#2315: Tegur Imam yang Tertinggal Rakaat Solat Selepas Salam

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan, makmum sedang ikut imam solat Isyak. Tiba-tiba pada rakaat ketiga, imam duduk tahiyyat akhir.

Bolehkah makmum ikut imam beri salam, kemudian memberitahu imam bahawa perlu tambah 1 rakaat lagi?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.Anhu, bahwa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا قَالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، فَقُولُوا: رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ، وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا، وَإِذَا صَلَّى جَالِسًا فَصَلُّوا جُلُوسًا أَجْمَعُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza dengannya.  Apabila dia rukuk, maka rukuklah. Apabila dia membaca ‘Sami’Allahu li man Hamidah’ maka katalah ‘Rabbana wa lak al-Hamd’ . Apabila dia sujud, maka sujudlah. Dan apabila dia solat duduk maka bersolat duduklah kamu semua (dalam jemaah).”

Riwayat al-Bukhari (734) dan Muslim (414)

Mengikut perbuatan imam (مُتَابَعَةٌ) merupakan syarat utama bagi solat berjemaah. Ulama’ fiqh menyatakan, sekiranya makmum menyelisihi perbuatan imam pada rukun fi‘li (perbuatan), yang sempurna, dan berturut-turut, sama ada penyelisihan itu bersifat mendahului imam atau lewat daripada imam, maka batal solatnya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/506)

Mereka yang dengan sengaja menyelisihi imam juga diberikan ancaman oleh Rasulullah SAW bahawa dia akan dibangkitkan dengan rupa paras seperti keldai pada hari akhirat. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَمَا يَخْشَى أَحَدُكُمْ – أَوْ: لاَ يَخْشَى أَحَدُكُمْ – إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ قَبْلَ الإِمَامِ، أَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ رَأْسَهُ رَأْسَ حِمَارٍ، أَوْ يَجْعَلَ اللَّهُ صُورَتَهُ صُورَةَ حِمَارٍ

Maksudnya: “Tidakkah salah seorang dari kalian takut, atau apakah salah seorang dari kalian tidak takut, jika ia mengangkat kepalanya sebelum Imam, Allah akan menjadikan kepalanya seperti kepala keldai, atau Allah akan menjadikan rupanya seperti bentuk keledai?”

Riwayat al-Bukhari (691) dan Muslim (427)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan bahawa, zahir hadith ini menunjukkan kepada pengharaman mengangkat kepala sebelum imam kerana kedudukan hadith ini yang menjanjikan kecacatan (pada muka atau kepala), sedangkan itulah sedahsyat-dahsyat balasan. Beliau juga menukilkan bahawa Imam al-Nawawi menjazamkan (memastikan) dalam Syarh al-Muhadzzab, meskipun terdapat pendapat lain, bahawa hukumnya adalah pengharaman. (Lihat Fath al-Bari, 2/183)

Tegur Imam yang Tertinggal Rakaat Solat Selepas Salam

Signifikannya kami datangkan hujjah bahawa makmum wajib mengikut imam kerana hal ini terkadang membawa kepada isu yang timbul ini, iaitu makmum tetap mengikut imam memberi salam sekalipun dia tahu bahawa imam tersebut kekurangan rakaat dalam solat.

Peristiwa seperti ini pernah berlaku semasa hayat Rasulullah SAW. Ini berdasarkan hadith yng diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW pernah memberi salam selepas 2 rakaat solat Isyak. Kemudian Zul Yadain bertemu bertanya: “Adakah solat dipendekkan wahai Rasulullah atau engkau lupa?” Lalu Rasulullah SAW bersabda:

أَصَدَقَ ذُو اليَدَيْنِ؟ فَقَالَ النَّاسُ: نَعَمْ، فَقامَ رَسُولُ اللهِ ﷺ، فَصَلَّى اثْنَتَيْنِ أُخْرَيَيْنِ، ثُمَّ سَلَّمَ، ثُمَّ كَبَّرَ، فَسَجَدَ مِثْلَ سُجُودِهِ أَوْ أَطْوَلَ

Maksudnya: “‘Adakah benar apa yang Zul Yadain katakan?’ Lalu para sahabat berkata: ‘Benar’. Maka Rasulullah SAW bangun dan menyempurnakan 2 rakaat solat yang terakhir, kemudian memberi salam, kemudian Baginda takbir dan sujud sepeerti sujudnya yang biasa atau lebih panjang (sujud sahwi).”

Riwayat al-Bukhari (1228) dan Muslim (573)

Difahami daripada hadith di atas, jika imam terlupa rakat solat, dan makmum tidak mengetahui cara untuk menegur imam sebelum memberi salam, maka boleh untuk menegur imam selepas salam.

Manakala dalam keadaan makmum tahu cara untuk menegur imam sebelum memberi salam, maka sunat untuk makmum tersebut tegur dengan menyebut: Subhanallah (سُبْحَانَ الله).

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyebutkan bahawa, sekiranya imam lupa perbuatan solat, lalu meninggalkannya, atau ingin mengubahnya (berpindah ke rukun yang lain), maka sunat bagi makmum untuk bertasbih untuk memaklumkan imam. (Lihat al-Mu`tamad, 1/454)

Jika imam tersebut teringat kemudian bangun, maka teruskan solat berjemaah seperti biasa sehingga selesai. Namun, jika imam tidak bangun dan meneruskan tasyahhud akhir kemudian memberi salam, maka wajib bagi makmum untuk niat mufaraqah bagi berpisah daripada imam dan menghabiskan solat secara sendirian.

Kesimpulan

Kami katakan, terdapat dua keadaan bagi makmum untuk menegur imam yang tertinggal rakaat solat:

  •       Jika makmum benar-benar tidak tahu cara untuk menegur imam sebelum memberi salam, maka boleh baginya untuk menegur imam selepas salam.

Mereka juga perlu segera bangun dan menyelesaikan rakaat berbaki yang ditinggalkan.

  •       Jika makmum tahu kaedah yang etul untuk menegur imam sebelum memberi salam, maka dia perlu menegur imam tersebut, dan disunatkan dengan menyebut Subhanallah.

Kami harap dengan sedikit pencerahan ini, masyarakat muslim di Malaysia akan lebih cakna tentang kepentingan ilmu pengetahuan berkenaan solat berjemaah serta peranan seorang makmum, terutamanya bagi mereka yang solat berhampiran dengan imam. Kami akhiri dengan doa berdoa:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H