Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum seorang wanita Islam yang bekerja di pusat jagaan warga emas dalam menjaga dan menguruskan warga emas lelaki Islam yang dementia atau tidak dapat menguruskan diri sendiri? Apakah ada keringanan dalam urusan aurat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Aurat menurut syara’ ialah batas minima dari bahagian tubuh yang wajib ditutup kerana perintah Allah SWT. (Lihat Kifayah al-Akhyar, 1/52)
Firman Allah SWT :
يا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاساً يُوَارِي سَوْءَاتِكُمْ وَرِيشاً وَلِبَاسُ التَّقْوَىَ ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ آيَاتِ اللّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”
(Surah Al-A’raaf : 26)
Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat di atas beliau menafsirkan: Allah SWT mengurniakan kepada mereka pakaian dan bulu (untuk keselesaan). Pakaian yang disebutkan di sini adalah untuk menutup aurat – iaitu tempat yang harus ditutup. Bulu (atau kain bulu) adalah sesuatu yang digunakan untuk perhiasan luaran. Pakaian adalah keperluan asas, sementara bulu adalah penambahan dan pelengkap. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim,3/399-400 )
Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda :
لا ينظرُ الرَّجلُ إلى عورةِ الرَّجلِ ولا تنظرُ المرأةُ إلى عَوْرَةِ المَرْأَةِ وَلَا يفضى الرَّجلُ إلى الرَّجلِ في الثَّوبِ الوَاحِدِ وَلَا تُفْضَي المَرْأةُ إِلَى المَرْأةِ فِي الثَّوبِ الوَاحِدِ
Maksudnya: “Orang lelaki tidak boleh memandang kepada aurat lelaki dan perempuan tidak boleh melihat kepada aurat orang perempuan. Tidak boleh dua orang lelaki berada (tidur) dalam satu selimut tanpa pakaian dan begitu juga dengan wanita, mereka dilarang berbuat demikian.
Riwayat al-Tirmizi (2793)
Qadhi ‘Iyyadh menyatakan : Tidak ada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama tentang larangan melihat aurat manusia antara satu sama lain dan hendaklah aurat tersebut ditutup kecuali bagi seorang lelaki bersama istrinya . Adapun membuka aurat dihadapan ibu sebahagian ulama menganggapnya makruh. Tidak ada Perbezaan pendapat dalam larangan membuka aurat di hadapan orang lain. (Lihat Ikmal Mua’llim Bifawaid al-Muslim,2/186)
Menjawab bagi persoalan di atas, “Dementia” adalah sejenis penyakit otak yang progresif. Ia boleh membawa kepada penurunan dalam menjalankan aktiviti harian dan boleh menyebabkan pesakit memerlukan penjagaan masa panjang. Sebahagian dari pesakit dementia kurang atau tidak berupaya melakukan aktiviti-aktiviti harian. Mereka juga sukar untuk menyelesaikan masalah atau mengawal emosi.[1]
Berkaitan dengan aurat pula kami katakan pada asalnya melihat aurat orang lain adalah perkara yang diharamkan oleh syara’. Ini kerana mengurus atau mengubati seseorang yang berlainan jantina itu boleh membawa kepada melihat dan menyentuh bukan mahram. Syara’ telah menetapkan aurat bagi perempuan adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan manakala aurat lelaki adalah dari pusat hingga ke lutut. Namun sekiranya ada keperluan mendesak untuk melihat aurat seperti menguruskan pesakit dimentia ini maka ia dibolehkan dengan kadar yang perlu sahaja kerana kaedah fiqh menyebutkan :
الضَّرُورَات تُقَدَّرُ بِقَدْرِهَا
Maksudnya: “Mudarat (hanya diambil) cukup sekadar yang perlu sahaja.
Sesuatu hukum diberi kelonggaran dengan sebab berlakunya keadaan darurat. Jika keadaan darurat berakhir dan tidak ada lagi keperluan yang mendesak, maka hukum akan kembali seperti sebelumnya. (Lihat Mausua’ah al-Qawaid al Fiqhiyyah,6/264).
Dapat difahami daripada kaedah di atas, seseorang hanya boleh melihat aurat pesakit, memegang atau lain-lain perkara, hanyalah ketika adanya keperluan mendesak, bagi tujuan merawat, menguruskan orang sakit dan menolak kemudaratan. Perbuatan tersebut hanya dibenarkan setakat yang perlu sahaja dan tidak boleh lebih daripada itu.
Justeru kami katakan dalam isu ini sekiranya ada pekerja lelaki di pusat jagaan maka lebih utama untuk menguruskan pesakit ini adalah lelaki. Ini bagi menjaga kehormatan pesakit tersebut. Namun sekiranya tiada, maka dibolehkan bagi wanita untuk menguruskannya dengan mengikuti syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara seperti berikut :
– Tidak bersendirian
– Menahan pandangan mata
– Menyentuh hanya ditempat yang berkaitan
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang jelas dalam menjalani kehidupan seharian dengan mengikut syariat yang telah ditetapkan.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”
Diakses pada 14 Julai 2023
Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H