#2320: Waktu Afdhal untuk Membaca Surah al-Kahfi

Soalan:

Salam Ustaz, bilakah patut saya membaca surah al-Kahfi? Di malam Jumaat atau di siang hari Jumaat? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

  مَنْ َقَرَأَ سُوْرَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمْعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ فِيْمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيْقِ

Maksudnya: “Sesiapa membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dia dan Baitul ‘atiq.”

Riwayat al-Darimi (3273). Hadith ini dinilai sahih dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (736)

 

Menjawab persoalan di atas, kami telah membahaskan isu ini dalam artikel sebelum ini:

#1598: Fadhilat Membaca Surah al-Kahfi pada Hari Jumaat[1]

 

Justeru itu, kami nyatakan membaca surah al-Kahfi pada hari dan juga malam jumaat adalah sunat sebagaimana yang disebutkan oleh imam al-Munawi dalam menukilkan pandangan imam al-Syafi’e. Imam al-Munawi menyebutkan,”Hal ini menunjukkan bahawa sunat untuk membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, begitu juga pada malamnya, sebagaimana telah ditunjukkan oleh al-Imam al-Syafi’e.” (Lihat al-Faidh al-Qadir, 6/198)

Manakala, menurut Imam al-Ramli ketika mana ditanya tentang seseorang yang membaca separuh Surah al-Kahfi pada waktu malam dan separuh lagi pada waktu siang, adakah dia mendapat ganjaran yang dikhususkan atau tidak. Lalu beliau menjawab: “Dia tidak mendapat ganjaran yang dikhususkan tersebut, akan tetapi dia hanya mendapat pahala asal (membaca surah daripada Al-Quran).” (Lihat Hasyiah al-Bujayrimi, 2/210; I’anah al-Talibin, 2/103).

Akhir kalam, semoga sedikit pencerahan ini memberikan kita kefahaman yang lebih jelas dalam melayari kehidupan seharian dengan lebih baik. Wallahua’lam.

 

[1] https://maktabahalbakri.com/1598-fadhilat-membaca-surah-al-kahfi-pada-hari-jumaat/

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H