#2308: Bergantungnya Hati Kepada Makhluk

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa apabila kita ditimpa musibah, selalu teringatkan kepada kaum keluarga terdekat dan rakan taulan untuk membantu serta orang-orang yang boleh membantu kita?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ‎﴿١٥٥﴾‏ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ‎﴿١٥٦﴾‏ أُولَٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ

Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

(Surah al-Baqarah: 155-157)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa sifat hati biasanya ketika diuji dengan ujian yang berat sentiasa bergantung harap kepada makhluk. Tetapi, syariat Islam mengajar kita untuk menyerahkan kepada Allah SWT, itulah yang sebenarnya, kerana kita akan tetap yakin dan percaya kepada Tuhan kita. Bahkan kita sendiri merupakan milik-Nya. 

Firman Allah SWT:

 حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ

Maksudnya: “Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”.

(Surah Ali Imran: 173)

Ibn Kathir berkata: Ketika mereka bertawakkal kepada Allah SWT, mereka diberikan kecukupan daripada semua masalah yang menyukarkan mereka. Allah juga menghindarkan daripada mereka rancangan orang-orang yang hendak mencelakakan sehingga mereka kembali ke negeri mereka dengan nikmat dan kurniaan yang besar di sisi Allah. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/165)

Ini bertujuan supaya kita tidak dikalahkan oleh nafsu sehingga hati lalai daripada Allah SWT yang menyebabkan Allah SWT tidak akan menolong kita. Ingatlah setiap kali kita solat, kita diwajibkan membaca surah al-Fatihha yang padanya terkandung 2 perkara yang penting iaitu ibadat dan permohonan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Maksudnya: “Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

Surah al-Fatihah (5)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بيْنَ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلَنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan ata kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu aga tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H