#2348: Kedudukan Sebenar Maqam Ibrahim

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar, Syeikh Sya’rawi ada pandangannya tentang maqam Ibrahim. Boleh ceritakan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi dilahirkan pada tanggal 5 April 1911 Masihi di perkampungan Daqadus, daerah Mayt Ghamir, negeri Daqhaliyyah Mesir. Ayahnya ialah seorang yang biasa, yang bekerja sebagai petani tetapi dihormati di perkampungannya di samping iltizam serta istiqamah pada agamanya. Dikatakan pada hari kelahirannya, beliau kelewatan datang ke masjid pada Solat Subuh menyebabkan imam bertanya kepadanya dan dia menceritakan yang dia mendapat cahaya mata, lantas didoakan kepadanya supaya menjadi anak yang soleh. Begitu juga, dikatakan ayahnya telah bermimpi sebelum kelahirannya dengan mimpi yang baik. Ini juga sebahagian tanda kemuliaan bagi Syeikh al-Sya‘rawi.

Mauqif Syeikh al-Sya‘rawi berkenaan Maqam Ibrahim

Firman Allah SWT:

وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ مَثَابَةً لِّلنَّاسِ وَأَمْنًا وَاتَّخِذُوا مِن مَّقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى

Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang.

(Surah al-Baqarah: 125)

Syeikh Abd al-Rahman Nasir al-Sa’di: Firman Allah, ‘ وَاتَّخِذُوا مِن مَّقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى’, kemungkinan maksud dari maqam itu adalah seperti yang diketahui sekarang iaitu yang telah dijadikan sebagai sesuatu yang berhadapan dengan pintu Ka’bah ketika ini, dan solat yang dimaksud adalah solat sunat dua rakaat tawaf yang dianjurkan agar dilakukan di belakang maqam Ibrahim, dan dengan inilah sebahagian besar ahli tafsir mentafsirkan. Kemungkinan perkataan ‘maqam’ bersifat umum untuk tempat-tempat yang disinggahi oleh Nabi Ibrahim dalam ibadah haji, iaitu semua masy’ar-masy’ar al-Haram, tawaf, sa’ie, wuquf di Arafah dan Muzdalifah, melontar jamrah, menyembelih korban dan sebagainya daripada perbuatan-perbuatan haji. Dengan begitu, makna firman Allah, “Tempat solat” maksudnya tempat ibadah. Ertinya, contohilah beliau dalam manasik-manasik haji. Semoga makna yang terakhir ini adalah lebih utama kerana makna yang pertama termasuk di dalamnya dan kemungkinan lafaznya dimaksudkan untuknya. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 85)

Syeikh al-Sya‘rawi telah memberi satu jawapan yang tuntas ketika pembesaran Masjidil Haram di mana sepatutnya diletakkan Maqam Ibrahim. Beliau mengusulkan agar ia diletakkan di tempat yang sama tetapi dikecilkan menjadi seperti dua tapak kaki yang dapat dilihat seperti hari ini, dan usul tersebut diterima.

Kami pernah menukilkan seperti berikut:

Pernah terjadi perdebatan sengit dan rancak sejak beberapa tahun lalu mengenai Maqam Ibrahim, sama ada bolehkah memindahkannya dari tempat asalnya di Masjidil Haram di Makkah ke tempat yang lain dengan alasan ia (Maqam Ibrahim) menjadi halangan bagi para jemaah haji yang sedang melakukan ibadah tawaf di sekeliling Kaabah al-Musyarrafah, atau kita biarkan sahaja di tempatnya yang asal dalam keadaannya yang asli dengan alasan perkara itu merupakan perkara ta‘abbud yang tidak masuk dalam akal fikiran manusia?

Maka ramailah dalam kalangan para ulama’ yang menulis pendapat mereka mengenai perkara tersebut. Ada dalam kalangan mereka yang menolak dan membantah dengan keras usaha-usaha untuk mengubah atau memindahkan Maqam Ibrahim. Ada juga dalam kalangan mereka yang setakat melarangnya dengan sederhana, dan ada pula yang membolehkan perkara itu.

