#2347: Sedekah Boleh Mengubah Nasib dan Sikap Seseorang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah dengan bersedekah, akan boleh mengubah sikap seseorang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Amalan sedekah adalah termasuk dalam amalan kebajikan yang digalakkan dan dianjurkan di dalam Islam. 

Berkenaan takrif sedekah pada bahasa, ia dengan maksud kebenaran atau pemberian ikhlas dari hati yang bersih. Manakala pada istilah pula, ulama’ menyebut sebagai pemberian yang semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mencari keredhaan Allah SWT. Sedekah bermaksud pemberian yang padanya dicari pahala dari Allah SWT. (Lihat al-Ta’rifat, 1/132) Ibn Manzur mendefinisikan sedekah sebagai satu pemberian yang diniatkan kerana Allah SWT kepada golongan fakir yang memerlukan. (Lihat Lisan al-Arab, 10/196)

Justeru, sedekah bermaksud pemberian hak milik ketika hidup tanpa mengharapkan pembalasan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. (Lihat al-Majmu’ syarah al-Muhazzab, 15/370 dan al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 26/323)

Para ulama’ menjelaskan bahawa sedekah adalah merupakan satu pemberian yang bertujuan semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mencari keredhaan Allah SWT. Sedekah secara umumnya adalah merangkumi sama ada yang sunat mahupun yang fardhu. Jika yang fardhu, ia dikenali dengan zakat.

Antara nas berkenaan sedekah, firman Allah SWT:

الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.”

(Surah al-Baqarah: 274)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Allah SWT menjelaskan tentang pahala orang-orang yang berinfaq dan pahala berinfaq dalam setiap keadaan dan waktu. Barangsiapa yang bersedekah – baik pada waktu malam atau siang hari, dengan cara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan, dalam keadaan dirinya sendiri memerlukan atau tidak – maka baginya pahala yang sempurna di sisi Tuhan. Tidak ada ketakutan baginya di akhirat dan tidak pula dia merasa khuatir dan bersedih. Maksudnya tidak ada ketakutan baginya ketika menghadapi kedahsyatan hari Kiamat dan tidak pula dia bersedih dan khuatir terhadap keadaan anak-anaknya setelah dia meninggal dunia. Dia juga tidak merasa sedih dan menyesali atas apa yang dia tidak mampu raih dari kehidupan dunia dan keindahannya. Ini kerana dia telah menjumpai apa yang jauh lebih baik daripada itu semua. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/105)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Dr. Uthman Khamis berkata bahawa ada seorang yang menceritakan kepadanya bahawa dia telah membawa ibunya yang sakit ke salah sebuah negara Eropah untuk proses rawatan. Dalam perjalanan ke hospital, tidaklah beliau menemui orang yang memerlukan kecuali diberi sedekah. 

Sehinggalah, apabila sampai ke suatu tempat, beliau melihat sekumpulan wanita yang menjadi pelacur. Ibunya berkata, “Berilah (sedekah) kepada mereka.” Anaknya menjawab, “Tidak perlulah. Carilah tempat yang lain ibu.” Kata ibunya, “Berilah pada mereka. Mereka tidak melakukan kerja begitu melainkan kerana terpaksa dan mempunyai masalah.” Lalu akhirnya, diberikan sedekah kepada para pelacur itu.

Kemudian, selepas seminggu pulang dari hospital, seorang perempuan yang berpakaian baik menegurnya, “Adakah kamu kenal aku?” Jawabnya, “Tidak.” Katanya, “Akulah pelacur yang kamu berikan wang tempohari. Sekarang aku tinggalkan kerja tersebut. Ketika itu aku melakukannya kerana terpaksa. Dan kini aku telah mendapat kerja yang baik.”

Begitulah kesan sedekah. Kadang-kadang ia boleh mengubah nasib seseorang.

Hal ini mengingatkan saya sebuah hadith Nabi SAW tentang seorang yang ingin bersedekah kerana Allah SWT. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

قَالَ رَجُلٌ لأَتَصَدَّقَنَّ اللَّيْلَةَ بِصَدَقَةٍ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدِ زَانِيَةٍ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ اللَّيْلَةَ عَلَى زَانِيَةٍ ‏.‏ قَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى زَانِيَةٍ لأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ ‏.‏ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدِ غَنِيٍّ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ عَلَى غَنِيٍّ ‏.‏ قَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى غَنِيٍّ لأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ ‏.‏ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدِ سَارِقٍ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ عَلَى سَارِقٍ ‏.‏ فَقَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى زَانِيَةٍ وَعَلَى غَنِيٍّ وَعَلَى سَارِقٍ ‏.‏ فَأُتِيَ فَقِيلَ لَهُ أَمَّا صَدَقَتُكَ فَقَدْ قُبِلَتْ أَمَّا الزَّانِيَةُ فَلَعَلَّهَا تَسْتَعِفُّ بِهَا عَنْ زِنَاهَا وَلَعَلَّ الْغَنِيَّ يَعْتَبِرُ فَيُنْفِقُ مِمَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ وَلَعَلَّ السَّارِقَ يَسْتَعِفُّ بِهَا عَنْ سَرِقَتِهِ ‏”‏ ‏.‏

Maksudnya: “Seorang lelaki bertekad dan berkata dalam hatinya, “Malam ini aku benar-benar akan bersedekah.” Lalu dia keluar membawa sedekahnya dia pergi mencari orang untuk dia bersedekah. Sedekahnya itu akhirnya sampai ke tangan pelacur. Keesokan harinya, ramai orang berbicara bahawa malam tadi ada pelacur diberi sedekah. Maka lelaki (yang memberi sedekah) itu berkata, “Ya Allah! Bagi-Mu segala pujian kerana sedekahku jatuh ke tangan pelacur. Nescaya aku akan bersedekah lagi.”

Dia pun keluar membawa sedekahnya dan pergi mencari orang dan akhirnya dia bersedekah kepada seorang yang kaya. Keesokan harinya orang ramai berbicara bahawa pada malam tadi seorang yang kaya telah diberi sedekah. Pemberi sedekah itu berkata, “Ya Allah! Bagi Mu segala pujian kerana sedekahku jatuh ke tangan orang kaya. Pasti aku akan bersedekah lagi.”

Lalu dia sekali lagi keluar untuk mencari orang dan bersedekah. Kali ini sedekahnya jatuh ke tangan pencuri. Keesokan harinya ramai orang membincangkannya bahawa seorang pencuri telah diberi sedekah. Pemberi sedekah itu berkata, “Ya Allah! segala pujian bagi-Mu. Sedekahku telah ditakdirkan jatuh ke tangan penzina, orang kaya dan pencuri.” Kemudian lelaki itu didatangi malaikat dan berkata, “Adapun sedekahmu telah diterima Allah. Ada pun sedekahmu kepada pencuri semoga sedekah itu ia dapat menjaga dirinya dari mencuri. Dan, sedekahmu kepada wanita penzina semoga ia dapat menjaga diri dari melakukan zina. Sedangkan sedekahmu kepada orang kaya mudah-mudahan ia dapat mengambil pelajaran darinya sehingga ia menafkahkan apa yang diberikan Allah kepadanya.” (Riwayat al-Bukhari, no. 1421 dan Muslim, no. 1022) (Lihat Keajaiban Sedekah, hlm. 112 – 114)

Semoga Allah SWT menjadikan kita daripada golongan yang sentiasa bersedekah, seterusnya meraih fadilat dan ganjarannya yang besar. Amin.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah, semoga Allah mempermudah segala urusan kita.

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H