#2309: Sifat Pemaaf

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kadang-kadang saya geram kepada isteri atau anak saya, apakah saya perlu memaafkan mereka kerana selalu atau berulang kali melakukan kesilapan yang hampir sama?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebenarnya sifat pemaaf merupakan sifat yang terpuji bahkan sifat rasul-rasul AS. Apatahlagi, Rasulullah SAW, sudah tentu sifatnya seunggul-unggul sifat. Sifat pemaafnya terlalu banyak dinyatakan dalam sirah kehidupan Baginda SAW.  Boleh juga rujuk kepada kitab kami Garis Masa Hayat al-Rasul SAW. 

Dalam menjawab persoalan saudara, kami kemukakan sebuah hadith Nabi SAW, daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, katanya:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ كَمْ أَعْفُو عَنِ الْخَادِمِ، فَصَمَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ كَمْ أَعْفُو عَنِ الْخَادِمِ، فَقَالَ:‏ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعِينَ مَرَّةً .

Maksudnya:  Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, berapa kalikah aku harus memaafkan pembantu?” Lalu Nabi SAW terdiam, kemudian dia bertanya: “Wahai Rasulullah, berapa kalikah aku harus memaafkan pembantu?” Nabi menjawab: “Kamu memaafkan sebanyak tujuh puluh kali dalam sehari.”

Riwayat al-Tirmizi (1949). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Targhib (2289)

Inilah kemaafan yang diberi oleh Rasulullah SAW kepada khadamnya. Lalu, bagaimana Rasulullah SAW memberi kemaafan kepada isteri dan anaknya? Sudah tentu, jauh lebih banyak.

Antara kelebihan sifat pemaaf, ia akan menghindarkan rasa dendam kesumat, hasad dengki dan kehidupannya sentiasa tenang. Ingatlah bahawa kita hidup di dunia ini hanya sekali, justeru, biarlah bererti. Betapa ramainya kawan-kawan kita, jiran dan keluarga kita yang kadang-kadang kita merasa kurang berpuas hati, tetapi mereka jauh lebih baik daripada kita dan mereka sudah kembali. Justeru, buang yang keruh, ambil yang jernih, berlapang dadalah dan itu merupakan tanda jiwa yang besar. 

Marilah sama-sama kita saling maaf-memaaf dan semoga Allah SWT menutup aurat serta keaiban kita. 

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بيْنَ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلَنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan ata kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H