Pada mulanya suara-suara yang menolak dan membantah terdengar dengan keras dan lantang, namun lama-kelamaan setelah realiti dan kenyataan yang dihadapi oleh para jemaah haji pada setiap musim mendapati bahawa Maqam Ibrahim yang dalam kondisi asal memang menghalang pergerakan para jamaah ketika melaksanakan kewajipan tawaf, akhirnya pendapat yang  sederhana mendapat sokongan ramai.

Pendapat tersebut akhirnya diisytiharkan oleh Majlis Ulama’ Rabitah Alam Islami, dengan kenyataan sebagai berikut:

Untuk menghindari bahaya kesesakan yang selalu terjadi pada musim haji setiap tahun, dan untuk memelihara keselamatan jiwa para jamaah yang sering terkorban pada setiap musim kerana terpijak oleh mereka yang sedang melaksanakan tawaf, hal mana bertentangan dengan jiwa Syariat Islam yang penuh kasih sayang, dan untuk mencegah daripada membebani jiwa manusia dengan perkara yang di luar kemampuannya, maka Majlis Ulama’ Rabitah Alam Islami dalam Sidang Keenam telah mengambil keputusan sebagaimana berikut:

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puja dan puji bagi Allah, Selawat dan Salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad SAW sesudah itu. Berdasarkan limpahan kurnia Allah SWT ke atas Kerajaan Arab Saudi yang telah berupaya melaksanakan peluasan dan pelebaran kedua Masjidil Haram (Makkah dan Madinah) dan belum pernah berlaku pada masa-masa sebelumnya. Bersandarkan dengan segala kurnia Allah SWT yang dilimpahkan ke atas negeri yang suci ini dengan berbagai rupa kebaikan dan keutamaan, dan pemeliharan-Nya yang menyebabkan keamanan dan ketenteraman di tempat suci ini, dan kemudahan-kemudahan perjalanan untuk melaksanakan fardhu haji menuju Baitullah al-Haram. Sehingga kini bilangan kaum Muslimin yang datang untuk melaksanakan ibadah fardhu haji sudah berlipat kali ganda, berbeza dengan masa-masa sebelumnya, sehingga Masjidil Haram masih terasa sempit meskipun sudah beberapa kali dilakukan peluasan dan pelebaran.

Menurut jangkaan, pada masa-masa akan datang bilangan kaum Muslimin yang datang menunaikan ibadah fardhu haji akan terus meningkat dan bertambah, Insya-Allah. Kesesakan yang paling teruk sering terjadi setelah pelebaran tempat tawaf adalah di tempat antara “Hajar Aswad” dan “Maqam Ibrahim”. Kesesakan yang sangat teruk terjadi di antara jemaah haji daripada berbilang bangsa yang menimbulkan kesusahan dan masyaqqah, yang Allah SWT lebih Mengetahui akan perkara sebenar yang terjadi.

Juga, dengan kesesakan tersebut, salah satu rukun Haji iaitu tawaf boleh menjadi cacat dan tidak sempurna, kerana dilakukan dengan cara bersesak-sesakan, tolak-menolak dan tidak dengan khusyuk, tunduk, merendah hati dan mengharap keredhaan Allah SWT. Sehingga dengan keadaan yang demikian sesak, seseorang boleh lupa bahawa sesungguhnya dia sedang melaksanakan ibadah haji, dan hanya satu perkara yang diingatinya yakni bagaimana cara menyelamatkan diri dan keluarganya daripada bahaya kesesakan tersebut. Keadaan seperti ini juga terkadang boleh menimbulkan perbalahan dan pertengkaran antara sesama jemaah haji di tempat yang tidak boleh terjadi perkara tersebut, kadang-kadang juga perkara tersebut menjadi lebih teruk dengan terjadi korban kematian orang-orang yang lemah dan tua kerana terpijak kaki para jemaah.

Maka ramailah orang yang telah meminta dan berdoa kepada Allah SWT mengenai perkara tersebut, kemudian pengaduan juga disampaikan oleh mereka yang menyaksikan kejadian tersebut kepada penguasa tempatan, meminta dan memohon untuk dicarikan jalan keluar daripada kesesakan tersebut dan bahaya yang menimpa jamaah haji pada setiap musim.

