#2349: Kepentingan Muzakarah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana sikap ulama tentang muzakarah serta galakannya untuk kami fahami di samping caranya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, muzakarah bermaksud perbincangan atau pertukaran pendapat tentang sesuatu masalah dan sebagainya. Manakala memuzakarahkan bermaksud membincangkan sesuatu perkara dalam muzakarah.

Dalam bahasa Arab, muzakarah (مذاكرة) diambil daripada kalimah ‘ذاكر – يذاكر’ yang memberi maksud saling bermuzakarah dan berbincang pada perkara sesuatu dengan mendalam. Mengikut Lisan al-’Arab, berbincang sesuatu dan melumati dalam perbincangan tersebut. (Lihat Lisan al-Arab, 1/543)

Kepentingan Muzakarah (Berbincang)

Antara cara muzakarah adalah sama ada dengan dirinya sahaja atau juga bersama rakannya, guru-gurunya atau sebagainya. Maksud muzakarah ialah meragkumi mengkaji ilmu, permasalahannya, munaqasyah, munazarah (berdebat) dan sebagainya.

Galakan Bermuzarakah

Para ulama dan salafus soleh menyebut tentang kelebihan muzakarah dan juga kesungguhan mereka untuk bermuzakarah. Antaranya:

  • Ibn Abbas berkata: “Muzakarah ilmu sebahagian malam lebih aku sukai daripada qiamullail.”
  • Imam Malik dengan tegas membetulkan sikap Muhammad Ibn Abdillah ketika cuai dari bermuzakarah. 

Antara faedah muzakarah:

  • Menyebabkan kamu boleh menghafaz masalah yang kamu muzakarahkan dengan orang lain.
  • Boleh menguatkan ingatan.
  • Kamu gabungkan ilmu kamu dengan yang lain.

Betapa pentingnya muzakarah sehingga menarik minat para sahabat yang terkemuka seperti Sayidina Ali, Ibn Mas`ud, Ibn `Abbas, Abu Said al-Khudri dan juga ulama terkemuka dalam kalangan tabiin seperti Alqamah, al-Nakhaie, Ibn Syihab, Abdul Rahman Ibn Abi Laila.

Sebagai contoh muzakarah mereka: Ibn Syubrumah, al-Mughirah bin Miqsam al-Dhabbi, al-Harith, al-Qa’qa’ bin Yazid dan lain-lain lagi bagi fiqh hingga kadang-kadang mereka tidak hadir ke majlis selepas solat Subuh. Ini kerana mereka menganggap perbuatan mereka seperti qiamullail. Ini pendapat Umar dan Ibn Mas`ud.

Hakikat sebenar muzakarah itu sejuzuk daripada talaqqi daripada syeikh, mana mungkin tanpa talaqqi akan dapat fahami ilmu dan ibarat serta tahqiq yang sebenarnya.

Kisah Imam Ahmad Tentang Muzakarah

Apabila datang Abu Zur`ah ke Baghdad dan menjadi tetamu Imam Ahmad, beliau tidak solat malam tetapi sibuk dengan muzakarah kepada Syeikh Abu Zur`ah, sedangkan (kebiasaannya) Imam Ahmad solat malam 300 rakaat dan selepas tribulasi hukuman beliau solat 150 rakaat.

Sifat Muzakarah

Imam al-Zarnuji berkata: “Hendaklah muzakarah dilakukan dengan penuh keinsafan, ketenangan dan pengamatan yang dalam. Hendaklah dia menjauhi sifat pemarah. Ini kerana muzakarah matlamatnya untuk mengeluarkan atau menzahirkan kebenaran. Kerana muzakarah lebih kuat daripadanya pengulangan.” (Lihat Ta`lim al-Muta`allim, hlm. 29)

Awasilah muzakarah dengan yang sombong, keras kepala dan akhlak yang rendah.

Cara Muzakarah

Antaranya:

  • Boleh jadi dengan diri sendiri dan hafazannya.
  • Atau orang lain lebih cerdik daripadanya.
  • Atau orang lain yang sama dengannya.
  • Atau orang lain yang lebih rendah daripadanya.

Antara yang mula-mula muzakarah ialah Abu Hurairah yang berkata: Aku bahagikan malam kepada 3:

  • 1/3 aku solat
  • 1/3 aku tidur
  • 1/3 aku muzakarah hadis Nabi SAW

Ini juga dilalui oleh Amru bin Dinar dan Imam al- Tahuri.

(Lihat Tinta Nasihat untuk Penuntut Ilmu oleh Dr. Zulkfili bin Mohamad al-Bakri, hlm. 165 – 169)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita sentiasa munajat kepada Allah agar dikurniakan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H