#2311: Bolehkah Membaca Doa Qunut Sekiranya Berimamkan Imam Yang Tidak Membacanya?

Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri. Apabila solat Subuh berjemaah di Masjidil Haram & Nabawi di mana tiada doa qunut dibaca, perlukah saya membaca doa qunut selepas Imam I’tidal sebelum sujud pada rakaat ke-2 ?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas Bin Malik beliau berkata :

مَا زَالَ رُسُولُ اللهِ ﷺ يَقْنُتُ فِي صَلَاةِ الصُّبْحِ حَتَّى فَارَقَ الدُنْيَا

Maksudnya: Rasulullah SAW masih membaca doa qunut dalm solat subuh sehingga Baginda wafat.

Riwayat Ahmad (12657), Ibn Hajar al-A’sqalani menilai hadith ini sebagai Hasan dalam Futuhat al-Rabbaniyyah,hlm.2/287

 

Doa qunut ini disunatkan dibaca di dalam solat sunat witir dan juga solat fardhu subuh berdasarkan mazhab al-Syafi’e. Bacaan di dalam qunut ini warid daripada Nabi SAW sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh al-Hasan bin Ali R.anhuma, katanya:

 عَلَّمَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلِمَاتٍ أَقُولُهُنَّ فِي قُنُوتِ: اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنِي فِيمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَ، وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ، إِنَّكَ تَقْضِي وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ، وَإِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ، وَلَا يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ، تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ.

Maksudnya: Rasulullah SAW mengajarkan kepadaku kalimah-kalimah yang aku baca dalam qunut witir: “Ya Allah, berikan petunjuk kepada ku sebagaimana orang-orang yang telah Kau berikan hidayah. Berikan aku keselamatan sebagaimana orang-orang yang telah Kau berikan keselamatan. Jadikan aku sebagai wali sebagaimana mereka yang telah Kau jadikan wali. Berkati untuk aku apa yang telah Kau berikan kepada ku, selamatkan ku daripada keburukan yang telah Kau takdirkan. Sesungguhnya Kau yang mentakdirkan dan tiada sesiapa mentakdirkan ke atas Mu. Tidak akan dizalimi orang yang Kau jadikan wali. Tiada kekuatan untuk sesiapa yang engkau Musuhi. Tuhan kami, Kau yang penuh keberkatan dan maha tinggi.

Riwayat Abu Dawud (1425), al-Tirmidzi (464), al-Nasaie (1745), dan Ahmad (1718)

Al-Khatib al-Syarbini menyatakan : Disunatkan membaca qunut subuh ketika I’tida’ pada rakaat yang ke dua selepas membaca doa I’tidal’, ini juga sepertimana yang disebutkan oleh al-baghawi dan dibenarkan oleh al-Isnawi. Beliau menukalkan lagi bahawa al-Mawardi menyatakan : Tempat untuk membaca qunut adalah selepas selasai dari membaca “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا لَك الْحَمْدُ”. (Lihat Mughni al Muhtaj, 1/368)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan qunut merupakan sunat Aba’d yang sekiranya ditinggalkan kita disunatkan untuk sujud sahwi. Namun dalam situasi ketika berimamkan imam yang tidak membaca  doa qunut maka kami katakan sekiranya imam berdiri lama ketika I’tidal dan dia sempat untuk membacanya maka ia dibolehkan dan jika sekiranya tidak sempat dia hendaklah mengikut imam untuk bersujud kerana kita diperintahkan  untuk mengikut imam dalam solat sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا قَالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، فَقُولُوا: رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ، وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا، وَإِذَا صَلَّى جَالِسًا فَصَلُّوا جُلُوسًا أَجْمَعُونَ

Maksudnya:Sesungguhnya seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza dengannya.  Apabila dia rukuk, maka rukuklah. Apabila dia membaca ‘Sami’Allahu li man Hamidah’ maka katalah ‘Rabbana wa lak al-Hamd’ . Apabila dia sujud, maka sujudlah. Dan apabila dia solat duduk maka bersolat duduklah kamu semua (dalam jemaah).”

Riwayat al-Bukhari (734) dan Muslim (414)

Imam al-Nawawi menjelaskan: Maknanya di sisi al-Syafie dan sekumpulan ulama ialah (mengikut) pada perbuatan-perbuatan solat yang zahir. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/134)

Dalam isu qunut  Imam al-Nawawi pula menyebutkan: “Sekiranya seorang yang bermazhab syafi’ie mengikuti imam yang bermazhab Hanafi, dan imam tersebut tunggu sebentar selepas bangun daripada ruku’, dan dia sempat untuk berqunut, maka dia boleh lakukannya. Jikalau dia tidak sempat, maka dia mesti mengikut imam untuk bersujud, dan dia perlu sujud sahwi jika kita menganggap ianya iktiqad makmum, manakala jika kita menganggap ianya iktiqad imam, maka tidak boleh untuk dia bersujud sahwi. Sekiranya seorang yang bermazhab Hanafi solat di belakang imam bermazhab syafi’e dalam solat subuh, maka imam meninggalkan qunut disebabkan terlupa dan dia sujud sahwi, maka makmum tersebut perlu mengikutinya, dan sekiranya dia meninggalkan sujud sahwi, dia perlu sujud sahwi jika kita menganggap ianya iktiqad imam, jika tidak, dia tidak perlu sujud sahwi.”( Lihat Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin,1/348)

Justeru kami katakan, boleh membaca doa qunut bagi makmum yang berimamkan imam yang bermazhab lain yang tidak membaca doa qunut sekiranya dia sempat membacanya sebelum imam sujud. Jika dia merasakan tidak sempat maka, tiada masalah baginya untuk meninggalkan doa qunut tersebut .

Semoga Allah memberi kefahaman yang jelas dalam melakukan ibadah kepadanya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim :40)

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H