#2343: Hukum Hadiri Undangan Perkahwinan Non-Muslim

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kawan saya non Muslim jemput saya hadir ke majlis perkahwinannya. Adakah saya boleh hadirinya? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّالْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Allah tiada melarang kamu untuk berlaku baik dan berbuat adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak mengusirmu dari negerimu.”

(Surah Al-Mumtahanah: 8)

Ibn Kathir telah menafsirkan ayat di atas dengan berkata, bahawa Allah SWT tidak menghalang umat Islam berbuat baik terhadap orang bukan Islam selagi mana mereka tidak menentang dalam hal berkaitan agama, tidak menindas kaum wanita dan orang-orang yang lemah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/90)

Asas hubungan antara Muslim dan non-Muslim ialah toleransi, ihsan dan perdamaian. Perbezaan agama tidak menghalang kita daripada berbuat baik sesama kaum kerabat atas dasar kekeluargaan atau kepada sesiapa sahaja atas dasar kemanusiaan.

Dalam menjawab persoalan di atas, berkenaan hukum menghadiri majlis perkahwinan orang bukan Islam, maka kami nyatakan seperti berikut:

Para ulama’ mazhab Syafi’e berpandangan, hukum menghadiri jemputan walimah orang bukan Islam ialah sunat sekiranya jemputan itu datang daripada kaum keluarga dan jiran tetangga atau jika kehadiran kita akan memberi manfaat kepada dakwah Islam. (Lihat Nihayah al- Muhtaj, 6/371).

Ini juga dipersetujui oleh Imam al-Mardawi dari mazhab Hanbali, yang turut menyebut akan keharusan menghadiri walimah orang bukan Islam dengan memetik pandangan Imam Ahmad dan Ibn Qudamah. (Lihat al-Insaf fi Ma’rifah al-Rajih min al-Khilaf, 8/320).

Sebahagian ulama’ membolehkan dengan syarat adanya maslahah syar’i seperti melembutkan hati mereka kepada Islam atau berdakwah mereka kepada Islam. Ini merupakan pendapat yang dipilih oleh Ibn Taimiyyah.

Penutup

Kami katakan, dalam kehidupan yang merentasi agama dan bangsa, hendaklah kita tatbiqkan fiqh al-Ta’ayush dengan sebaik mungkin. Apabila kita menghadiri majlis seperti itu, perlulah kita memahami beberapa dawabit, yang boleh dan yang tidak dibolehkan. Dengan kefahaman yang baik, membawa kita kepada selamat di dunia dan akhirat, bahkan memberi kebaikan dalam menyebarkan watak Muslim sebenar mengikut neraca Syariat. 

Akhir kalam, marilah sama-sama kita sentiasa berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H