Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum jika saya sengaja tidak hadiri undangan majlis perkahwinan yang dijemput? Saya fikir, jika saya tak hadir, ia tidak merugikan sesiapa pun, bahkan ia lebih menjimatkan majlis.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Menjawab persoalan di atas, majoriti para ulama menyebut bahawa hukum memenuhi undangan majlis perkahwinan adalah wajib. Hal ini berdasarkan hadith daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا
Maksudnya: “Jika salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.”
Riwayat Muslim (1053)
Hukum wajib tersebut diambil daripada perkataan Nabi SAW فَلْيَأْتِهَا yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fiqh.
Imam al-Nawawi menjelaskan: “Pandangan yang paling sahih dalam mazhab kami, bahawa hukum hadir ke majlis kenduri perkahwinan adalah fardhu ‘ain bagi mereka yang dijemput. Namun, kewajiban tersebut boleh gugur dengan beberapa sebab keuzuran seperti jika ada syubhah (keraguan) pada makanan, atau adanya kemungkaran dalam majlis tersebut. Begitu juga, jika majlis perkahwinan tersebut hanya mengkhususkan orang-orang yang kaya sahaja untuk hadir. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/570)
Imam al-Nawawi turut menyebut: “Al-Qadhi telah menukilkan kesepakatan para ulama dalam menyatakan wajibnya menyahut (menghadiri) jemputan walimah al-‘urs (majlis perkahwinan).” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/570)
Begitu juga berdalilkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَمَنْ لَمْ يُجِبِ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ
Maksudnya: “Dan sesiapa yang tidak menyahut jemputan (dengan menghadirinya), sesungguhnya dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya.”
Riwayat Muslim (1432)
Hal ini membawa maksud tidak menghadiri jemputan majlis perkahwinan dianggap sebagai suatu maksiat kepada Allah SWT, dan tidaklah perbuatan itu dianggap maksiat melainkan pada meninggalkan yang wajib.
Manakala mazhab Hanafi dan juga satu pandangan dalam mazhab Syafie dan Maliki mengatakan bahawa hukum menghadiri walimah ialah sunat. Selain itu, terdapat juga pendapat lain dalam mazhab Hanbali dan Syafie yang mengatakan ia fardhu kifayah dan memadai jika dihadiri oleh sebahagian daripada masyarakat. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/235-236).
Merujuk kepada persoalan di atas, kami nyatakan bahawa, sekiranya tidak terdapat sebarang keuzuran, maka wajib bagi seseorang untuk memenuhi undangan perkahwinan yang dijemput.
Walaupun begitu, jika terdapat keuzuran atau janji yang sudah dirancang sebelumnya, atau tersangat jauh, atau membabitkan kos yang tinggi, atau menyebabkan terabainya tugas yang telah ditaklifkan, maka kami berpendapat alangkah baiknya beliau mewakilkan, atau memberi hadiah sebagai tanda ingatan. Yang paling penting, jangan sekali-kali putuskan silaturrahim dan mohonlah izin dengan penuh adab.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita melazimi doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H