Atas dasar alasan-alasan tersebut dan bahaya besar tadi, yang tidak boleh dibiarkan terus-menerus berlaku dan berlanjutan dan ia tidak boleh diabaikan kerana bercanggah dengan ruh Syariat Islam yang mulia, maka Pengerusi Majlis Ulama’ Rabitah Alam Islami, al-Sheikh Muhammad bin Ibrahim telah meminta seluruh ahli majlis untuk mengemukakan pendapatnya berkenaan perkara tersebut berdasarkan ajaran al-Quran, al-Sunnah dan Syariat Islam yang sentiasa mendatangkan kebaikan, keselesaan dan kasih sayang serta menolak kesusahan dan bebanan. Maka, setelah ahli majlis masing-masing menyampaikan pendapatnya, sidang telah bersetuju dengan beberapa nota di bawah ini:

  1.       Berlandaskan keadaan darurat yang sering terjadi di setiap musim haji, khususnya di tempat antara ‘Hajar Aswad’ dan ‘Maqam Ibrahim’ yang berada di laluan tawaf itu, demi menghindari bahaya yang cukup besar, maka wajib untuk segera menyingkirkan semua halangan yang berada di laluan tawaf tersebut, seperti bangunan yang berdiri di atas Maqam Ibrahim dan tempat yang dipanggil ‘Bab Bani Syaibah’ kerana benda-benda tambahan ini tidak ada kena mengena langsung dengan Maqam Ibrahim. Begitu juga bangunan yang berdiri di atas Maqam Ibrahim itu dahulunya belum ada pada awal Islam, tetapi ia merupakan perkara baru yang dibangun kemudian, sepertimana yang tercatit dalam kitab-kitab sejarah. Sedangkan kesesakan yang terjadi berpunca daripada bangunan-bangunan tambahan ini yang tidak perlu untuk terus dipelihara, bahkan dengan meruntuhkan dan menghilangkan bangunan tambahan ini, boleh meringankan dan mencegah kesusahan para jemaah haji yang sedang melakukan tawaf di sekeliling Kaabah yang mulia. Kebijaksanaan ini selari dengan firman Allah SWT:

هُوَ اجْتَبَاكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agama-Nya); dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”

(Surah al-Hajj: 78)

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman:

يُرِيدُ اللَّـهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Firman-Nya lagi:

يُرِيدُ اللَّـهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمْ ۚ وَخُلِقَ الْإِنسَانُ ضَعِيفًا

Maksudnya: “Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.”

(Surah al-Nisa’: 28)

Selain itu, terdapat hadith daripada Anas bin Malik R.A, Baginda SAW bersabda:

يَسِّرُوا وَلاَ تُعَسِّرُوا

Maksudnya: “Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.”

Riwayat al-Bukhari (6125) dan Muslim (1732)

Begitu juga hadith-hadith lain yang selari dengan maksud ini.

  1.       Menggantikan bangunan besar yang berdiri di atas Maqam Ibrahim dengan sebuah tabung atau kotak yang dibuat daripada tembaga dan kaca yang kuat sesuai dengan hajat yang diperlukan sahaja, dengan bentuk bundar dan tinggi yang munasabah, agar tidak menjadi penghalang kepada pada jamaah haji yang melakukan tawaf di sekeliling Kaabah yang mulia.

Dengan cara itu, maka pelebaran dan peluasan di tempat ini, iaitu antara Hajar Aswad dan Maqam Ibrahim akan menghilangkan kesusahan dan kesulitan yang sering dialami oleh jamaah haji di tempat tersebut, di samping jemaah juga boleh melihat Maqam Ibrahim secara langsung tanpa harus menyentuhnya. Begitu juga mereka boleh mengetahui hakikat sebenar tentang Maqam Ibrahim itu yang merupakan sebuah batu yang pernah menjadi pijakan Nabi Ibrahim A.S ketika sedang membangunkan Kaabah yang mulia, sekaligus juga menghapuskan sangkaan dan tanda tanya kebanyakan jamaah haji yang menduga bahawa di bawah itu terdapatnya kubur Nabi Ibrahim A.S.

 

3         Al-Malik Faisal telah memperkenankan semua cadangan tersebut dan mengeluarkan perintahnya untuk memulakan kerja-kerja pelebaran dan perluasan di tempat yang mulia itu. (Lihat Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi: Mawaqifnya oleh Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, hlm. 130 – 141)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H