#2334: Fatwa Mestilah yang Benar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kadang-kadang saya tengok dalam Youtube banyak pendapat dari ulama dan mufti serta imam yang masing-masing mempunyai pendapat yang pelbagai. Sebenarnya hakikat kefatwaan ini bagaimana caranya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَسْتَفْتُونَكَ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِي الْكَلَالَةِ

Maksudnya: Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalaalah). Katakanlah: “Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalaalah itu, 

(Surah al-Nisa’: 176)

Ibn al-Qayyim berkata: Yang pertama memegang jawatan yang mulia ini dalam kefatwaan ialah Sayyidul Mursalin dan Imam al-Muttaqin Rasulullah SAW, hamba dan Rasul-Nya, pemegang amanah wahyunya, dutanya antara Allah dan hamba-hamba-Nya. Maka fatwanya daripada Allah dengan wahyunya yang nyata sebagaimana firman Allah:

‏ قُلْ مَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُتَكَلِّفِينَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): ” Aku tidak meminta kepada kamu sebarang bayaran kerana menyampaikan ajaran Al-Quran ini, dan bukanlah aku dari orang-orang yang mengada-ngada “.

(Surah Sad: 86)

Justeru, jadilah fatwa Rasulullah SAW bersifat jawami’ al-ahkam yang mengandungi keseluruhan yang wajib kita ikut bertahkim dan berhukum dengannya, kedudukannya kedua selepas kitab Allah dan tidak ada seorang pun di kalangan orang Islam yang boleh berpaling daripadanya. (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-’Alamin, 1/11)

Seperti yang kita maklum, fatwa atau hukum yang diputuskan oleh seseorang imam atau mujtahid hendaklah berasaskan kebenaran yang disandarkan kepada al-Quran, hadis, ijma’ dan juga qiyas. Mungkin boleh menggunakan beberapa sumber-sumber yang lain seperti qaulus sahabi, masalih mursalah, istihsan dan lain-lain. 

Dalam menjawab persoalan di atas, saya nukilkan pendapat al-Qadhi al-Baji yang berkata: Tidak halal bagi seseorang memberi fatwa pada agama Allah SWT kecuali dengan sebenarnya, yang dia iktiqad dan yakin bahawa itulah yang benar. Ini kerana mufti mengkhabarkan daripada Allah pada hukumnya. Bagaimana mungkin dia khabarkan tentangnya kecuali dengan apa yang dia yakin dan iktiqad bahawa itu adalah hukumnya atau kewajiban yang ditetapkan. (Lihat al-Muwafaqat, 4/140)

Tidak sayugia seseorang ulama atau mufti memberi fatwa dengan pendapat yang marjuh pada pandangannya. Inilah yang dinukilkan secara ijmak oleh Ibn Qudamah dan al-Baji. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 32/32)

Kerana itulah kita dapati seperti Ibn Solah dan diikuti oleh Imam al-Nawawi berkata: Tidak sayugia bagi mufti dan yang beramal pada satu masalah yang mempunyai dua pendapay untuk dia beramal mengikut kehendaknya mengikut kajian dan penelitian yang sebenar. Sebaliknya hendaklah dia beramal dengan yang paling arjah atau rajih antara kedua-duanya. (Lihat Adab al-Mufti wa al-Mustafti oleh Ibn Solah, 165-166 dan juga Adab al-Fatwa wa al-Mufti oleh Imam al-Nawawi, hlm. 79. Begitu juga al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 32/32)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa dan munajat agar Allah menunjukkan kepada kita jalan yang benar itu sebagai kebenaran:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H