunnah, hlm. 129)
Pujangga Arab ada menyebut:
اقْرَأْ خَيْرَ مَا تَجِدُ، وَاكْتُبْ خَيْرَ مَا تَقْرَأُ، وَاحْفَظْ خَيْرَ مَا تَكْتُبُ
Maksudnya: “Bacalah buku yang terbaik yang kamu dapati, tulislah apa yang terbaik daripada apa yang kamu baca, dan hafazlah apa yang terbaik daripada apa yang kamu tulis.”
Justeru, pilihlah buku yang terbaik yang mendatangkan manfaat, mencambahkan minda, menambahkan iman, mematangkan fikiran, mendapatkan jalan kebenaran, menjarakkan daripada penyimpangan dan yang lebih penting mendapat taufik dan hidayah daripada Tuhan.
Syeikh Abdul Aziz al-Tarifi berkata, “Jangan kamu baca kitab-kitab batil sehingga kamu benar-benar tamakun pada kebenaran. Ini kerana tiada kekuatan kepada batil tetapi kelemahan pada dirinya. Ilmu-ilmu sama seperti air, orang jahil akan tenggelam dalam kolam sedangkan orang yang mahir lagi berilmu boleh berenang di lautan.”
Marilah sama-sama kita menuntut ilmu dan membaca kitab-kitab yang muktabar yang diperakukan oleh para ulama yang thiqah kerana khazanah Islam kaya dengan kitab-kitab yang terbaik yang menjadi rujukan ummah. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلَّما نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H