#2319: Maksud Gelaran Al-Asla’ (الْأَصْلَع) Pada Saidina Umar al-Khattab R.A

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. baru-baru ini saya ada terbaca satu hadith yang menyatakan bahawa Saidina Umar al-Khattab adalah seorang yang الْأَصْلَع (botak). Adakah benar beliau seorang yang botak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nama penuh Umar al-Khattab ialah Umar bin al-Khattab bin Nufail bin ‘Abd al-‘Uzza bin Riyah bin Qurt bin Razah bin ‘Adi bin Ka‘ab bin Lu’ai. Nasab Saidina Umar berhimpun dengan nasab Nabi SAW pada Ka‘ab. Nama julukan (kunyah) beliau ialah Abu Hafs. Kunyah ini diberikan kepada beliau oleh Nabi SAW ketika peperangan Badar. Selain itu, beliau juga digelar sebagai al-Faruq yang bermaksud Allah SWT telah membezakan antara perkara yang benar dan perkara yang batil untuknya. Gelaran ini juga telah diberikan kepada beliau oleh Nabi SAW.

Beliau dilahirkan pada tahun ke-13 setelah peristiwa Tahun Gajah. Beliau masuk Islam pada tahun keenam kenabian pada umur 27 tahun. Umar bin al-Khattab adalah seorang yang cerdas daripada kalangan kaumnya. Jika terjadi peperangan di antara kaum Quraisy dan suku lain maka mereka akan mengutus Umar bin al-Khattab sebagai utusan mereka. (Lihat Tarikh Khulafa’ al-Rasyidin oleh al-Suyuti, hlm. 54).

Keislamannya adalah selepas daripada kemasukan 40 lelaki dan 11 wanita ke dalam Islam. Namun terdapat pendapat menyatakan, keislamannya adalah selepas daripada kemasukan 39 lelaki dan 20 wanita, lalu sempurnalah bilangan lelaki sebanyak 40 orang dengannya. (Lihat Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 4/137).  

Berkenaan kelebihannya juga, Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِيهٍ يَا ابْنَ الخَطَّابِ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا لَقِيَكَ الشَّيْطَانُ سَالِكًا فَجًّا قَطُّ، إِلَّا سَلَكَ فَجًّا غَيْرَ فَجِّكَ

Maksudnya: “Tenanglah wahai putera al-Khattab, demi Dia Yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah syaitan mendapatimu melalui suatu jalan melainkan ia akan melalui jalan yang lain (kerana takutkanmu).”

Riwayat al-Bukhari (3683)

Rasulullah SAW juga bersabda:

لَقَدْ كَانَ فِيمَا كَانَ قَبْلَكُمْ مِنَ الأُمَمِ نَاسٌ مُحَدَّثُونَ، فَإِنْ يَكُ فِي أُمَّتِي أَحَدٌ، فَإِنَّهُ عُمَرُ.

Maksudnya: “Sesungguhnya pada umat-umat sebelum kamu terdapat manusia yang diberi ilham (walaupun tidak menjadi nabi). Jika ada yang seperti itu di antara umatku maka dia adalah Umar.” 

Riwayat al-Bukhari (3689)

Sifat Fizikal Umar al-Khattab

Diriwayatkan dalam satu hadith daripada Abdullah bin Sarjis R.A, katanya: 

رَأَيْتُ الْأَصْلَعَ يَعْنِي عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ يُقَبِّلُ الْحَجَرَ وَيَقُولُ وَاللَّهِ إِنِّي لَأُقَبِّلُكَ وَإِنِّي أَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ وَأَنَّكَ لَا تَضُرُّ وَلَا تَنْفَعُ وَلَوْلَا أَنِّي رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبَّلَكَ مَا قَبَّلْتُكَ

Maksudnya: Aku pernah melihat al-Asla iaitu ‘Umar bin Al-Khattab RA mencium Hajar Aswad dan berkata: “Demi Allah, sesungguhnya aku pasti akan menciummu, meskipun aku tahu kamu hanyalah sebiji batu yang tidak dapat memberi mudharat dan tidak pula dapat memberi manfaat. Sekiranya aku tidak melihat Rasulullah SAW menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu.” 

