#2346: Tukar Lafaz Doa dalam Ayat Quran

Soalan:

Assalamualaikum Datuk Seri. Saya ingin bertanya apakah dibolehkan untuk kita mengambil doa dari Al-Quran yang ditulis dalam bentuk ‘plural’ tetapi kemudian ditukar kepada bentuk ‘singular’ (atau sebaliknya) untuk bacaan secara berseorangan?

Contoh yang paling mudah ialah doa Nabi Ibrahim a.s dalam Surah Ibrahim, ayat ke-40. Doa yang pertama iaitu “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku” ditulis secara ‘singular’ tetapi kemudian disusuli dengan “Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku” yang ditulis secara ‘plural’. Soalan saya, bolehkah رَبِّ ٱجْعَلْنِى ditukar kepada ayat ‘plural’ jika berdoa beramai-ramai (dan sebaliknya)? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam persoalan di atas, ditanya berkenaan lafaz doa dalam firman Allah SWT:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

Al-Tabari berkata: “Ya Tuhanku, jadikanlah aku mampu menjalankan solat yang telah Engkau wajibkan pada kami.” Firman-Nya, ‘وَمِن ذُرِّيَّتِي’ (“Dan dari zuriat keturunanku”), maksudnya adalah, jadikanlah pula di antara zuriat keturunanku itu orang-orang yang mendirikan solat kepada-Mu.” Firman-Nya, ‘رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ’ (“Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”) Maksudnya adalah, ya Tuhan kami, terimalah amalku dan ibadahku yang ku kerjakan untuk-Mu. Ini setara dengan khabar yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW, bahawa Baginda bersabda, ‘إِنَّ الدُّعَاءَ هُوَ الْعِبَادَةُ’ (“Sesungguhnya doa itu adalah ibadah.”) (Lihat Jami’ al-Bayan, 15/609)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa dibolehkan menukar lafaz mufrad kepada lafaz jama’ dengan syarat hendaklah tidak berniatnya sebagai ayat al-Quran. Maka, jika semata-mata doa, maka ia dibolehkan.

Namun, apa yang afdhal dan yang sepatutnya adalah kita berdoa dengan mengekalkan lafaz asal ayat al-Quran tersebut.

Sesungguhnya, nas al-Quran sebagai contoh mempunyai maksud yang tersendiri dan kehendaknya. Terkadang didatangkan dengan lafaz jamak (ramai), dan terkadang didatangkan dalam bentuk mufrad (seorang). Justeru, hendaklah kita raikan nas Ilahi jika maksud kita membaca al-Quran. Akhirnya marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah, semoga Allah kurniakan kebaikan hidup di dunia dan akhirat, sentiasa zikir, syukur dan doa yang kita lafazkan diterima oleh Allah SWT.

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H