Riwayat Muslim (1270)

Al-Asla’ (الْأَصْلَع) menurut Lisan al-’Arab berasal daripada kata “صَلَعُ” bermaksud rambut yang hilang daripada bahagian depan kepala hingga ke belakang. Begitu juga jika hilangnya rambut di tengah kepala, maka disebut sebagai “صَلِعَ” ,”يَصْلَعُ” atau “صَلَعاً” yang bermaksud menjadi botak. ia adalah kata benda yang merujuk kepada kebotakan, iaitu keadaan di mana rambut di bahagian depan kepala telah hilang. (Lihat Lisan al-’Arab, 8/204)

Ciri-ciri fizikal Amirul Mukminin, Umar bin Khattab R.A disebutkan dalam kitab-kitab sejarah dan biografi. Namun, ruang ini tidak mencukupi untuk memperinci kesemuanya. Kami daripada al-Suyuti dalam kitab Tarikh al-Khulafa (hlm. 105) yang mana beliau menghuraikannya dalam bab bertajuk “Fasal pada Sifat Umar bin Khattab R.A”, katanya:

Ibnu Saad dan Al-Hakim meriwayatkan daripada Zir, katanya:

خَرَجْتُ مَعَ أَهْلِ الْمَدِينَةِ فِي يَوْمِ عِيدٍ، فَرَأَيْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، يَمْشِي حَافِيًا، شَيْخٌ أَصْلَعُ أَدَمُ أَعْسَرُ يُسْرٍ طُوَالًا مُشْرِفًا عَلَى النَّاسِ كَأَنَّهُ عَلَى دَابَّةٍ 

“Saya keluar bersama penduduk Madinah pada hari raya, dan saya melihat Umar berjalan tanpa alas kaki. Dia seorang tua dengan kepala botak, berkulit gelap, cacat tangan kirinya, tinggi, dan tampak mengesankan di antara orang-orang seolah-olah dia berada di atas unta.” 

Riwayat al-Hakim (4479) dalam al-Mustadrak (3/87)

Al-Waqidi berkata: 

لَا يُعْرَفُ عِنْدَنَا، إِنَّ عُمَرَ كَانَ آدَمَ، إِلَّا أَنْ يَكُونَ رَآهُ عَامَ الرَّمَادَةِ، فَإِنَّهُ كَانَ تَغَيَّرَ لَوْنُهُ حِينَ أَكَلَ الزَّيْتَ

Maksudnya: “Tidak diketahui di kalangan kami bahwa Umar adalah orang kulit hitam, kecuali jika seseorang melihatnya pada tahun al-ramadah. Warna kulitnya berubah saat dia makan minyak.” (Lihat al-Tabaqat al-Kubra oleh Ibn Sa’ad, 2/276)

Ibnu Saad juga meriwayatkan daripada Ibnu Umar bahawa dia menggambarkan Umar, dia berkata:

رَجُلٌ أَبْيَض حُمْرَةٌ، طُوَالٌ، أَصْلَعُ، أَشْيَبُ

Maksudnya: “Dia adalah seorang lelaki putih dengan wajah merah, tinggi, dan botak dengan uban.”  (Lihat al-Tabaqat al-Kubra oleh Ibn Sa’ad, 3/306)

Dan diriwayatkan daripada Ubaid bin Umair, katanya: 

كَانَ عُمَرُ يَفُوقُ الْنَّاسَ طُولً

Maksudnya: “Umar lebih tinggi daripada orang lain.”

Ibnu Asakir meriwayatkan daripada Abu Raja’ al-’Utarudi, dia berkata: 

كَانَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ طَوِيلًا جَسِيمًا أَصْلَعَ شَدِيدَ الصَّلَعِ، أَبْيَضَ شَدِيدَ حُمْرَةِ الْعَيْنَيْنِ، فِي عَارِضَيْهِ خِفَّةٌ سَبَلَتُهُ كَثِيرَةُ الشَّعْرِ، فِي أَطْرَافِهَا صُهْبَةٌ

Maksudnya: “Umar adalah seorang lelaki yang tinggi dari sudut jasadnya, botak dengan kebotakan yang sangat, kulitnya putih dengan kemerahan yang kuat. Dia memiliki ciri khas di pipinya yang lembut, dan janggutnya yang besar, serta ada uban di hujung janggutnya.” (Lihat Tarikh Dimasyq oleh Ibn ‘Asakir, 44/17)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan kepada persoalan di atas, kami katakan bahawa antara sifat fizikal Saidina Umar al-Khattab antaranya adalah botak, sehingga kadang-kadang beliau digelar dengan gelaran al-Asla’ (الْأَصْلَع).

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H